Kecemerlangan Peperiksaan Atau Pendidikan, Guru Tusyen Atau Guru Sekolah : Mana Yang Utama?

Oleh isma daud

Satu topik yang menarik yang dibincangkan dalam rancangan "Selamat Pagi Malaysia" pagi ini (2/11/2008) berkaitan Faham atau Hafal. Saya tertarik dengan topik ini kerana ia dikaitkan dengan kecemerlangan seseorang pelajar di dalam peperiksaan mereka. Pelbagai pandangan diutarakan; ada yang mengutamakan hafalan dan ada yang mengutamakan kefahaman. Dan ada juga melihat kombinasi di antaranya. Semua itu akhirnya mahukan satu iaitu berjaya di dalam pelajaran mahupun peperiksaan mereka.

Apatah lagi sekarang ini sistem peperiksaan yang melihat "A" sebagai cemerlang. Maka berlumba-lumbalah ibubapa menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas tusyen untuk memastikan anak mereka mencapai "A" tersebut. Bahkan anak-anak (pelajar) ini lebih mengutamakan kelas tusyen daripada kelas pembelajaran dan pengajaran guru di dalam kelas. Pelajar tidak lagi mengutamakan guru di dalam kelas tetapi guru tusyenlah yang lebih dihargai dan dikenangnya. Ini kerana guru tusyen dapat meyakinkan mereka dengan kertas-kertas soalan ramalan dan pelajar yang malas belajar di sekolah pun begitu bersemangat ke kelas tusyen. Mereka sanggup menghafal apa sahaja yang diberikan oleh guru tusyen mereka.

Bagi seorang guru tusyen sudah tentu lebih mementingkan pencapaian "A" dalam peperiksaan berbanding seorang guru dan pendidik di sekolah. Di sekolah seorang guru lebih mementingkan pembangunan diri pelajar secara holistik. Di sekolah seorang guru lebih mementingkan pendidikan dan tanggungjawab menjadikan seorang manusia itu adalah manusia yang berguna. "A" bagi guru di sekolah bukan lagi "A" di dalam sesebuah peperiksaan yang di kejar oleh masyarakat hari ini. Guru di sekolah bukan sahaja mahu pelajar atau murid berjaya dalam pelajaran bahkan berjaya dalam hidup. Sudah tentulah dengan segala keterbatasan yang ada; masyarakat melihat tidak cukup pembelajaran di sekolah sahaja. Mereka perlukan seorang guru tusyen. Di tambah dengan sistem peperiksaan yang ada hari ini turut mengajak masyarakat menjadikan guru tusyen lebih berjasa kepada anak mereka.

Lihatlah berapa banyak ibubapa yang akan memberi penghargaan kepada guru-guru di sekolah selepas anak mereka berjaya dalam peperiksaan nanti?

Ini menyebabkan masyarakat melihat bahawa kelas tusyen lebih penting daripada guru yang mendidik anak-anak mereka sewaktu berada di sekolah. Sedangkan apa yang dibuat oleh seorang guru tusyen adalah memindahkan ilmu dan menterjemahkannya pula di dalam kertas peperiksaan. Apa yang berlaku kepada pelajar itu samada dia mempunyai nilai atau tidak; sudah tentu bukan keutamaannya. Jadi guru tusyen dilihat sebagai "orang baik" berbanding guru di sekolah yang dilihat sebagai "orang penyibuk" kerana guru tusyen tidak marah kepada mereka berbanding guru di sekolah yang akan membentuk peribadi; ini betul , ini salah. Atas alasan ini pelajar hari ini telah meletakkan hukum kepada guru di sekolah sebagai gagal membentuk dirinya untuk mencipta "A" di dalam peperiksaan.

Melalui pengalaman saya apabila berdepan dengan pelajar atau murid yang mana mereka terpaksa untuk membuat pilihan di antara aktiviti yang dilakukan oleh guru di sekolah dengan kelas tusyen; si murid akan berkata tidak dapatlah cikgu, saya ada tusyen petang ini. Bahkan apabila sekolah mengadakan bengkel peperiksaan pun ; pelajar tidak menerima secara serius berbanding bengkel berbayar yang dikendalikan oleh pihak swasta.

Saya masih ingat semasa pihak sekolah mengundang Pakar Motivasi dan Pendidikan ; Yang Berbahagia Dr Syukri Abdullah; yang mana beliau dijemput oleh pihak sekolah saya pada tahun lepas; ada di kalangan pelajar mahu balik , tidak mahu meneruskan program motivasi tersebut kerana mahu menghadiri kelas tusyen. Saya masih ingat pesanan Dr Syukri Abdullah: "Sesiapa yang mengikuti kelasnya tidak boleh separuh jalan, kalau mahu ikut ikut semua, kalau ada yang mahu separuh jalan , jangan ikut dari awal lagi". Kenapa jadi begini? Lebih sangatkah guru tusyen sekarang ini? Sungguh hebat penangan guru tusyen di mata ibubapa dan pelajar-pelajar hari ini. Ini kerana mereka merasakan guru tusyen lebih memberi jaminan "A" daripada mendengar ceramah kecemerlangan dan teknik berjaya di dalam peperiksaan. Mungkin pelajar melihat ceramah Dr Syukri tidak melibatkan duit ibubapa mereka berbanding kelas tusyen yang dibayar oleh ibubapa. Mereka lupa sekolah juga berbelanja besar...

Falsafah pendidikan yang utama ialah melahirkan insan yang seimbang; insan yang dapat memilih di antara betul dan salah, yang dapat mengenal manusia itu dengan jati dirinya serta penciptanya. Janganlah dek kerana mengejar kecemerlangan peperiksaan semata-mata, maka kecemerlangan pendidikan dan tarbiyyah anak-anak dikesampingkan begitu sahaja. Harapan saya agar ibubapa hari ini lebih sedar akan tanggungjawab mereka untuk memastikan anak mereka sebagai saham mereka untuk mendapat kebahagian hidup sebenar di dunia dan akhirat, bukan melahirkan anak seperti robot, yang cemerlang akedemik tetapi mati hati dan jiwa mereka.

Teringat saya kepada seorang ibu yang menghalang anaknya daripada mengikuti program bestari solat kerana anaknya gagal dalam subjek sejarah. Setelah anaknya merayu-rayu dan berjanji mahu membuktikan beliau akan berusaha untuk lulus dalam subjek sejarah barulah ibu itu memberi keizinan mengikuti kelas bestari solat.

Fikir-fikirkanlah..... Manakah Yang Lebih Utama???

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?