Siri Kisah Nabi Musa - Siri 10 (AKHIR) : Bani Israel Selamat Daripada Firaun

Alhamdulillah kita kembali dalam siaran kisah al-Quran. Hari ini adalah siri terakhir kisah Nabi Musa menentang kezaliman Firaun. Kaum Bani Israel kian yakin bahawa Nabi Musa adalah penyelamat bagi mereka setelah melihat kezaliman Firaun yang tidak pernah padam itu. Berduyun-duyunlah mereka datang menemui nabi Musa memohon agar dapat mengeluarkan mereka dari Negara Mesir. Setelah membuat persiapan seadanya; dalam gelap malam, mereka beramai-ramai meninggalkan Negara Mesir menuju ke Baitul Maqdis. Mereka bergerak dengan cepat dan kerana takut tertangkap oleh balatentera Firaun yang mengejar mereka dari belakang. Akhirnya mereka tiba di tepi Laut Merah menjelang waktu fajar selepas semalaman merentasi padang pasir yang luas. Perasaan takut dan cemas menyelubungi mereka apatah lagi melihatkan lautan yang luas terhampar di hadapan mereka. Apabila mereka pandang ke belakang mereka dapati kepulan debu pasir menjulang ke langit kesan tapak balatentera Firaun yang mengekori mereka. Mereka tahu jika mereka tertangkap hukuman mati telah tersedia untuk mereka.

Berkata seorang sahabat nabi Musa yang bernama Yusha’ Bin Nun; “Wahai Musa! Ke mana kamu hendak membawa kami. Laut di hadapan kami sedang musuh semakin hampir sedang berada di belakang kami”. Nabi Musa menjawab: “Janganlah kamu bimbang, Perjalanan ini adalah perintah daripada Allah kepadaku. Dialah yang akan menunjuk jalan keluar kepadaku dan menyelamatkan kita daripada musuh yang zalim itu”.

Suasana cukup kritikal dan debaran pengikut nabi Musa kian memuncak. Nabi Musa kelihatan tenang menunggu perintah yang berupa wahyu daripada Allah SWT. Hatinya benar-benar bulat yakin akan pertolongan Allah kian hampir. Maka turunlah wahyu mengarahkan nabi Musa memukul Laut Merah dengan tongkatnya lalu dengan izin Allah SWT terbelah luas membentuk lorong-lorong. Di antara belahan laut itu bak gunung yang besar. Airnya kering sampai kedasar laut. Nabi Musa segera memimpin kaumnya menyeberangi Laut Merah sehingga mereka semua selamat sampai keseberang sana.

Apabila Firaun sampai ke tepi laut Merah; Firaun berkata: “ Lihatlah laut pun telah tersedia terbuka luas . Bukan hanya kalian mentaatiku bahkan laut turut berada dibawah kekuasaanku. ? Tidakkah kamu semua yakin bahawa aku ini tuhanMu yang harus kamu sembah? Apakah mereka itu mengira akan lepas dari hukumanku?” Dengan perasaan bongkak dan sombong; Firaun dan bala tenteranya terus menyelusuri lorong laut yang terbuka luas itu.

Dalam keadaan Firaun seronok dengan kesombongannya dan yakin dia dapat menangkap Nabi musa dan pengikutnya; tiba-tiba bagai gunung runtuh air laut yang terbelah bertaut kembali. Firaun dan balatenteranya lemas dari dasar laut yang luas. Dalam keadaan Firaun telah melihat sakaratul maut telah berada di hadapannya. Allah menceritakan dengan firmanNya dalam surah Yunus; Firaun berkata :

{ قَالَ آمَنتُ أَنَّهُ لا إِلِهَ إِلاَّ الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَاْ مِنَ الْمُسْلِمِينَ} (90) سورة يونس

Maksudnya: “Aku percaya bahawa tidak ada tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai oleh Bani Israel dan aku termasuk bersama orang-orang yang berserah diri kepada Allah”.

Begitulah kesudahan dan akibat orang yang kufur ingkar kepada Allah SWT. Sebuah pengajaran dan ‘ibrah buat kita umat nabi Muhammad SAW. Berakhirnya satu episod kezaliman Firaun yang akan diganti oleh episod kezaliman yang lain pula. Bilakah manusia ini ingin belajar atau suka mengulangi kisah umat yang terdahulu. Kita sebagai umat Muhammad perlu sentiasa insaf , sentiasa sedar dan bersyukur kepada Allah agar kita selamat dari azab dan siksa Allah swt. Baik di dunia mahu pun akhirat. Sekian, Wabillahittaufiq Wal Hidayah. Wassalumu ‘alaikum wmt.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?