"Baraan" di Aidil Fitri

Oleh isma daud

Pagi raya ini saya ditaqdirkan Allah SWT untuk menyampaikan kuliah subuh Aidil fitri di Surau Darul Firdaus, Jalan Apollo, Sibu.

Dalam Kuliah ringkas ini saya menyebutkan matlamat kita berhari raya dan adab-adab berhari raya. Saya tidak memanjangkan isi kandungan topik ini kerana sudah ada saya postkan dientry yang lalu.

Cuma apa yang saya nak sentuh sikit sebagai apa yang saya sebut dalam kuliah saya tu ialah konsep pemahaman kepada hari raya di Sarawak ini amnya dan Sibu ni khususnya. Ianya berkaitan minuman air bergas yang semacam wajib dihidangkan di setiap rumah. Jenama seperti "Coca Cola" , "F&N" dan lain-lain lagi yang saya tidak ingat sangat mesti ada dijamukan kepada tetamu yang bertandang ke rumah. Jika kita hidangkan air-air minuman biasa seperti kordial sirap, oren dan teh atau kopi; mereka memandang kita dengan sedikit perasaan menjengkelkan dan timbul semacam kita tidak berhari raya. Seolah-olahnya menu wajib di hari raya ialah minuman air bergas ; tiada air bergas maknanya tidak sempurna hari raya.

Pandangan ini saya lontarkan setelah 9 tahun saya mengecapi suasana berhari raya di Sibu ni. Setiap rumah yang saya bertandang tiada air lain kecuali air bergas dan mereka sudah menyediakan peruntukkan khas hari raya untuk membeli air bergas ini. Ini saya sebut semacam mereka sudah mewajibkan air bergas ini. Betapa untungnya Syarikat yang membekalkan iar bergas ni di Sarawak kerana pemikiran ini sudah semacam "Bidaah" baru dalam menyambut hari raya. Berjayanya mereka menjadikan pemikiran orang Sarawak membina budaya berhari raya sehingga hari raya dihubungkan dengan minuman bergas dan berjenama tertentu pula.

Khutbah Hari Raya Aidil Fitri Di Surau Darul Hijrah

Solat Sunat Hari raya diimamkan oleh saya sendiri sekitar jam 8:20 pagi. Solat sunat ni dilewatkan sedikit untuk memberi peluang para jamaah berzikir dan bertakbir raya pada pagi ini.

Di dalam khutbah saya menyentuh persoalan perpaduan sebagai asas kejayaan ummah sebagaimana yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah. Perpaduanlah yang menjadikan umat Islam kuat dan berjaya membina tamaddun manusia sehingga menakluki 2/3 dunia. Perpaduanlah yang telah memadamkan api sengketa ummah sehingga mereka menjadi satu ummah yang bersaudara tanpa mengira warna kulit , bahasa dan budaya. Namun perpaduan itu dibina di atas dasar apa? Sudah tentulah perpaduan yang ditunjukkan oleh Allah SWT. Perpaduan yang dibina di atas dasar iman dan taqwa melewati batas sempadan negeri dan garis bangsa. Perpaduan yang diasaskan diatas dasar dua kalimah Shahadah sesuai dengan sabda Rasulullah saw ; " Orang mukmin kepada orang mukmin yang lain seperti satu bangunan yang batu-batanya saling mengukuh kepada yang lain".

Firman Allah SWT : " Wahai manusia, sesungguhnya Kami menjadikan kamu lelaki dan perempuan, berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu saling mengenali di antara kamu, sesunguhnya yang paling mulia dikalangan kamu ialah mereka yang paling bertaqwa di kalangan kamu..."

Majlis Tahlil Dan Doa Selamat

Selepas solat satu majlis tahlil ringkas dan jamuah Aidilfitri. Alhamdulillah surau penuh dengan para jamaah dengan ruang surau yang tidaklah besar mana sekitar memuatkan 200 jamaah.

"BARAAN" di Aidil Fitri.


Konsep baraan ini ialah ziarah dari rumah ke rumah secara konvoi dengan ahli bersepakat memakai pakaian dalam tema tertentu dan bergerak dari satu rumah ke satu rumah yang menyertai baraan ini. Di setiap rumah yang kita kunjung kita berhari raya dengan berjamu juadah hari raya dan dihujungnya di sudahi dengan ucapan tuan rumah dan dibacakan doa selamat. Tidak lupa duit raya bagi kanak-kanak yang menyertai baraan ini.

Di antara menu wajib orang Sarawak selain minuman bergas tadi, sudah tentulah Kek Lapis Sarawak yang berbagai corak yang kreatif dan menarik. Nama-nama kek itu pun menarik kerana ia mengikut trend semasa. Satu lagi Kelupis; ketupat pulut yang dibungkus dalam daun macam daun palas juga. Yang lain-lain tu macam dekat Semenanjung jugalah.

Baraan ini bermula selepas solat Sunat Hari Raya Fitrah sehingga petang. Solat Fardu juga dilakukan dirumah yang kebetulan masuk waktu solat di rumah mereka. Kumpulan kami ini akhirnya berpisah sekitar jam 5;30 petang. Satu pengalaman menarik buat kami sekeluarga yang ikut serta dalam baraan ini.

Di samping dapat berziarah; uhkhwah islamiah dapat dibina dan silaturrahim juga dapat dihubungkan. Semoga kasih-sayang kita sesama muslim kian kukuh dan kian berpadu, insya Allah SWT.

Alhamdulillah, Aidil Fitri kami rasa beerti. Mudah-mudahan usaha kami diredhai dan terima Allah SWT.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?