Beberapa Kemusykilan Dalam Talak Dan Rujuk

Oleh isma daud

Hari ini saya menyampaikan Kuliah Subuh di Masjid Darul Halim, Sibu. Pagi ini saya membincangkan tentang "Talak Dan Rujuk Serta Implikasi Daripada Keduanya".

Saya menerangkan ada jenis talak yang menentukan keadaan rujuk suami kepada isterinya.

1. Talak Raj'ie: Suami menceraikan isteri dengan talak satu atau talak dua selepas persetubuhan dan iddahnya belum selesai. Si suami diharuskan merujuk kembali berdasarkan keinginannya sendiri menggunakan akad dan mas kahwin yang lama.


2. Talak Bain Bainunah Sughra:

* Suami menceraikan isteri dengan talak satu atau talak dua dan persetubuhan belum berlaku
* Suami menceraikan isteri secara khulu' samada sebelum persetubuhan atau selepasnya.
* Suami menceraikan isteri dengan talak satu atau dua, persetubuhan telah berlaku tetapi iddahnya telah selesai.

Suami boleh kembali kepada isterinya dengan mengadakan akad nikah dan mas kahwin (mahar) yang baru berdasarkan persetujuan dan keredhaan bekas isterinya.


3. Talak Bain Bainunah Kubra: Isteri diceraikan dengan talak tiga sekali gus, atau sudah bercerai kali ketiga, samada sebelum persetubuhan dan selepas persetubuhan.

Bekas suami tidak boleh kembali kepada perkahwinannya (rujuk) kecuali bekas isterinya berkahwin dengan lelaki lain dengan syarat-syarat tertentu.


Di sini; Saya ingin respond kepada soalan yang dikemuka oleh beberapa ahli jamaah yang hadir pagi ini.

1. Perempuan yang diceraikan selepas akad nikah yang sah tetapi belum disetubuhi oleh suaminya.

Jawapan:

Talak (cerai) ini termasuk dalam jenis Talak Bain Bainunah Sughra. Si suami tidak boleh rujuk kepada isterinya kerana si isteri tiada iddah. Jika si suami menceraikan isterinya dengan talak satu atau dua, dia boleh kembali kepada bekas isterinya itu dengan akad nikah dan mahar yang baru. Si suami tidak boleh rujuk kerana tempoh iddah tiada.

Dan jika si isteri itu ditalak dengan talak tiga; si suami tidak boleh rujuk sebaliknya boleh kembali kepada bekas isterinya itu setelah memenuhi syarat-syarat ini;

1. Bekas isteri itu telah berkahwin dengan lelaki lain dengan akad nikah yang sah.
2. Bekas isterinya itu telah disetubuhi oleh suami barunya dengan persetubuhan yang sebenar.
3. Suami barunya telah menceraikannya.
4. Iddahnya dengan suami barunya telah selesai.
5. Bekas isteri itu boleh kembali kepada suami pertamanya itu dengan akad nikah dan mas kahwin yang baru dengan persetujuan daripada bekas isterinya. Walinya tiada berkuasa menentukan atas dirinya kerana statusnya kini sudah berbeza. Jika bekas isteri ini enggan berkahwin; bekas suami ini tidak boleh memaksanya.

Sila rujuk Firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah; ayat 230.

2. Si isteri memohon perceraian secara Khulu' (tebus talak).

Jawapan:

Perceraian secara Khuluk (Tebus Talak); si suami tiada kuasa rujuk. Jika dia mahu kembali kepada bekas ieterinya itu mesti mengadakan akad nikah yang baru dan mas kahwin yang baru berdasarkan persetujuan dan keredhaan bekas isterinya setelah habis iddah perkahwinan mereka yang lalu iaitu tiga kali suci atau melahirkan anak jika sewaktu bercerai itu si isteri sedang hamil.


3. Si isteri yang diceraikan dengan talak satu telah kedatangan haid (suci kali pertama); selepas itu didapati dirinya mengandung.

Jawapan:

Iddah bagi seorang perempuan adalah tempoh masa yang boleh dirujuk semula oleh suaminya. Jika di mengandung dalam tempoh itu anak itu masih dinasabkan kepada bekas suaminya kerana perempuan itu hakikatnya masih "isteri" kepada suaminya dan masih boleh dirujuk. Tidak dinafikan berlaku seorang wanita mengandung tetapi masih didatangi haid. Jika suaminya ingin merujuk kepadanya tempoh iddahnya telah berubah daripada tiga kali suci kepada sehingga perempuan itu melahirkan anaknya.

Jika sudah melepasi tiga kali suci; lalu di didapati dia mengandung maka agar sukar disudut adat bahawa perempuan itu mengandung dari suaminya yang terdahulu. Mungkin berlaku fitnah di situ yang perlu dibuktikan secara sumpah (Lian) atau kaedah saintifik bagi menentukan status anak yang dikandungkannya itu. Pada Syarak tiga kali suci sudah cukup untuk membersihkan benih suami terdahulu dari rahim seseorang wanita. Wallahu 'Alam.


Wallahu Musta'an.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?