Bukan Senang Membina Kepercayaan dan Tidak Mudah Mempertahankannya

Oleh isma daud

Apabila saya ditohmah sebagai orang yang membawa pemikiran yang boleh memecahbelahkan kepaduan masyarakat Islam Sibu; tidak mudah bagi saya mengharunginya. Bagaimana ahli masyarakat yang tidak pernah bergaul dengan saya tetapi bercakap mengenai saya mengatakan bahawa saya orang yang berbahaya; yang membawa kacau-bilau kepada masyarakat di sini. Begitu mudahnya mereka menerima tohmahan sebegitu dan buruknya tanggapan mereka kepada saya tanpa mereka menyelidik akan kebenarannya.

Kesan daripada tohmahan sebegitu; kuliah agama saya lumpuh, kawan menjauhkan diri sehingga ada yang takut menghantar anak mengaji ke rumah saya. Mereka takut mendekati saya kerana bimbang akan dicop sebagai orang yang "main politik pembangkang PAS khususnya". Takut peruk nasi mereka akan terjejas. Mereka takut kena pindah tempat kerja agaknya? Begitulah ketakutan mereka. Ketakutan mereka amat ketara sehingga jadual khutbah jumaat dan pekeliling larangan berkhutbah, berceramah dan menjadi imam diedarkan ke seluruh surau dan masjid di Sibu.

Saya yakin ada pihak yang bertepuk tangan dan bersorak tanda kejayaan mereka atas apa yang berlaku ke atas saya. Padan Muka!!! Rasakan!!!

Saya tidak kisahpun akan tohmahan itu bahkan berbangga kerana kebenaran yang saya bawa mula meresap masuk dalam masyarakat. Saya tidak kisahpun apa tanggapan masyarakat kerana saya bukan pembawa elemen pemecahan dan perbalahan dalam masyarakat sepertimana yang mereka katakan itu. Yang saya bawa ialah Islam; kebenarannya dan syiarnya. Saya boleh ada, saya boleh tidak ada; yang mesti ada ialah Islam kerana Islam adalah agama Allah SWT yang akan terpelihara dan akan terus menang atas muka bumi ini sehingga kiamat.

Sebaliknya sejak saya di"gam"kan oleh pihak JAIS dan Masjid An-Nuur, tidak kurang pula ceramah dan kuliah saya bahkan pendekatan baru dengan masuk ke rumah orang Sibu adalah cara terbaru yang mula menjadi budaya orang sibu mendapat ilmu.

Dan nama saya semakin mendapat perhatian bahkan ianya turut mempromosikan nama saya secara tidak langsung. Kini sudah ada pihak yang mula menjemput saya untuk program ceramah mereka. Kalau dulu masyarakat tidak menghargai saya tetapi kini saya lebih dihargai. Kalau dulu orang tidak bayar saya, kini orang mula membayar setiap ceramah saya. Bahkan saya sudah ada "aura" dan "nama" yang tersendiri. Sebenarnya saya tidak meletakkan harga kepada kuliah dan ceramah saya tetapi orang merasakan saya patut dibayar kerana ingin mendekati "orang yang digam" itu. Persoalan masyarakat yang inginkan ilmu dan kebenaran mereka seolah ingin tahu kenapa saya digam? Dan apa yang berpendapat bahawa mereka mula kehilangan kuliah dan ceramah saya...

Saya ingat orang akan takut dengan saya sebagaimana takutnya "orang-orang yang takut" itu; rupa-rupanya Allah SWT menggantikan dengan hal yang lebih baik lagi.

Dua malam lepas; seorang imam menelefon saya bahawa mereka ada pergi berjumpa dengan pihak JAIS agar saya kembali menyampaikan kuliah yang terhenti dan sehingga kini pihak JAIS sendiri tidak menggantikan kekosongan itu. Apa yang menyedihkan tuan imam situasi masjid yang sepi daripada kuliah itu turut memberi kesan kepada kehadiran ahli masyarakat atau jamaah ke masjid itu sendiri.

"Ustaz! Kembalilah menyampaikan kuliah macam dulu-dulu".

Namun saya masih belum memberi sebarang jawapan bahawa saya ingin kembali menyampaikan kuliah seperti dulu. Buat sementara ini biarlah JAIS berfikir untuk mengisi kekosongan itu. JAIS ada peranan mereka dalam memakmurkan surau dan masjid. Kerana mereka yang menjaga JAIS itu lebih tahu apa yang patut mereka buat. Sebagaimana mereka katakan bahawa mereka mewakili golongan yang majoriti maka merekalah yang patut dipatuhi sedangkan saya bersuara mewakili pihak minoriti. Pada mereka kebenaran itu dilihat kepada majoriti bukan kebenaran yang Allah tentukan melalui kitab dan sunnah nabiNya. Jadi mereka ada kuasa untuk menentukan siapa yang patut dan siapa yang tidak patut.

Kepada pihak JAIS saya ingin berpesan bahawa bukan senang untuk membina kepercayaan dan tidak pula mudah membunuh keyakinan itu bila orang sudah tahu kebenarannya. Ingatlah jika sekali kita meroboh keyakinan itu, tidak mudah pula kita dapat membinanya. Jika kita sudah berjaya membinanya maka tidak mudah pula kita dapat mempertahankannya.

Semoga ada jalan jernih di hadapan demi Islam dan masyarakat Islam khususnya di Sibu ini yang umat Islamnya adalah minoriti sahaja....

Comments

joe penang said…
Salam
"Kiranya perjuangan islam itu mudah maka semua akan sanggup berjuang". Kebenaran islam umpama air yg mengalir yang cuba disekat. Tahan di situ, ia melimpah ke tempat lain.
Ana cadangkan anta bergerak atas landasan NGO cam PAKSI( http://mypaksi.blogspot.com/ ). Masih menyampaikan kuliah agama namun menggunakan platform dewan-dewan berhawa dingin. Insya Allah. PAKSI Kulim dan Alor Setar kehadirannya setiap mingguan mencecah seribu orang. Yang penting perjuangan mesti terus.
Kita adalah mata rantai perjuangan.
Kita bukan yang pertama dan bukan juga yang terakhir
muzaha said…
salam ustaz,
terharu bila mendengar kisah ustaz kena gam tu. Anggapllah ia ujian drpNya dan itu tandanya dakwah ustaz telah berkesan.

Ana dan rakan2 kat sini (Miri) banyak bergrak atas nama NGO (Yayasan AMAL). Alhamdulillah kami dapat masuk masjid dan surau.Rasanya ada juga kawan2 dari Sibu yang ahli Yayasan AmAl.
wassalam.
isma daud said…
Salam buat joe penang & ustaz Muzaha,

Bukan isu bergerak atas wadah NGO dan sebagainya. Jika kebenaran yang kita sampaikan itu boleh menggugat orang2 berkepentingan anda tidak lepas daripada pengkhianatan dan hasad dengki mereka ini.

Ana berdakwah di sini sudah masuk 10 tahun di sini. Selama ini surau dan masjid tempat yang bebas kepada ana... sahabat2 Sibu yang menyertai NGO (Yayasan Amal) adalah sahabat2 ana juga. Kami ada usrah yang kami namakan "liqaa' Ilmi" di sini... peringkat awal dahulu ana yang memimpinnya. Sehingga kini kami gilirkan di kalangan ustaz yang ikut usrah ini untuk memimpinnya...

Ruang dakwah itu tidak pernah mati walaupun surau dan masjid tempat larangan buat ana sementara ini tp kuliah dan ceramah ana di program-program pihak swasta, sekolah2, rumah2 persendirian dan jabatan tertentu masih berjalan macam biasa...

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?