Rasulullah SAW Adalah Qudwah Ahli Politik Berjaya

Oleh isma daud

Rasulullah saw adalah qudwah kepada segala manusia dalam semua hal baik persoalan yang kecil maupun besar, beriman ataupun kafir, kawan maupun lawan, kaum kerabat berdarjat maupun rakyat jelata yang rendah atau yang biasa-biasa. Rasulullah saw adalah contoh teladan sebagai ahli politik yang baik.

Rasulullah saw telah berjaya mengadaptasikan segala anugerah Ilahi yang dikurniakan kepadanya; sehingga menjadi seorang pemimpin sejati yang terpuji akhlaknya, hebat kepimpinannya, adil dalam keputusannya. Dengan itu; Rasulullah saw mampu meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya dan baginda saw berjaya meletakkan kebajikan, kebaikan dan rahmat kepada semua.

Di dalam satu riwayat; Imam Muslim meriwayatkan bahawa Mu'awiyah Bin Al-Hakam As-Salma berkata; "Berlaku satu peristiwa pada diriku semasa aku solat berjamaah bersama rasulullah saw, tiba-tiba bersihlah salah seorang ahli jamaah, lalu aku berkata (tengah-tegah solat itu); Yarhamkallah!! Lalu semua orang memandang kepadaku dengan rasa marah. Lalu aku merasa jengkel terus berkata; "Eh!! Apa kamu semua ni, sehingga memandang kepadaku sebegitu rupa?" Merasakan tindakanku itu menyakitkan hati mereka, mereka mengangkat tangan dan kaki ingin memukulku. Apabila aku melihat mereka lantas mereka mengisyaratkan supaya aku diam. Dalam pada itu aku lihat Rasulullah saw tenang meneruskan solat. Kagum melihat kepada solat Rasulullah saw aku berkata: "Demi ayah dan ibuku dan ibubapa mereka berdua, Rasulullah saw telah menunjuk teladan bagaimana seorang itu bersembahyang, dilah sebaik guru dan pembimbing yang berhikmah dalam pengajaran. Demi Allah SWT! Dia tidak mengherdikku, memukulku dan mencemuhku...sebaliknya berkata: "Seseorang yang solat itu tidak harus berkata-kata kecuali tasbih, takbir dan bacaan ayat Al-Quran".

Rasulullah saw menunjukkan daya kepimpinannya dengan menunjuk cara dan mengurangkan kata-kata. Tunjuk-ajar baginda cukup mengesankan berbanding sikap kasar dan cemuhan atas kesilapan orang lain yang mereka itu terkadang jahil dan kurang ilmu dalam sesuatu perkara. "Lisanul Hal Afsah Min Lisanul Maqal".

Jika dengan para sahabat baginda bertindak lunak, tidaklah menghairankan. Bagaimana pula jika perbuatan itu datang daripada musuhnya? Saya bawakan peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang menjadi kemuncak pertelingkahan kaum Muslimin dengan puak Kafir Quraisy. Di mana Rasulullah saw telah menerima setiap satu isi perjanjian dengan mereka biarpun para sahabat pada mulanya merasa kurang senang dan berpendapat isi perjanjian itu tidak menguntungkan umat Islam dan berat sebelah. Namun Rasulullah saw sebagai pemimpin yang berpandangan jauh dapat mengesan dari awal bahawa perjanjian itu akan membawa keuntungan kepada umat Islam. Bahkan Rasulullah saw menjadikan Sulhu Hudaibiyah ini sebagai titik tolak kepada Pembukaan Kota Mekah dan pembebasan Semenanjung Tanah Arab daripada belenggu syirik dan kotoran jahiliyah.

Sebagai pemerintah kepada sebuah negara Islam; Rasulullah saw telah berjaya menyusun ngara Madinah Al-Munawwarah muncul sebagai negara paling pesat berkembang. Cukup 10 tahun baginda telah menjadikan Madinah negara contoh kepada rantaunya. Kehebatan Rasulullah saw mentadbir negara Madinah telah mendapat pengiktirafan segala tokoh politik setiap zaman. Biarpun musuh-musuh Islam berusaha untuk menidakkannya, jauh disudut hati mereka, mengaku bahawa Rasulullah saw adalah teladan terbaik sebagai seorang pemimpin dan ahli politik terunggul. Mereka telah berhimpun dan sepakat bahawa "Muhammad" saw seorang yang memiliki pakej kecerdikan, kepandaian dan kebijaksanaan; bijak mentadbir dan mengurus....sehingga mampu menangani segala kesulitan, mencapai segala matlamat, menjadikan kemuliaan dan kehormatan ummah terlaksana dan satu landasan yang mampu memacu umatnya untuk beroleh kemuliaan, kekuatan dan kejayaan... "Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitulah Al-Quran dan As-Sunnah".

Sejak hari pertama menjejak ke dua kakinya yang mulia di Madinah Al-Munawwarah, baginda saw terus membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Nabawi lalu dijadikan sebagai pusat ibadat, pusat kegiatan masyarakat, kehakiman, pentadbiran negara, kesenian dan penyebaran ilmu dan dakwah.

Dari masjid inilah dipancarkan secara terus-menerus usaha dakwah yang mampu akhirnya menerangi dua pertiga dunia dengan cahaya Islam. Syariat Allah SWT bertakhta dan berkuasa. Agama Allah SWT berada dikemuncak kemuliaan dan ditinggikan, berada dipuncak penguasaan sehingga keadilannya menusuk kalbu dan menyelinap dalam jiwa manusia seluruhnya. Di masjid inilah para pembesar dunia dibangunkan dan diraikan... di sinilah terbentukkanya piagam Madinah yang menjadi dustur pertama tertulis di dunia sehingga menjadi dasar kesatuan ummah dan kedamaian sejagat memampukan mereka menghadapi segala cobaan dari dalam dan luar untuk menghancur dan memusnahkan mereka. Pemuka-pemuka dunia akhirnya mengiktiraf Madinah Al-Munawwarah sebagai negara Islam yang berdaulat...

Dalam tempoh yang singkat; rasulullah saw mampu membangunkan sebuah masyarakat madani, di bawah kesepaduan Islam yang diikat oleh naungan bendera persaudaraan di antara Muhajiriin dan ansar; ikatan persetiaan di antara kaum Aus dan Khazraj... menjadikan mereka hidup bersaudara yang saling kuat-menguat di antara satu sama lain.

Hasil kesepakatan, kesatuan yang jitu ini telah memerdekakan masyarakat Madinah dari kongkongan Yahudi dan puak Musyrikin Mekah dan akhirnya mereka berjaya menegakan hukum Islam di seluruh Semenanjung Tanah Arab.

Kalaulah Nabi Muhammad saw tidak memiliki ciri-ciri dan sifat-sifat terpuji ini; tidak dianugerahkan kebijaksanaan, suasana lunak hasil adunan politik yang baik dan ketenteraan yang hebat masakan mampu untuk mendirikan kerajaan Islam di Madinah; masakan pula Islam menakluki setiap inci bumi dengan penuh kesih sayang dan wala'(kepatuhan).

Mengapa Tidak? Rasulullah saw menjadi seorang politik unggul kerana ketundukannya kepada seluruh arahan Allah SWT seterusnya membezakannya daripada semua ahli politik di dunia ini. Dengarkanlah arahan Allah SWT kepada rasulnya agar sentiasa terdidik dalam pentadbiran dan pemerintahannya...

Firman Allah SWT yang bermaksud : "Maka dengan Rahmat Allah; kamu bersikap lemah-lembut kepada mereka dan kalaulah kamu bersikap kasar dan berhati bengis, tentulah mereka lari dan menjauhkan diri daripada kamu; sebab itu, maafkanlah kesalahan mereka dan mohonlah keampunan untuk mereka dan adakanlah musyawarah dengan mereka dalam beberapa urusan dan apabila kamu telah membuat keputusan; maka bertawakkallah kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah SWT amat menyukai orang-orang yang bertawakkal(berserah diri) kepadaNya".

Ya Rasulullah! Engkau Tokoh Politik Terhormat dan menjadi Qudwah Hasanah sebagai pemimpin tulin... Kepada ahli politik masa kini bermuhasabahlah diri....

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?