Siri Kisah Nabi Musa - Siri 8: Kekejaman Firaun Kepada Bani Israel
Assalamu’alaikum wmt.
Alhamdulillah ; kita bersua sekali dalam siri kisah al-quran. Dalam siri ke 8 Kisah nabi Musa ini , saya akan menyambung lagi lanjutan pertentangan di antara Firaun dan nabi Musa a.s. Sudah tentulah Firaun tidak dapat menerima kekalahannya kepada nabi Musa. Sudah tentulah Firaun bimbang pengaruh nabi Musa akan tersebar luas dan dirinya akan terpinggir, pengaruhnya akan terhakis dan akhirnya kerajaannya akan jatuh kepada budak lelaki yang ditakutkan sejak sebelum dilahirkan lagi itu.
Saudara; Firaun bermesyuarat bersama-sama dengan pembesarnya. Akhirnya inilah keputusan yang mereka ambil iaitu meningkatkan tekanan dan kezaliman ke atas Bani Israel yang di anggap kelas kambing dalam kasta kerajaan Firaun. Firaun mengarahkan tenteranya membunuh orang-orang lelaki dan membiarkan orang-orang perempuan hidup. Firman Allah menceritakan kisah ini di dalam surah al-A’raaf mula dari ayat 127:
{وَقَالَ الْمَلأُ مِن قَوْمِ فِرْعَونَ أَتَذَرُ مُوسَى وَقَوْمَهُ لِيُفْسِدُواْ فِي الأَرْضِ وَيَذَرَكَ وَآلِهَتَكَ قَالَ سَنُقَتِّلُ أَبْنَاءهُمْ وَنَسْتَحْيِي نِسَاءهُمْ وَإِنَّا فَوْقَهُمْ قَاهِرُونَ} (127) سورة الأعراف
Maksudnya: “ Berkatalah pembesar-pembesar dari kaum Firaun (kepada Firaun): “Apakah kamu membiarkan Musa dan kaumnya untuk mengadakan kerosakan di dalam negeri ini dan mereka meninggalkan kamu serta tuhan-tuhan kamu? Firaun menjawab: “Kita akan bunuh anak-anak lelaki mereka dan biarkan hidup perempuan-perempuan mereka dan sesungguhnya kita berkuasa penuh terhadap mereka”.
Maka bermacam tindakan yang tidak berperi kemanusiaan dilakukan oleh Firaun kepada Bani Israel sehingga mereka tidak tertanggung lagi menghadapi kezaliman Firaun dan tenteranya. Mereka datang mengadu kepada nabi Musa mengharapkan pertolongan dan perlindungan. Nabi Musa yang tiada kerajaan tidak mampu berbuat apa-apa selain meminta agar mereka terus bersabar sehingga Allah memberi pertolongan dan membebaskan mereka dari kekejaman Firaun itu. Nabi Musa menganjurka supaya meninggatkan rasa sabar dan tawakkal mereka dengan berdoa agar Allah segera memberi pertolongan kepada mereka. Inilah satu-satu kekuatan yang mereka ada yang tidak ada pada Firaun. Iman mereka bertambah dan keyakinan mereka telah benar-benar teguh terhadap risalah yang dibawa oleh nabi Musa a.s.
Maka kecewalah Firaun lalu mereka membuat perencanaan yang lain pula. Mereka bermesyuarat dan membuat pakatan untuk membunuh nabi Musa pula. Di tengah-tengah pemesyuaratan mereka tiba-tiba bangkit seorang dari keluarga Firaun yang menyembunyikan keimanannya kepada risalah Musa memberi nasihat. Allah SWT menceritakan dalam surah Al-Mukmin bermula ayat: 28 sehingga ayat 45. Saya meringkaskan firman Allah itu; “Dan seorang lelaki yang beriman di antara pengikut-pengikut Firaun, yang menyembunyikan imannya berkata: “Apakah kamu akan membunuh seorang lelaki kerana dia menyatakan “Tuhan kamu ialah Allah”? Dia telah datang kepada kamu dengan membawa keterangan-keteragan yang nyata dari tuhanmu. Jika dia berdusta, dusta itu adalah dosanya dan jika kamu membunuhnya sedangkan dia di pihak yang benar nanti azab Allah akan menimpamu seperti keadaan kaum Nuh, Aad, Thamud dan mereka yang engkar selepas mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah kepada orang-orang yang melampai batas ”
Namun saudara; nasihat itu tidak memberi bekas kepada Firaun bahkan sesiapa sahaja yang menentangnya akan menempah kebinasaan kepada dirinya sendiri. Keazamannya untuk membunuh Musa dan memburu pengikutnya kian meningkat. Apa yang berlaku seterusnya , ikuti kisah ini dalam siri yang akan datang insya Allah. Wassalam!
Comments