Bunga Api, Gong Xi...Gong Xi... & Tahajjud

Oleh isma daud


Suasana Sambutan Tahun Baru Cina sudah mula terasa bila saudara kita dari kaum cina sudah bersedia menyambutnya tidak beberapa detik lagi. Dentuman bunyi mercun dan bunga api sesekali menggegar suasana, yang kekadang rasa terganggu juga.

Sampai saat ini masih belum banyak yang berbunyi dentumannya mungkin sehingga lewat malam ni sikit , mungkin tunggu detik jam 12 malam. Masa itu suasana malam bagai dilanda perang... tapi perang mercun dan bunga api.

Dari setiap rumah; pelbagai bunyi mercun yang kuat, berdentum-dentam bagai mahu runtuh langit. Percikan bunga api dan mercun bagai tidak langsung dikawal dan tiada yang haram di Sarawak ni... Ada kuat kuasa ke atau tidak sama sahaja. Begitulah hak orang cina, mereka seolah-olah kebal atas nama perayaan sambut tahun baru cina.

Bezanya, kalau berkumandang azan dari corong speaker menghala keluar suara muazzin dari lingkungan surau dan masjid; ramai orang cina tidak senang; komplen mengganggu ketenteraman awam. Orang Islam memang banyak beralah, lalu dikecilkan suara azan, atau sekadar dengar dalam lingkungan dalam surau atau masjid sahaja. Inilah senario yang berlaku dibeberapa tempat ramainya penghuni cina di sekitar bandar Sibu ni.

Kini sudah 10 tahun saya berada di bumi Sibu dan selama itulah situasi yang saya alami. Anak-anak akan bangun dari tidur dan suasana rumah akan turut diwarnai asap bunga api dan mercun. Baunya menusuk lubang hidung, bunyi memekakkan telinga.

Saya dan anak-anak sedang bersedia menanti saat dentuman dan pelbagai corak bentuk bunga api di ruang udara. Pelbagai corak dan rupa, berbagai gegak dan warna. Pada masa itu akan berjalanlah peronda penguatkuasa di kawasan perumahan kejiranan saya. Maka mereka akan merampas apa yang patut. Biasanya mereka rampas dari kejiranan saya yang ada mercun seberkas dua. Manakala rumah mewah akan bebas laku sahaja menggegarkan suasana tengahmalam sehingga awal pagi. Bagi kaum cina yang berhari raya itu tanda kekayaan dan banyak hantu atau anasir jahat dapat dihalau.

Terfikir dibenak saya; kesungguhan mereka mengumpul wang yang banyak dan dihanguskan pada satu malam untuk kekayaan seterusnya. Unsur-unsur jahat tidak lagi melingkari mereka. Mereka percaya dan mereka berhabisan untuknya.

Kenapa orang Islam tidak sanggup berhabisan dan bersungguh-sungguh menghayati ajaran agama mereka? Bila bersedekah amat kedekut? Bila beribadat amat berkira; tidak boleh lama sedikit, merungut tidak tentu pasal. Orang lain biar larut malam, kian larut kian meriah. Mengapa tidak orang Islam kian larut malam kian syahdu dalam teriak tangisnya dan rindu dendamnya kepada Allah SWT dengan doa, tahajjud dan qiamullail. Sedangkan kita adalah orang berada atas kebenaran tuhan, kebenaran yang sejati. Mengapa orang yang menyangka-nyangka berbuat seperti yakin benar sedangkan kita yang yakin benar hanya bertindak sekadar sangka-sangkaan sahaja. sudah terbalik jadinya...

Kepada saudara kejirananku yang berbangsa cina, jangan terasa dengan coretanku ini... sekadar meluah rasa. Apapun saya ucapkan selamat tahun baru cina. Gong Xi Fa Cai.

Kepada diriku dan saudaraku SeIslam saya tintakan ayat Allah SWT agar jadi renungan kita bersama.

وَمِنَ ٱلَّيۡلِ فَتَهَجَّدۡ بِهِۦ نَافِلَةً۬ لَّكَ عَسَىٰٓ أَن يَبۡعَثَكَ رَبُّكَ مَقَامً۬ا مَّحۡمُودً۬ا 

maksudnya: "Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji. " Surah al-Israa' : ayat (79).

Sekadar bertazkirah agar hati beroleh ingat....

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?