Bulan Haji Datang Lagi

Oleh isma daud

Dalam duduk berborak-borak menunggu para jamaah lain datang untuk sama-sama berjamaah menunaikan solat isyak semalam; tiba-tiba ada yang bertanya tentang seorang kawan yang kami panggilnya "Syawal". Kebetulan dia tiada dalam majlis kami. Secara berseloroh seorang dari kami berkata; "Syawal tiada, Zul Kaedah ada." Gurauannya itu disambut dengan ketawa oleh semua kami yang ada di situ.

Ya, masa begitu cepat berlalu. Bulan Syawal yang kita sambut baru saja pergi. Datang pula bulan Zul Kaedah di antara bulan-bulan Haji. Bulan Syawal, Zul Kaedah dan Zulhijjah adalah merupakan bulan-bulan haji.

Sejak dua-tiga malam yang lalu sudah ada majlis wida' dengan para tetamu Allah yang akan mengerjakan ibadah haji pada tahun ini. Alangkah bertuahnya mereka kerana tahun ini giliran mereka pula menjadi tetamu Allah SWT, tetamu ke Tanah Suci Makkah, tetamu ke Madinah Al-Munawwarah bagi menyempurnakan ziarah dan rukun Islam yang ke 5 kepada sesiapa yang berkuasa dari segi harta-benda atau perbelanjaan, kesihatan tubuh-badan, kelapangan masa dan keselamatan diri dalam perjalanan.

Bagi yang tidak ada kemampuan semoga Allah SWT mencukupkan kemampuan itu buat mereka pada masa akan datang. Semua orang Islam mesti memasang niat untuk mengerjakan ibadah Haji dan bila sudah berkemampuan janganlah beralasan lagi untuk menangguhkannya dek kerana kedekut dan sayangkan harta benda. Padahal untuk ke tempat lain bukan main lagi kesungguhan mereka tanpa ada rasa sayangkan harta atau perasaan kedekut. Bahkan sanggup berhabisan bila berbelanja. Bila disebut pasal haji cepat-cepat mereka kata "Belum sampai seru lagi..."

Harta benda itu amanah daripada Allah SWT, Umur dan masa juga amanah daripada Allah SWT.Kesihatan tubuh-badan pun amanah daripada Allah SWT. Apabla cukup syarat-syarat kemampuan mengerjakan haji mengapa perlu bertangguh lagi. Komitmen lain memang tidak pernah habis. Bimbang jika kita bertangguh tanpa sebab munasabah; tiba-tiba nikmat harta dan masa serta kesihatan ditarik balik oleh Allah SWT nanti masa itu baru berfikir untuk mengerjakan ibadah haji bukankah sudah terlambat. Ingatlah amaran Rasulullah SAW bahawa orang yang mati tanpa niat untuk mengerjakan haji sedangkan dia berkemampuan maka matinya mati seorang yahudi atau mati seorang majusi.

Saudaraku.... Ibadah haji antara ibadah yang boleh ditakjilkan (dilengahkan) dengan sebab-sebab yang munasabah tetapi alangkah baiknya kita bersegera dalam perkara ibadah yang mana kita sudah ada kemampuan dalam melaksanakannya. Marilah kita bertanya kepada sifat taqwa yang ada dalam diri kita. Melaksanakan ibadah haji ini juga merupakan jihad masa, tubuh-badan dan harta. Kesanggupan kita itu menzahirkan hakikat Iman dan Taqwa dalam jiwa kita.

Kepada tetamu Allah SWT pada tahun ini ; semoga Haji Mabrur jua milik tuan/puan...

Semoga selamat dalam perjalanan jihad ini...

Labbaikallahumma Labbaik... Labbaika la Syariika lak....
Hambamu datang menyahut panggilanmu, Ya Allah, Hambamu datang menyahut panggilanmu Hambamu datang menyahut panggilanmu, Tidak ada sekutu bagimu...

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?