Kematian Sebuah Tazkirah!!!

Oleh isma daud

Saya sedikit kesibukan petang ini kerana melunaskan beberapa hal di bank dan keperluan rumahtangga. Sesampai di Masjid Darul Halim, Sibu para jamaah sudah selesai solat maghrib. Saya terlepas berjamaah kali ini. Malam ini saya menyampaikan kuliah dari kitab "Fiqh Manhaji" dalam bab Pengurusan Jenazah. Oleh kerana malam ini sebagai mukaddimah kepada tajuk ini saya memanjangkan sedikit persoalan mengingati mati.

Saya tidak bertujuan menulis semula kuliah saya malam ini. Sekadar mengingati diriku yang sesekali rasa lemah dan kehilangan semangat melaksanakan tugas menyampaikan ilmu kepada masyarakat di sekitar bandar Sibu.

Saban malam dan hari setelah menghabiskan kerja resmi saya di sekolah, kerja berdakwah dan berkuliah ini saya lakukan setiap hari secara istiqamah.

Apakah faktur pendorong segala semangat ini yang menjadikan saya kental menghadapi kekangan waktu dan diri sendiri yang kadangkala menjadi musuh yang mampu merobek jiwa saya? Semangat saya bagaikan di ragut bila mengenang sikap masyarakat yang semacam memandang sepi kepada majlis ilmu dan hanya beberapa kerat yang datang mendalami ilmu agama. Terfikir saya di mana silapnya?. Saya tidak salahkan mereka. Mungkin uslub dakwah saya tidak betul. Saya beristighfar kalau-kalau pendekatan dakwah saya mungkin kurang menarik.

Saya berserah diri kepada Allah SWT kerana tugas saya hanya memberi ilmu, nasihat dan peringatan mudah-mudahan ianya berguna. Memberi ingatan(inzar) ini satu desakkan untuk saya bergerak.

Saya kurang berjaya kerana saya kurang kuat lagi hubungan dengan Allah SWT. Saya perlu memperbaiki hubungan saya dengan Allah SWT. Kadangkala kita lupa Allah SWT. Kita bergantung dengan fikiran kita yang terbatas sedangkan Allah SWT amat luas ilmuNya. Dialah maha tahu segala hikmat di sebalik apa yang berlaku. Kita berserah diri padanya.

Saya hanya melakukan sedikit berbanding apa yang para nabi dan salafus soleh dahulu telah berbuat. Ujian, Kecaman, Memandang sepi dan mengecilkan usaha dan sedikit amaran adalah rencah biasa. Kita ada Allah SWT yang sentiasa membantu kita.

Sebenarnya ada satu faktur lagi yang mendorong saya untuk terus bergerak iaitulah "Mengingati Mati"; Kerana saya fikir kehidupan di dunia ini mempunyai satu destinasi dan menyampaikan saya ke destinasi itu ialah sebuah kematian sebagaimana hadirnya saya ke dunia ini melalui sebuah kelahiran.

Kematian menyuntik gerakan saya agar tidak mudah tewas dan lemah untuk tidak berdakwah. Tiada sesiapa dapat menjamin jangka hayat hidupnya maka saya bimbang saya kelewatan dalam kerja saya sehingga saya menjadi orang yang rugi serugi-ruginya.

Allah SWT ada menceritakan di dalam alQuran bagaimana kisah pengalaman mereka yang sudah mati. Mereka semua mahu agar kematian itu ditangguhkan semata untuk dua tujuan; BERSEDEKAH dan BERAMAL SOLEH. Dua tujuan yang seringkali manusia abaikan kerana leka dan bersenang-lenang dengan nikmat harta dan anak-pinak. Firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِين

".....Berkata orang hendak mati: "Wahai Tuhanku, Kalaulah Engkau tangguhkan kematianku walaupun sesaat nescaya aku akan bersedekah dan akan mengerjakan amal yang soleh" Surah Al-Munafiqun; ayat (10)

Maka kematian menjadi tazkirah kepada saya agar saya sentiasa melakukan sesuatu seolah-olah kita ada sedikit masa. Jika bertangguh kita akan kelewatan dan ketinggalan. Teringat saya kepada pesanan Rasulullah SAW jika datang sangkala sedang biji benih di tangan kita hendaklah kita menanamnya nanti tetap ada balasannya di sisi Allah SWT. Mudah-mudahan saya beroleh petunjuk dan hidayah Allah SWT dalam perjalanan dan usaha saya yang tidak seberapa ini. Amin Ya Rabbal Aalamiin!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?