Rasulullah saw Pembawa Rahmah

Oleh isma daud


Catatan ini saya telah tulis pada 15/3/2009 tetapi tidak sempat dipamerkan dalam blog ini kerena kesibukan dan pada hari yang sama saya pulang ke kampung...:

Di hujung minggu ni saya ada dua ceramah agama; kedua-duanya menyentuh pasal maulidurrasul yang membawa tema "Wahdah Pemangkin Khaira Ummah". Satu program tu anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sibu dan satu lagi anjuran Surau Darul Iman dengan kerjasama pihak ladang kelapa sawit, Daerah Selangau.

Di Selangau : Sambutan Maulidur Rasul disambut secara sederhana sahaja. Hanya ceramah agama dan jamuan di akhir majlis. Pengerusi Surau Darul Iman sendiri yang jemput saya dengan kenderaan pacuan empat roda. En. Ismaili menempuh perjalanan pergi balik sendirian di samping mengambil makanan dan kelengkapan jamuan di Sibu dan dibawa ke surau. Jarak perjalanan dari Sibu ke Surau Darul Iman mengambil masa hampir 1jam 50minit dengan jarak sekitar 96km. Pukul berapa En Ismaili bertolak dari ladang pun saya tidak pasti, tapi jam 4 petang dia sudah berada di rumah saya untuk menjemput saya ke sana. Bawa saya ke sana dan hantar balik nanti saya ke Sibu dan akan balik ke ladang pada malam tu juga. Kalau sampai di rumah saya dah jam 11.30 malam agaknya dia sampai rumahnya jam masuk pukul 2pagi.

Perjalanan ini bukan sahaja menempuh hujan lebat yang kemudiannya turunnya renyai-renyai sepanjang perjalanan; kami juga terpaksa menempuh jalanraya yang berlopak dan rosak serta becak di sana-sini. Jalan yang menghubung di antara Selangau-Mukah ini sudah bertahun dibaiki tapi hingga kini belum juga siapnya.

Pada petang tu saya ada mesyuarat di PPD Sibu dan berakhir jam 5.00 petang. Saya terpaksa minta diri awal sikit untuk keluar dari bilik mesyuarat dan balik ke rumah dengan Ustaz Nailan yang saya ajak untuk temani saya pada petang itu. Satu lagi nak dedahkan dia dengan program masyarakat setempat. Kami solat Asar berjamaah sebelum bertolak ke Selangau. Jam 5.00 petang kami mula bertolak. Kasihan En. Ismaili kerana terpaksa menunggu saya agak lama. Selepas itu kami jemput Tuan Hj Dol; Pengerusi Surau Darul Hijrah, yang mahu turut serta program malam tu. Jam 6.40 petang kami sampai di Surau Darul Iman.

Rasulullah saw Pembawa Rahmah

Dalam ceramah saya; saya menekankan bagaimana besar ertinya perutusan Rasulullah saw kepada manusia dan alam sejagat, sehingga segala perjalanan alam maya ini menjuruskan kepada lahirnya seorang nabi akhir zaman yang tiada lagi nabi selepasnya iaitu Nabi Muhammad saw.

Setiap nabi yang datang akan membicarakan akan lahirnya nabi agung ini sehingga digambarkan oleh Allah swt bahawa orang-orang Yahudi itu mengkaji sikap dan peribadi nabi akhir zaman ini sehingga mereka kenal tandanya sebagaimana mereka kenal tanda yang ada pada anak-anak mereka sendiri.

{الَّذِينَ آتَيْنَاهُمُ الْكِتَابَ يَعْرِفُونَهُ كَمَا يَعْرِفُونَ أَبْنَاءهُمْ وَإِنَّ فَرِيقاً مِّنْهُمْ لَيَكْتُمُونَ الْحَقَّ وَهُمْ يَعْلَمُونَ}
maksudnya:"Orang-orang yang Kami datangkan kepada mereka itu akan al-Kitab; mereka mengenali Nabi Muhammad itu sepertimana mereka kenal anak-anak mereka sendiri. Dan sebahagian daripada mereka itu mahu menyembunyikan kebenaran padahal mereka mengetahuinya".-Surah Al-Baqarah; ayat (146).

Ini kerana tugas nabi-nabi yang diutuskan Allah swt ialah memberitahu kaum mereka bahawa sempurnanya syariat ini hanya bilamana munculnya nabi Muhammad saw. Hal ini dapat kita lihat melalui lisan Nabi Isa as kepada Bani Israel. Allah swt menceritakan dalam firmanNya;

{وَإِذْ قَالَ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ يَا بَنِي إِسْرَائِيلَ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُم مُّصَدِّقًا لِّمَا بَيْنَ يَدَيَّ مِنَ التَّوْرَاةِ وَمُبَشِّرًا بِرَسُولٍ يَأْتِي مِن بَعْدِي اسْمُهُ أَحْمَدُ فَلَمَّا جَاءهُم بِالْبَيِّنَاتِ قَالُوا هَذَا سِحْرٌ مُّبِينٌ}
Maksudnya:"Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa Ibni Mariam berkata: Wahai Bani Israil, sesungguhnya aku ini Pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama: Ahmad. Maka ketika dia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: Ini ialah sihir yang jelas nyata!" - Surah As-Saff; ayat (6)

Hal ini dapat dibuktikan bilamana Nabi Muhammad saw ketika berusia belasan tahun menyertai bapa saudaranya Abu Talib dalam kafilah perdagangan ke Syam, tiba-tiba seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira mengesan ada sekumpulan awan yang bergerak menaungi atas kepala seorang budak; lantas dia mengenali akan tanda kenabian itu dan dia bimbang kalau-kalau orang Yahudi lain turut mengesannya lalu mereka mumbunuhnya. Takut berlaku yang demikian, beliau menasihati Abu Talib segera membawanya pulang ke Mekkah.

Jelas mereka mengenali nabi Muhammad saw dengan tanda "Irhas" yang ada pada nabi Muhammad saw.


Perutusan Nabi Muhammad Bagi Menyempurnakan Akhlak Manusia.

Sabda Rasulullah saw; "Sesungguhnya aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak".

Selayaknya Rasulullah saw menjadi contoh teladan terbaik kepada kita semua kerana baginda adalah insan yang berakhlak mulia. Allah swt sendiri yang mentarbiyyah baginda agar menjadi insan yang paling sempurna akhlaknya. Firman Allah swt : "{وَإِنَّكَ لَعَلى خُلُقٍ عَظِيمٍ}- "Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia" - Surah Al-Qolam; ayat 4.

Amat benarlah perkataan Saidatina Aisyah rha. apabila beliau ditanya tentang akhlak Rasulullah saw; "Adalah akhlak Rasulullah saw itu adalah al-Quran".

Saya mengambil contoh sifat sabar baginda saw; Allah swt mendidik baginda saw dengan firmanNya yang bermaksud; "Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya" - Surah al-Ma'arij; ayat 5.

Dengan tarbiyyah ini; Rasulullah saw muncul sebagai orang yang kuat bersabar dalam melaksanakan jihad bagi menegakkan agama Allah SWT walaupun terpaksa menempuh pelbagai mehnah dan tribulasi perjuangan,. Rasulullah telah disenaraikan sebagai "Rasul Ulul Azmi" iaitu mereka yang paling banyak menerima dugaan Allah swt dan cabaran kaum masing-masing dan mereka ini telah berjaya menghadapinya dengan cemerlang. Firman Allah SWT; "Maka bersabarlah sebagaimana sabarnya nabi-nabi Ulul Azmi dari kalangan rasul...".

Contoh ketabahan dan kesabaran nabi yang ketara ialah bila baginda mampu menolak setiap tawaran orang kafir Quraisy supaya berhenti daripada berdakwah tetapi ditolaknya seraya berkata; "Jika diletakkan matahari di tangan kanannya dan bulan pula diletakkan di tangan kirinya; nescaya dia tidak akan berhenti".

Satu contoh lagi ialah kesabaran Rasulullah saw mengharungi tahun-tahun sukar apabila dipulau ahli kelurganya oleh Kaum Quraisy sehingga mereka kelaparan dan terhimpit dalam segala hal selama tiga tahun berturut-turut sehingga wafatnya dua manusia penting dalam hidup Rasulullah saw iaitu wafatnya Saidatina Khadijah Binti Khuwailid dan bapa saudaranya abu Talib. Tahun ini dikenali sebagai "tahun dukacita".

Dalam pada itu Rasulullah saw cuba mencari tapak baru bagi dakwahnya dengan berhijrah ke Thaif dengan harapan penduduk Thaif akan menerima dakwahnya. Namun apa yang berlaku; bukan saja mereka mempersenda ajakan nabi dan mereka melontarkan batu kepada baginda sehingga berdarah tubuh baginda saw. Sehingga turun Jibril dan Mikail bertanya kalau-kalau baginda saw mahu menghempak kepala mereka dengan Bukit Thaif biar binasa semuanya mereka itu, nabi Berkata: "Maafkan mereka kerana meereka adalah kaum yang tidak mengerti".


Perutusan Rasulullah SAW bagi Membersihkan Gejala Kufur, Syirik dan Jahiliyyah.


Firman Allah swt:

{هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الْأُمِّيِّينَ رَسُولًا مِّنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِن كَانُوا مِن قَبْلُ لَفِي ضَلَالٍ مُّبِينٍ}

Maksudnya:"Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata". - Surah al-Jumuah; ayat (2).

Dalam ayat ini Allah swt menggariskan empat tugas utama Rasulullah saw. apa yang saya faham ialah;

1. Membersih kejahilan dan sifat ummi dengan ilmu pengetahuan. Ini diperkukuh dengan perintah Iqra' dalam wahyu yang pertama yang diturunkan kepada baginda saw.

2. Membersihkan masyarakat jahiliyyah daripada kerosakkan akhlak dan kepercayaan yang penuh syirik dan kufur kepada Allah swt dengan mengajak manusia supaya beriman kepada Allah SWT dan menyembah Allah SWT semata-mata.

3. membimbing dan mengajar manusia dengan syariat yang sebenar berlandaskan sumber wahyu daripada Allah swt supaya manusia tahu bagaimana mereka dapat beribadat kepada Allah swt dan cara pergaulan yang betul yang akan membawa ketenangan hati serta keselamatan hidup di dunia dan akhirat.

4. mengajar manusia dengan hikmah dan menunjuk cara secara praktikal bagaimana pergaulan itu dilangsungkan. Inilah yang kita sebut sebagai as-Sunnah yang mampu menunjukkan cara yang boleh dijadikan teladan. Setiap tingkah laku Rasulullah saw adalah menjadi pedoman kepada manusia untuk hidup sempurna berlandaskan agama atau syariat.

Begitulah rahmatnya perutusan Nabi Muhammad saw kepada manusia dan alam seluruhnya.Semoga dengan menyambut hari keputeraan baginda saw ini malahirkan perasaan cinta dan kasih kita yang mendalam kepada Rasulullah saw.

Wallahu 'alam!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?