Iktibar Uhud

Oleh isma daud


Pagi ini saya sedikit kelewatan bangkit dari tidur, terganggu oleh mimpi-mimpi yang melemahkan badan dan fikiran. Celek mata dah jam 5:30 pagi. Dek kerana semalam beraya di banyak rumah dan tempat, semuanya menu berat-berat dari pagi sampai malam. Oh murahnyanya rezeki bila makanan dan minuman yang berlimpah-ruah sehingga perut tak sanggup menerimanya lagi. Kembali menghidupkan nafsu setelah kita menguncinya dalam bulan Ramadhan yang lalu.

Dalam kita sibuk melayan kehendak nafsu makan, nafsu minum, nafsu mata, nafsu telinga dan nafsu lain-lain tu.... elok kita menyorot kembali peristiwa Syawal yang pernah diingatkan oleh Rasulullah SAW (walaupun kedudukan hadis ni dikatakan taraf dhaif); apabila balik dari Perang Badar Yang Cemerlang. " Kita balik dari Jihad yang kecil kepada Jihad yang besar iaitu Jihad Hawa Nafsu". Kerana nafsu itu sangat liar dan rakus sifatnya maka kita hendaklah sentiasa menjinakkannya. Maka saya cuba mengingatkan kita semua kepada Medan Uhud yang pernah merakamkan segala sejarah pahit apabila sedikit ketewasan menguasai nafsu maka umat Islam pada masa itu menerima kekalahan. Kekalahan yang penuh pengajaran dan pengiktibaran.

Eloklah kita ikuti sedikit sedutan peristiwa yang dilakonkan semula dalam The Message bagi menggambarkan peristiwa Uhud ini.





Berapa ramaikah antara kita yang menyedari perang Uhud ini terjadinya dalam bulan Syawal? Dikatakan peperangan Uhud ini berlaku pada hari Sabtu,15 Syawal pada tahun ke-3 Hijrah. Peperangan ini banyak memberi tamparan terhadap umat Islam. Tahukah bagaimana perang ini diberi nama Uhud? Dinamakan peperangan Uhud kerana peperangan ini berlaku di bukit yang bernama Uhud.

Bilangan tentera musuh ketika itu adalah seramai 3000 orang.Di kalangan mereka terdapat 17 orang wanita yang diketuai oleh Hindun binti ‘Utbah .Pada mulanya Rasullah bersama-sama dengan lebih kurang 1000 tentera Islam berangkat keluar Madinah termasuk 100 tentera berperisai dan 2 tentera berkuda.Ketika di pertengahan jalan,Abdullah bin Ubai bin Salul bersama-sama 300 orang munafik menarik diri daripada turut berperang bersama tentera muslimin.Namun,perjalanan tetap diteruskan.

Sebelum bertemu pihak musuh Rasulullah telah mengingatkan agar pemanah tidak meninggalkan posisi masing-masing tidak kira walau apa pun yang berlaku.Sebilangan tentera musyrik berjaya ditumpaskan dan akhirnya mereka melarikan diri.Melihatkan tentera musuh yang hilang melarikan diri,kebanyakan tentera Muslimin menyangka bahawa ianya adalah satu kemenangan lalu mereka pun melanggar arahan Rasulullah lalu pergi mengumpulkan harta rampasan perang.

Tiba-tiba dalam kesibukan mereka mengumpulkan harta rampasan itu, muncul kembali tentera musuh lalu menyebabkan keadaan menjadi kacau bilau. Ramai tentera Islam yang terkorban antaranya Hamzah iaitu bapa saudara baginda sendiri dan ada juga sebahagian yang melarikan diri ke Madinah semula apabila tersebarnya khabar angin bahawa Rasulullah telah terbunuh.

Ramai sahabat yang terkorban dan tercedera ketika melindungi Rasulullah daripada serangan musyrikin ketika itu.Peperangan ini dikatakan satu tamparan kerana menyedarkan kita bagaimana kemenangan pada awalnya berubah menjadi mimpi ngeri yang meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap umat Islam.

Lantaran daripada peperangan ini,Allah telah menurunkan beberapa ayat bagi memujuk tentera-tentera muslimin yang bermaksud:

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka (tercedera), maka sesungguhnya kaum (musyrik yang mencerobohi kamu) itu telah (tercedera juga dan) mendapat lukayang sama (dalam peperangan Badar). Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim. Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa-dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir. Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal had dalamperjuangan)?” (Ali Imran: 139-142)

Semoga dengan mengimbau kembali peristiwa Bukit Uhud in dapat memberi tazkirah agar hati kita sentiasa hidup dan nafsu kita dapat diselamatkan daripada ketamakan kepada dunia yang memperdaya. Tidak salah kita mencari dunia kerana dunia itu adalah jambatan kepada akhirat tetapi terleka sehingga lupa jalan akhirat itulah seburuk-buruk padah dan malapetaka dalam hidup seseorang. Semoga Allah SWT sentiasa memberi hidayah kepada kita agar kita dapat mengenal mana yang halal dan mana yang haram, mana yang baik dan mana yang buruk agar kita beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Eloklah kita juga memikirkan satu petikan kata-kata yang di tulis oleh Imam Nawawi r.h. di Muqaddimah kitab Riyaadus Solehiin;

Sesungguhnya Bagi Allah ** HambaNya Yang Cerdik-pandai
Mereka menolak dunia ** Kerna Takut Akan Fitnah Duniawi
Mereka meneliti dan berhati-hati ** Lalu Mereka Mengerti

Bahawa Dunia Bukan Negeri ** Yang Sifatnya Kekal dan Abadi

Mereka Mengambil Dunia Itu ** Sebagai Lautan Yang Dalam

Menyediakan diri Dengan Amal yang Soleh ** Sebagai Jambatan Yang Menghubunginya



Semoga kita sama-sama beroleh ingat, wallahu a'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?