Tertuduh sumbang mahram lari selepas dijatuh hukuman

isma daud

Seorang ayah adalah wali dan pelindung kepada ahli keluarga khususnya terhadap anak-anak dan isterinya. Apatah lagi anak itu adalah anak gadis, sewajarnya bapalah orang pertama yang melindungnya. Namun, Apakan daya??? Harapkan pagar, pagar makan padi. Seperti haruan yang makan anaknya sendiri.

Hairan sungguh mengenangkan kerakusan nafsu manusia sehingga melampaui batas akal, hukum syarak dan nilai moral; tergamak mencabul kehormatan darah dagingnya sendiri. Nafsu apa yang merobek jiwa dan akal manusia sehingga tidak dapat mengawal diri dan hilangnya segala pertimbangan dan kewarasan. Anak sendiri menjadi mangsa.

Ramai lagikah manusia seperti ini di luar sana? Tanyalah iman dan taqwa di hati kita. Bila ia hilang jadilah kita seperti haiwan, manusia berwatak syaitan bahkan lebih hina daripada itu...

Baca berita asal di Malaysiakini

Seorang bapa yang mengaku bersalah melakukan sumbang mahram terhadap anak perempuannya berusia 13 tahun, mengejutkan orang ramai apabila bertindak melarikan diri dari mahkamah sejurus Hakim Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Lelaki berusia 39 tahun itu melompat keluar dari kandang tertuduh dan terus menuju ke pintu mahkamah untuk keluar dan kemudiannya terjun ke bawah bangunan setinggi kira-kira dua meter.

Dalam keadaan kelam kabut, tertuduh menuju ke kawasan pembinaan di sebelah mahkamah itu tetapi gagal memboloskan diri apabila dikepung oleh pekerja pembinaan di situ, lapor Bernama.

Dia diikat menggunakan tali sebelum diserah kepada polis yang turut mengejarnya.

Sebelum itu, kira-kira 4.30 petang, Hakim Kasbi Hasan menjatuhkan hukuman penjara 23 tahun dan 30 sebatan ke atas tertuduh setelah mengaku bersalah atas tiga pertuduhan melakukan sumbang mahram terhadap anak gadisnya berusia 13 tahun enam bulan ketika isterinya sedang sarat mengandung.

Bagi setiap kesalahan, dia dihukum penjara 23 tahun dan 10 sebatan bermula tarikh tangkap 13 April 2008, bagaimanapun kesemua hukuman berjalan serentak.

Lelaki itu yang tinggal di Gombak melakukan kesalahan itu di sebuah rumah pada 2, 14 dan 25 Mac tahun lepas antara jam 8 pagi dan 12 tengah hari.

Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan kesalahan itu ketika isterinya ke klinik bagi melakukan pemeriksaan kesihatan kandungan.

Penolong Pendakwaraya Wan Moora Nisa Nadirin berkata mahkamah perlu menjatuhkan hukuman berat ke atas tertuduh bagi memberi pengajaran moral kepada orang ramai.

Katanya tertuduh yang telahpun mempunyai lapan anak seharusnya memberi kasih sayang kepada mangsa, sebaliknya mencatatkan sejarah hitam padanya.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?