Qhadhak-Qhadar : Merubah Nasib Diri Bukan Sekadar Berserah

Oleh isma daud

Selepas solat subuh hujung minggu ; saya menyampai kuliah sepertimana biasa di Masjid Darul Halim, Sibu. Dan selepas kuliah para jamaah akan dihidangkan dengan sedikit sarapan pagi. Kami akan duduk atas kerusi dan meja bulat sebagai tempat bersarapan sambil berdiskusi. Suasana lebih harmoni dan tidak terlalu formal. Jadi sesiapa saja sudi bertanya dan kurang sedikit rasa malu mereka. Bahkan ada para jamaah lain boleh mencelah menokok tambah dan memberi pandangan mereka. Jadi diskusi itu menimbulkan minat bertanya dan berbincang sehingga lahir pelbagai idea dan membantu saya dalam memberi jawapan.

Dan di sinilah para jamaah akan mengemukakan soalan-soalan yang menjadi kemusykilan mereka dalam perkara agama Islam khususnya berkaitan dengan keperluan hidup harian mereka. Mungkin semasa berlangsungnya kuliah mereka bimbang mengganggu konsentrasi jamaah lain kalau mereka bertanya atau mengganggu perbicaraan saya dalam kuliah yang sudah saya juruskan dalam tajuk tertentu yang lebih spesifik.

Ada beberapa persoalan yang diutarakan dan menjadi pokok perbincangan pagi ini. Di antara persoalan yang ditimbulkan ialah yang berkaitan dengan Qhadhak dan Qhadar;

Apakah ia boleh berubah atau kita hanya boleh berserah dan bergantung harap kepada Allah SWT tanpa perlu berusaha?

Saya memberi respon kepada soalan ini dengan mengenengahkan pandangan ketua pengasas Ahlus Sunnah Wal Jamaah iaitu Abul Hassan al-Asy'Aari dan pendapat Abul Mansur Al-Maturidy; keduanya adalah antara guru dan murid. Bezanya keduanya membawa pendekatan aqal kerana mereka terdedah dengan pandangan falsafah. Apa pun bukan persoalan mereka berpegang kepada logik aqal atau nas Al-Quran atau hadis menjadi topik berbincangan di sini.


Bagi Abul Hassan Al-Asy'ari Qhadak adalah perlaksanaan bagi Qhadar manakala Al-Maturidy pula berpendapat bahawa Qhadar adalah perlaksanaan bagi Qhadak. Bagi saya kedua-duanya adalah betul kerana asas perbincangan bahawa ianya adalah datang daripada Allah SWT belaka. Mana yang dahulu cuma asas khilaf bagi memahami ilmu sahaja lagipun Qhadak dan Qhadar itu digunakan tidak berasingan bahkan berpasangan. Segala sesuatu yang berlaku dalam alam ini baik dalam perancangan Allah mahupun sudah berlaku; semuanya datang daripada Allah SWT. Itulah yang wajib kita imani.

Cuma saya sendiri lebih cenderung dengan pandangan Al-Maturidy bahawa Qhadak itu perencanaan Allah manakala Qhadar itu perlaksanaan Allah SWT kepada segala ketentuanNya bagi MakhlukNya. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda : Tidak berubah Qhadak melainkan dengan doa". Ini menunjukkan bahawa Qhadak itu masih dalam ruang belum berlaku atau dalam ilmu Allah SWT sahaja. Saidina Umar Bin Al-Khattab juga pernah berkata semasa dia berpindah kerana negerinya dilanda oleh penyakit taun; baginda berkata: " Aku lari daripada Qhadar Allah kepada Qhadaknya". Jelas di sini bahawa sesuatu yang belum berlaku masih dalam Qhadak Allah SWT. Kalau sudah berlaku apa yang dapat kita buat lagi. Maka kita hanya mampu berserah kepada Allah SWT sahaja dan perlu redha dengan ketentuanNya yang telah mentakdirkannya ianya berlaku. Lantas apabila berlaku sesuatu kita berkata: " Sudah taqdir Allah SWT semua ini berlaku".

Bahkan Al-Maturidy juga membahagikan Qhadhak itu kepada dua bahagian iaitu Muallaq dan Mubram. Jelas Qhadhak itu boleh berubah dan ada yang tidak boleh berubah. Maka Qhadah mubram itu tidak boleh diubah lagi seperti mati dan jantina seseorang. Apa pun usaha dan ikhtiarnya tidak merubah apa-apa yang ada di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud : " Setiap yang bernyawa pasti menemui mati". Dalam ayat lain Allah SWT berfirman: "Dan Dialah yang menjadikan daripada air mani itu lelaki dan perempuan". Cuma bila mati itu masih dalam ilmu Allah SWT tiada sesiapa yang dapat menentukannya; berapa banyak alat untuk menentukan jantina kadangkala kecanggihan alat itu tidak dapat menetukan jantina bayi dengan tepat. Sebab itu kita mesti yakin dan redha dengan ketentuan Allah dalam perkara yang tidak dapat kita pilih. "Jika Engkau tidak menentukannya maka tiada sesiapa yang dapat menentu keatasnya" Itulah yang kita sentiasa sebut dalam doa Qunut kita dalam solat Subuh atau dalam bulan Ramadhan ketika salat witir kita.

Ya ; Qhadak itu boleh berubah sebagaimana warid dalam hadis Rasulullah SAW yang saya sebut tadi; " Tidak berubah Qhadak melainkan dengan doa". Kalau Qhadak itu sudah berlaku maka apa yang hendak diubah lagi. Orang melayu pun menyebut; " Nasi sudah menjadi bubur". Jadi sebelum ianya berlaku maka ia masih dalam ruang ilmu Allah SWT yang berkuasa merubahnya atau tidak. Jika ia berkaitan dengan usaha manusia untuk berubah ia dipanggil Qhadhak Mu'allaq. Allah SWT sendiri menegaskan dalam firmanNya yang bermaksud: " Allah SWT tidak merubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum itu sendiri yang merubahnya ". Perubahan itu bergantung dengan ikhtiar dan usaha manusia. Contohnya seorang yang berdoa untuk panjang umur mestilah berusaha menjaga pemakanan dan kesihatan dirinya, orang yang mahu berjaya mesti berusaha gigih menjejaki jalan kejayaannya.

Kalau seseorang itu hanya berserah kepada nasibnya; dia hanyalah bercita-cita dan panjang angan-angan sedangkan Rasulullah SAW sangat membenci orang yang panjang cita-citanya sahaja tanpa berusaha.

Begitu juga Islam mengharamkan orang yang yang bergantung kepada usahanya sahaja tanpa menghubung diri kepada Allah SWT. Orang ini sudah bersikap takbur dan lupa diri. Allah SWT Berfirman yang maksudNya: " Dan jangan kamu menjadi seperti orang yang lupa akan Allah nanti Allah akan jadikannya lupa kepada diri sendiri; jadilah mereka itu orang-orang yang fasiq".

Apa yang terbaik ilah mereka yang berusaha dengan keilmuan dan kemampuannya untuk berubah dan pada masa yang sama tidak lupa berdoa dan meletakkan pergantungan diri serta tawakkal kepada Allah SWT sebagaimana saranan Allah SWT di dalam firmanNya yang bermaksud: " Dan apabila kamu sudah berazam (berusaha); maka bertawakkallah kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT sangat menyukai orang yang bertawakkal".

Wallahu A'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?