Sumpah Perlu Dilaksanakan Berdasarkan Tuntutan Islam - PUM PP

Sumber : Harakahdaily


Persatuan Ulamak Malaysia Pulau Pinang (PUM PP) merujuk kepada isu sumpah (mubahalah) yang telah dilafazkan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan (pendakwa - mudda'i) berhubung pertuduhan liwat oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

PUM PP berpandangan adalah tidak wajar mempolitikkan isu sebegini dan pihak-pihak tertentu yang menggunakan nama Islam dan Syariah untuk kepentingan tertentu harus berhenti sama sekali dari berbuat demikian.

PUM PP menyarankan agar isu ini diselesaikan mengikut peraturan dan Syariat Islam sepertimana yang digariskan dalam undang-undang Syariah Islam jika benar pihak terbabit ikhlas mahu menyelesaikannya mengikut lunas-lunas Islam.

PUM PP menyatakan pendirian bahawa bersumpah dengan memegang al-Quran tidak ada dalam tradisi dan Syariat Islam dan tidak wajar dicampur-adukkan dalam sumpah yang dilakukan itu.

PUM PP juga menyatakan bahawa pendakwa (Saiful) tidak ada keperluan untuk melafazkan sumpah memandangkan beliau adalah di pihak yang membuat pertuduhan.

Dalam Syariat Islam, kes ini diklasifikasikan sebagai kes Hudud (dalam bab zina) dan pendakwa wajar membawa bukti mengikut Syarak bahawa perlakuan liwat berlaku dan perkara ini akan dibicarakan di mahkamah selaras kaedah feqah 'al bayyinah alal mudda'i wal yaminu ala man ankara'; pihak pendakwa perlu mengemukakan bukti (empat orang saksi) manakala yang menafikan dikehendaki bersumpah.

Pada asasnya, Islam meletakkan peraturan yang jelas bagi memungkinkan keadilan dicapai melalui proses kehakiman dan pembuktian terlebih dahulu sebelum sebarang sumpah dilafazkan. Sumpah sebegini tidak wajar dilaksanakan sebelum proses kehakiman diselesaikan.

Perkara yang berlaku ini akan memberi kesan buruk antara lain kepada perlaksanaan sistem kehakiman Syariah di Malaysia apabila pada masa akan datang pelbagai pihak boleh menggunakan ini sebagai 'precedent' bagi mendahulukan sumpah terutama dalam kes li'an sebelum proses kehakiman dapat dilakukan.

Proses pembuktian dan pengadilan akan diketepikan dan pihak yang bersalah boleh memilih untuk menggunakan sumpah (yang tidak memerlukan pembuktian) bagi menyelamatkan diri dari penghukuman.

PUM PP menyeru semua pihak agar tidak menggunakan nama Islam dan Syariah tanpa mengikuti peraturan Syariah yang sebenarnya bagi tujuan politik 'Machiavelli' mahupun kepentingan peribadi.

PUM PP juga menyeru agar beberapa ulama dan agamawan untuk merujuk dan menerima pandangan ulama dan pakar lain sebelum membuat apa-apa kenyataan yang bakal memburukkan keadaan dan tidak memungkinkan proses keadilan dan penghakiman dapat dilaksanakan dengan sempurna di negara.

Dalam hal ini dan apa juga masalah semua pihak digesa untuk merujuk kepada prinsip ta'awun seperti mana yang ditekan oleh al-Quran. - lanh


Penulis adalah Yang Dipertua PUM PP

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?