Siri Kisah Nabi Musa - Siri 3 : BERMUSAFIR DI MADYAN

SIRI 3

Alhamdulillah kita kembali ke udara dengan kisah Nabi Musa siri ketiga. Hari ini saya akan menceritakan bagaimanakah nasib nabi Musa setelah berjaya melarikan diri daripada buruan askar Firaun kerana kesalahannya menolong Samiri membunuh Fatun dengan cara tidak sengaja. Setelah berjalan kaki sehingga pecah tapak kakinya selama lapan hari lapan malam; akhirnya dia sampai ke kota Madyan, kota nabi Syuaib satu daerah yang berhampiran dengan Teluk Aqabah, Jordan.

Saudara;

Dalam keadaan lemah dan letih kerana menempuh perjalanan yang panjang, dia bersandar di bawah pohon yang rendang sambil mengenang nasibnya yang pernah hidup mewah dalam istana menjadi seorang pelarian dan orang buruan. Dia benar-benar keseorangan ; tiada pembantu selain daripada inayah Allah, tiada kawan selain daripada cahaya Allah, tiada bekalan selain bekalan iman dan taqwa kepada Allah, beliau benar-benar menyerah kepada taqdir Allah swt sebagai sebenar-benar wali dan pelindungnya.

Dalam keadaan begitu, dia terpandang sekelompok pengembala bersesak-sesak mengelilingi telaga untuk memberi minum ternakan masing-masing. Nun di satu sudut ada dua orang gadis sedang menunggu giliran mereka yang hanya hadir bila semua pengembala lain habis memberi minum ternakan mereka. Mereka berdua sebenarnya melakukan kerja yang sudah tidak mampu dilakukan oleh bapa mereka kerana sudah terlalu tua. Lantas hadir rasa belas dalam hati nabi Musa tanpa mengendahkan keletihannya menawarkan pertolongan; meredah ditengah pengembala lain memberi minum ternakan dua gadis itu. Jadi awallah selesai kerja mereka hari itu dan cepat balik ke rumah. Timbul rasa pelik sang bapa. Apabila anak gadisnya menceritakan tentang Musa kepada bapa mereka segera Nabi Syuib meminta salah seorang anak gadisnya menjemput nabi Musa bertamu kerumahnya untuk diberikan upah dan berterima kasih.

Bertamulah nabi Musa di rumah nabi Syuib. Menceritakan kisahnya hidup yang terbuang kepada nabi Syuib dan nabi Syuib pula perlu kepada khidmatnya sebagai pembantu rumahtangga dan urusan ternakannya; nabi Syuib sangat berbesar hati agar nabi Musa tinggal bersamanya.

Setelah berlalunya masa; terpauk dengan hati budi nabi Musa yang mulia dan susuk badan yang perkasa nabi syuib menawarkan agar dia menjadi menantunya. Sebagai mas kahwinnya nabi Musa terpaksa membantunya selama lapan tahun; bahkan tidak menjadi kesalahan jika nabi Musa ingin tinggal bersamanya lebih daripada itu. Atas persetujuan bersama; nabi Musa berkahwin dengan salah seorang anak gadis nabi Syuib yang bernama Syafura. Dengan taqdir Allah; Nabi Musa telah tinggal di Madyan selama 10 tahun. Kehidupannya sudah benar-benar berjaya tapi ingatan kepada keluarga di Mesir tidak pernah padam dari ingatannya. Setelah mendapat restu mentua dan isterinya nabi Musa memulakan langkah kembali ke Mesir.

Saudara;

Untuk memantapkan lagi pemahaman kisah nabi Musa ini, rujuklah surah al-Qasas dari ayat 22-28. Sebelum berakhir kita lihat satu pengajaran daripada kisah ini . Adat perantau mesti pandai berbudi dan tahu membawa diri. Insya Allah; Allah akan sentiasa melindungi dirinya dan memudahkan perjalanan hidupnya. Hidup perantau sentiasa bergantung harap kepada Allah berbanding mereka mereka yang tidak pernah berenggang dengan keluarga. Cubalah tinggalkan kampong halaman dan tinggal berjauhan sedikit daripada keluarga, anda pasti dapat merasa hikmahnya. Jumpa lagi dalam siri seterusnya, wabillahittaufiq wal hidayah. Wassalamu’alaikum wmt.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?