Cerai dua isteri dalam tiga minit


IKATAN BERAKHIR: Roslan membuka pintu bilik Mahkamah Syariah untuk bekas isteri, Mastura (isteri kedua) dan Norhayati (dua dari kanan) yang diceraikan serentak di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Seorang ahli perniagaan yang berang apabila dua isterinya berpakat menuntut fasakh, menceraikan isteri pertama dan keduanya itu selang tiga minit di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Roslan Ngah, 44, melafazkan cerai dengan talak satu ke atas isteri keduanya, Mastura Ahmad, 35, pada jam 11.50 pagi, disusuli isteri pertamanya, Norhayati Ismail, 46, tiga minit kemudian, di hadapan Hakim Mahkamah Syariah, Wan Abdul Malik Wan Sidek.

Wan Abdul Malik dalam penghakimannya, berkata kes perceraian itu mencatat sejarah mahkamah kerana tidak pernah ada suami menceraikan dua isteri serentak pada hari yang sama.

Beliau kemudian mengarahkan Roslan melafazkan cerai dengan talak satu secara berasingan untuk direkodkan kerana perkahwinan dengan isteri pertama dan kedua juga diadakan secara berasingan. "Kita setuju membenarkan permohonan plaintif (kedua-dua isteri defendan) menukar permohonan fasakh kepada permohonan perceraian biasa mengikut Seksyen 44 (Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah Terengganu 2001). "Plaintif dan defendan masing-masing perlu menyerahkan semua dokumen asal perkahwinan kepada mahkamah untuk dibatalkan," katanya.

Wan Abdul Malik berkata, perceraian dengan talak satu itu bermula semalam dan dalam tempoh edah selama tiga kali suci daripada haid, defendan perlu memberi nafkah dan tempat tinggal kepada kedua-dua plaintif. Katanya, semua tuntutan pembahagian harta sepencarian dan hak penjagaan anak boleh difailkan secara berasingan. Roslan yang tidak diwakili peguam, sebelum itu meminta mahkamah membenarkan perbicaraan tuntutan fasakh difailkan oleh kedua-dua isterinya dijalankan serentak dan kemudian meminta mahkamah membenarkan tuntutan itu ditukar kepada permohonan perceraian. Katanya, tindakan itu diambil bagi memudahkan semua pihak tanpa perlu berulang kali hadir ke mahkamah bagi perbicaraan tuntutan fasakh.

Wan Abdul Malik yang membenarkan permohonan itu, mengarahkan kedua-dua plaintif dari Jalan Pasir Panjang di sini, memfailkan permohonan cerai, semalam.

Mastura yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) diwakili peguam bela, Salwah Mansor, manakala Norhayati, suri rumah, diwakili peguam dari Biro Bantuan Guaman.

Dalam tuntutan fasakh, Mastura yang berkahwin dengan Roslan pada 1995 dan mempunyai dua anak berusia enam dan 10 tahun, mendakwa defendan tidak memberi nafkah zahir lebih enam bulan, tiada persefahaman, tidak bertanggungjawab sebagai ketua keluarga serta gagal menunaikan tuntutan syarak, iaitu solat dan puasa.

Norhayati yang tinggal di rumah bersebelahan dengan madunya dan mempunyai empat anak berusia antara sembilan dan 22 tahun, pula mendakwa defendan sudah 11 bulan tidak balik ke rumah, tidak memberi nafkah, tidak menunaikan tuntutan syarak dan sudah tidak ada persefahaman.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?