Jenayah Ragut Terus Menjadi-jadi

Oleh isma daud

Apa yang dapat kita lahirkan apabila peristiwa sedih seperti yang dipaparkan di bawah ini terjadi. Bukan sekali bahkan peristiwa seperti ini telah meragut banyak nyawa. Bahkan dalam masa 24 jam hari ini dua ibu hamil menemui maut mereka kerana diragut dari atas motosikal yang mereka tunggangi. Semalam di Johor dan mutakhirnya; apa yang berlaku kepada seorang ibu hamil di Kelantan hari ini.

Dimana lagi letaknya pertimbangan waras seorang manusia jika insan lemah ini terus menjadi mangsa mereka. Tiada lagi belas kasihan. Apa yang tinggal ialah doa agar peristiwa ini tidak berlaku kepada diri kita dan keluarga kita. Tapi apa jaminannya. Allah SWT tidak menolong mereka yang berserah sahaja.

Ketua Polis Negara; Tan Sri Musa Hassan pun hari ini dalam kenyataannya berkata bahawa polis tidak dapat memberi jaminan atas keselamatan rakyat ini. Ini kerana polis hanya diletakkan bertugas di kawasan yang banyak jenayah sahaja. Sebab itu kerjasama masyarakat sangat perlu. Polis tidak mampu untuk berbuat semuanya.... itu katanya.

Sebenarnya penjenayah hari ini telah terpelajar. Semua orang sekolah hari ini. Semua orang sekurang-kurangnya sekolah sehingga tingkatan lima. Tiada seorang pun yang tercicir. Sistem pembelajaran kita membenarkan seseorang itu sekolah sehingga tingkatan lima.

Seorang penjenayah bukan lagi seorang bodoh. Seorang penjenayah itu cuma jahat. Dia cerdik tapi jahat. Orang melayu ada berkata; "Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar". Penjenayah hari ini amat mempelajari strategi sebegini.

Jadi hari cukup meyakinkan kita bahawa kawalan undang-undang dan penguatkuasaan sahaja tidak mampu mendidik manusia menjadi baik. Penjenayah tidak bertindak bodoh bahkan mereka sentiasa mencari peluang untuk membuat jenayah. Ada peluang mereka akan bertindak tanpa mengira siapa saja mangsa mereka.

Cuma yang terakhir harapan kita agar penjenayah masih ada iman di hati mereka. Masih ada taqwa dijiwa mereka. Bertaubatlah. Kembalilah kepada agama dan ajaran Allah SWT. Itulah sahaja yang mampu mencegah manusia daripada melakukan jenayah. Mereka yang sanggup melakukan jenayah hanyalah mereka yang tidak beriman kepada Allah SWT dan tiada gerun di hati mereka terhadap dosa dan azab allah SWT. Telah tercabut iman dari dalam jiwa mereka.

Ini adalah hasil daripada sekatan kepada kuliah dan majlis agama terus berjalan di masjid dan surau. Tidak mudah pula orang yang jujur dan ikhlas untuk berdakwah. Sekatan demi sekatan dan tohmahan demi tohmahan terhadap mereka. Akhirnya penjenayah mengganti tempat dalam masyarakat untuk bermaharaja lela. Siapa yang dapat menasihatkan mereka?

Pemisahan agama daripada cara hidup dalam sistem pendidikan jelas gagal melahirkan insan beriman dan bertaqwa. Yang lahir banyak manusia cerdik pandai tapi bukan insan yang soleh dan bertaqwa. Biarpun sisipan dan celupan cuba di buat kalau dasar sekularnya menjadi akidah kepada sistem yang ada; jangan harap iman akan menjadi jaguh dan juara dalam jiwa manusia. Sepatutnya akidah menjadi teras kepada sistem pendidikan dan jalan hidup manusia. Bila manusia takut hanya kepada Allah SWT; pada masa itu jenayah dapat dibenteraskan.

Saya sangat yakin jika suara dakwah benar-benar sampai kepada telinga dan hati manusia, tarbiyyah diri dapat direalisasikan. Jika setiap hari mereka dengar dosa-pahala, dosa pahala. Tersentuh juga hati nurani mereka.

Berilah ruang dan peluang kepada pendakwah yang jujur dan ikhlas berdakwah dan jangan halang usaha mereka. Sepatutnya pendakwah diberi peluang untuk menyatakan perkara yang makruf dan mencegah kemungkaran secara berterusan dalam masyarakat mereka.

Kerajaan pun bukan menjadi pentadbir sahaja tetapi mesti menjadi seorang pendakwah. Sifat pendakwah mesti hidup dalam jiwa mereka. Namun apa yang diharap kepada pemimpin hari ini. Jiwa agama kepada mereka hanya dalam majlis resmi sahaja. Tukang perasmi penutupan sahaja. Lebih malang yang menutupnya itu tidak beriman pun dengan apa yang mereka lakukan....

Apa yang saya lihat; ramai yang suka lihat masjid dan surau sepi begitu sahaja.... hiburan mesti diteruskan, diangkatkan dan diiktirafkan setinggi-tingginya.

Apa yang dapat kita harapkan lagi??? Jenayah terus menjadi-jadi.......
________________________________________

Berikut adalah berita yang dilaporkan oleh Kosmo! Online.
Wanita hamil temui ajal lepas kejadian ragut

Oleh NASRI JAMALUDIN
mohdnasri.jamaludin@kosmo.com.my

Jamilah

JOHOR BAHRU - Selepas koma sehari setengah akibat terjatuh daripada motosikal setelah diragut Ahad lalu, seorang wanita menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Aminah (HSA) semalam.

Lebih memilukan, mangsa, Jamilah Selamat, 31, yang baru bernikah dengan suaminya, Razali Ahmad, 41 (gambar), enam bulan lalu kini sedang hamil dua bulan.

"Saya terima takdir ini, tetapi saya terkilan kerana dia diragut kira-kira 70 meter dari rumah selepas pulang dari kerja.

"Malah, arwah sempat singgah di pasar malam untuk membeli makanan dan barang dapur hasil duit gaji pertamanya yang diterima pada hari kejadian," kata Razali ketika ditemui di HSA semalam.

Menurut Razali, pada kejadian pukul 7.30 malam itu, arwah yang baru sebulan bekerja sebagai jurujual kraftangan di pekan Ayer Hitam sedang dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki motosikal Honda EX-5 dari tempat kerjanya.

"Kira-kira 70 meter hendak sampai ke rumah di Taman Mekar, arwah diragut dua lelaki bermotosikal menyebabkan dia hilang kawalan lalu terjatuh," katanya.

Kemudian, isterinya dihantar dengan ambulans ke Klinik Kesihatan Ayer Hitam sebelum dirujuk ke Hospital Batu Pahat dan HSA.

Razali berkata, Jamilah yang akan menyambut hari lahir ke-32 pada Isnin depan merupakan isteri keduanya dan masing-masing mempunyai dua anak berusia antara 5 hingga 18 tahun hasil perkahwinan dahulu.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?