Sebuah Sketsa : Mencari Keutamaan
Oleh isma daud
Catatan :
Senario di Sarawak amnya dan Sibu khasnya, bila ada kematian atau majlis tahlil, semua solat dibuat dirumah yang ada kematian tersebut. Jika rumah dekat dengan surau dan masjid, maka surau dan masjid itu akan tutuplah jawabnya kerana semua berkerumum di rumah terbabit. Bukan sehari bahkan seminggu atau selagi dijemput oleh tuan rumah.
Harapan saya, budaya silap ini dapat semua perbetulkan.... Dan catatan dibawah ini adalah satu daripada kisah benar yang saya alami sendiri.
Kisahnya....
Aduh. Beratnya pilihan yang hendah dibuat! Solat Fardhu berjamaahkah, di surau pulak tu atau majis tahlil di rumah sejiran surau? Maka pilihan apa yang patut dibuat? Bagi mereka yang hidup mata hati dan jiwanya; sudah tentulah solat fardhu berjamaah menjadi keutamaannya. Tetapi yakinlah bahawa inilah keputusan yang sudah dibuat oleh sebahagian umat Islam bahawa sesungguhnya solat berjamaahlah pilihan terakhir dan tidak ada keutamaan langsung. Pelik bunyi intro kali ini? Inilah pengalaman yang saya bersua hari ini.
Sebuah rumah orang Islam hanya dua ela dari surau. Rumah itu berpagar cuma pintunya terbuka manakala surau tanahnya lapang dan tidak pula berpagar. Lamannya sentiasa terbuka buat sesiapa saja. Ruang solat sentiasa bersedia menerima tetamu dan pintu surau tidaklah berkunci.
Maka tersebutlah akan al-kisahnya. Bertembunglah masuk waktu solat dan majlis tahlil. Maka tiba-tiba perkarangan surau sedikit demi sedikit dipenuhi dengan kenderaan dan dalam kenderaan itu ramailah umat manusia. Kereta itu masuk dalam perkarangan surau sebagai tempat "parking". Dalam fikiran saya mereka nanti hendak berjamaah bersama-sama kami memandangkan azan baru saja berkumandang dan iqamah belum lagi dilaungkan oleh bilal. Ternyata sangkaan saya kurang tepat. Silap jangkaan saya rupanya.
Keluarlah sekelompok manusia demi sekelompok dari kenderaan tanpa memandang pun ke dalam surau terus menuju ke rumah yang sebentar lagi akan bertahlil. Atas kerana apa tahlil diadakan tidak pula kami ketahuan. Tiada kematian tapi mungkin kerana mengingati keluarga yang telah mati atau sekadar majlis kesyukuran.
Ya, memang murni majlis itu tidak disangkal sesiapapun. Kami pun memang gembira kerana ada usaha beramal jariah dan berkenduri-kendara. Bukan main kelebihannya tu. Tetapi sedih hati kami cuma satu; solat kami hanya beberapa orang saja. Seorang imam dan empat orang makmum dewasa dan beberapa orang kanak-kanak saja; anak para jamaah yang ada.
HuH, keutamaan apa yang sedang berlaku ini. Mengapa senario ini terjadi? Dalam solat tidaklah kami terfikir apa-apa tetapi setelah selesai berjamaah wakil tuan rumah menjemput kami minta sama-sama bertahlil dan buat doa selamat. Maka kami tidaklah pula menolak jemputan itu dan tidaklah pula kami menerimanya. Cuma kami terkilan atas keutamaan apa sehingga yang sunnah diketepikan manakala yang bidaah pula diutamakan.
Sehayat saya tidak pula saya membidaahkan usaha "tahlil" ini walaupun ia bukanlah amalan sunnah. Cuma janggal benar pilihan yang sedang dibuat oleh sebahagian umat Islam. Berjaya benar usaha menidakkan sunnah dengan menghidupkan bidaah. Tidaklah tahlil itu persoalan bidaah saya tetapi menidakkan solat fardhu dan berjamaah itulah sebenar bidaah yang sedang berlaku. Besar sungguh bidaah ini.
Atas sikap kami yang kurang ilmu ini secara rendah hati kami memilih berzikir di atas surau sahaja. Majlis tahlil itu menjadi perkara kedua sahaja. Cuma terkilan dihati kenapa solat tidak didahulukan.? Tahlil dahulukah atau solat dahulu? Berjamaah itu satu hal lagi. Dimanakah keutamaannya dan kelebihannya? Hendak kata sudah solat semacam saya bicarakan azan baru berkumandang , iqamah belum dilaungkan.
Baik sangkanya mereka akan solat selepas bertahlil nanti. Mudah-mudahan....
Comments