Kalau selama Ini tidak Ikut Agama, Apa tindakan pun tidak Ikut Agama

Oleh isma daud


Kalau tidak ikut hukum agama dalam hidup selama ini; maka tindakan kita akan ikut emosi dan nafsu. Itulah yang saya nak sebut kepada isu penggunaan kalimah Allah dan sikap orang yang bakar rumah ibadat agama lain yang riuh rendah di luar sana. Apa yang mereka buat tu? Bukankan Islam itu agama kesejahteraan dan keselamatan. Sebelum serang orang lain periksa diri dulu, dasar hidup kita sudah Islam benar ke?

Yang tidak tahu bertakbir, sekarang bertakbir ke sana ke mari... tapi ingat jika hanya atas laungan emosi dan kemarahan yang membuak-buak tanpa disertakan ingin kembali kepada agama dan hukum Allah, maka anda penipu besar dalam menyatakan kasih-sayang kepada kalimah Allah SWT.

Allah SWT adalah untuk diesakan oleh hamba-hambanya. Dialah yang layak disembah dengan sebenar-benarnya. Hukum-hakamNya adalah yang terbaik dan paling sesuai dilaksanakan, ajaranNya paling layak diimani dan diyakini. Apakah dalam riuh-rendah mempertahankan kalimah Allah pada masa yang sama hukum jahiliyyah yang kita cari? Sedangkan hukum siapakah yang terlebih baik bagi orang-orang yang beriman dan percaya kepada Allah SWT?

Adakah kita yang melaungkan sayangkan Allah bersedia menerima segala ketetapannya di dalam Al-Quran?

Yang berkain belah, terdedah aurat sana sini; sudah sanggup kembali menutup aurat? yang berhibur siang malam, sudah sanggup berhibur dengan al-Quran? Yang bergelumang dengan maksiat sudah sedia bertaubat nasuha? Yang menegak dan memperjuangkan sekular sudah menyahkan fahaman sekular dari otak dan bersedia untuk melaksanakan segala tuntutan Islam dengan sebenar-benar dalam semua lapangan hidup? Yang menggamkan alim ulama sudah bersedia membenarkan mereka bebas berkuliah di bumi Malaysia tercinta ini? Yang makan rasuah sudah bersedia mengembalikan harta benda dengan rela hati kepada yang berhak ke atasnya? Banyak lagi persoalan yang boleh dilontarkan bagi mempersoalakan niat dan keikhlasan mempertahankan agama Allah SWT.

Allah SWT Maha tahu siapa yang ikhlas mencintainya.... Saya setuju kita menentang pihak lain yang mempermainkan agama Allah SWT, menyalahgunakan kalimah Allah dengan syarat umat Islam sendiri tahu malu dan sedar bahawa ramai daripada mereka selama ini tidak sayangkan Allah SWT... sepatutnya mereka tidak memalukan diri mereka dengan sikap beremosi ; bertindak sebagai orang yang tidak tahu hujung pangkal bagaimana mahu mencintai Allah SWT.

Kembali kepada hukum dan syariatnya dengan bersungguh-sungguh barulah kalian ada kelayakan melaungkan takbir membesarkannya....kembali memakmurkan masjid dan rumah Allah dengan solat berjamaah sebagai syiar perpaduan umat Islam dan tinggi rasa ubudiyyah kepadaNya... Kalau itu ada anjakan dan nampak ianya berlaku, baru saya percaya bahawa kita benar-benar sayangkan Allah SWT dan kalimahNya... Baru orang lain akan respek, hormat dan menghargai Umat Islam.

Semua laungan itu pembohongan belaka... Saya tidak percaya mereka ini ikhlas mencintai Allah SWT dengan sesungguh-sungguhnya. Maafkan saya, saya belum boleh mempercayainya.

Kenapa pihak lain boleh mempermainkan Islam dan kesuciannya?

Jawapannya mudah. Ini kerana kita selaku umat Islam sudah lama jauh dari jalan petunjuk Allah SWT. Kita hanya sayangkan perlambangannya sahaja... jauh daripada itu kita sendiri sudah jauh daripada rahmat dan petunjuk Allah SWT bila mana kita membelakangkan hukum Allah SWT dalam siasah, dalam berekonomi dan cara bersosial. Batas halal dan haram tidak menjadi keutamaan dalam sistem bermuamalah kita hari ini. Sebab itu pihak lain senang-senang memperkotakkatikkan kita..

Kepada umat Islam, berhentilah menyerang orang lain, Sebaliknya kita sama-sama bermuhasabah diri akan sebab dan punca orang lain boleh mentertawakan kita. Lebih buruk lagi orang melabelkan kita sebagai pengganas... Orang lain semakin berani kerana melihat kita orang Islam tidak sayangkan Allah lagi lalu mereka mahu menggunakannya. Pada masa itu baru kita mahu berkata; Allah itu hanya milik kita seorang saja...

Ketahuilah Allah itu pencipta atas segalanya-galanya. Dialah tuhan langit dan bumi dan isi di antara keduanya... Tuhan manusia seluruhnya.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?