Isytihar jika peluk Islam

Oleh ZULKIFLI JALIL dan HAMDEN RAMLI





Abdullah Ahmad Badawi mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad di Kementerian Kewangan, Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (empat dari kanan) dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz (tiga dari kanan).- Bernama

--------------------------------------------------



PUTRAJAYA 10 April - Kerajaan akan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.

''Pada masa ini tidak ada peraturan itu. Oleh itu, kita perlu fikirkan satu peraturan mewajibkan orang yang hendak memeluk Islam jangan buat senyap-senyap.

''Mereka perlu beritahu keluarga kerana ini perkara penting. Kita tidak mahu berlaku masalah yang menyulitkan semua pihak terutama ketika dia meninggal dunia di kemudian hari," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-47 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Hamid Othman dan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz.

Abdullah berkata, peraturan itu perlu kerana ada kalanya individu yang memeluk Islam akan membawa sama anak-anak mereka untuk berbuat demikian.

Kata beliau, dalam hal ini hak pasangan masing-masing juga perlu dihormati kerana mungkin ada perjanjian telah ditandatangani ketika melangsungkan perkahwinan secara sivil sebelum ini.

Ditanya sama ada satu undang-undang khusus perlu diwujudkan, Perdana Menteri berkata: ''Kena adakan peraturan. Bila orang itu datang hendak peluk Islam, kena tanya isteri. Dah tahu ke? Takkan dia hendak sorok pula. Kalau dia hendak peluk Islam apa salahnya."

Perdana Menteri berkata, mesyuarat hari ini turut dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet menyerahkan peranan mengeluarkan sijil halal kepada Perbadanan Pembangunan Halal (HDC).

Katanya, langkah itu selari dengan peranan HDC dalam mempromosikan perkembangan industri halal di negara ini selain meningkatkan kemajuan industri tersebut bersama jabatan-jabatan kerajaan lain.

Bagaimanapun, tegasnya, sijil halal tersebut masih mengekalkan sijil halal dengan logo Jakim.

Katanya, ini penting kerana sijil halal yang dikeluarkan Jakim telah diiktiraf dan diakui seluruh dunia.

''Dari segi penyelidikan sebelum sijil halal dikeluarkan juga akan terus dijalankan oleh pegawai Jakim yang akan berkhidmat di bawah HDC.

''Selain itu, latihan kepada pegawai juga akan terus dijalankan oleh Jakim," katanya.

Comments

Anonymous said…
Isytihar sebelum masuk Islam tidak betul
- Nik Aziz

KOTA BHARU 12 April - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka sebagai tidak betul.

Beliau berkata, sesiapa sahaja yang ingin memeluk Islam tidak perlu mengisytiharkannya tetapi untuk menjaga keharmonian keluarga ia boleh dilakukan.

"Dia nak masuk masuk Islam tidak payah bagi tahu, tetapi untuk jaga harmoni keluarga perlu beri tahu mereka.

"Tetapi beri tahu dulu sebelum masuk Islam tidak betul kerana Islam datang dari kalbu sendiri.

"Bila manusia hendak pada sesuatu benda perlu apa lagi cakap pada orang lain, cuma untuk jaga keharmonian elak daripada kecil hati," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Muhibah Antara Kaum di Taman Hijau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk Islam perlu mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam secara senyap-senyap seperti yang diamalkan sebelum ini, mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia juga bagi mengelakkan seseorang itu tidak jadi memeluk Islam disebabkan dimarahi oleh ibu bapa.

"Ini semua masalah teknikal saja, jangan sampai tidak jadi masuk Islam kerana orang tua marah, tidak betul.

"Islam datang dari iman dari hati kalbu kita, mana boleh manusia sekat cetusan hati, bila kita yakin dia akan datang sendiri," katanya.

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?