Bicara Soal Hati...

Oleh isma daud


Kekadang kita suka kepada sesuatu perkara sedangkan perkara tersebut tidak baik untuk kita. Kekadang pula kita benci sesuatu tetapi ianya baik untuk kita. Tidak semua yang kita hajat maka kita akan memilikinya. Apalah daya yang ada kepada kita selain daripada apa yang telah Allah swt tentukan kepada kita.


Dalam minggu-minggu yang mutakhir ini banyak perkara yang menuntut muhasabah diri yang saya secara sedar atau tidak sedar telah saya lakukan. Apa yang saya tulis ini adalah perkongsian ikhlas daripada saya agar boleh menjadi renungan bersama. Pada masa yang sama saya rasa perlu juga pandangan sesiapa saja yang mungkin sudi memberi respond terhadapnya. Saya juga memerlukan pandangan orang lain. Hidup ini bukan milik kita secara bersendirian tetapi sebuah perkongsian. Jika sesiapa yang terpanggil untuk memberi pandangan saya ucapkan jutaan terima kasih.

Selama ini banyak masa saya telah berikan untuk memberi nasihat dan pandangan kepada banyak permasalahan dan persoalan hidup mereka. Namun dalam hidup ini kita bukan orang yang lengkap segalanya. Diwaktu orang lain kelemasan, kita membantu mereka dan adakalanya kita lemas kita pula perlu pertolongan orang lain. Itulah sunnah hidup, kita saling perlu di antara satu sama lain.

Bila Hati Berubah... Bila Hati Mula Gelisah...

Hati adalah tempat tilik Allah SWT. Tempat terbit niat, cita-cita dan harap. Di sini tersimpan segala rahsia. Di sini terarah segala anggota. Hati adalah raja. Jika ia baik maka baiklah segala anggota badan yang lainnya, jika ia rosak maka akan rosaklah segala arah pergerakkan anggota yang lainnya.

Hati sering berbolak-balik; hari ini kita suka, esok pula boleh jadi benci. Begitulah sebaliknya. Hati boleh hidup, bercahaya dan berseri-seri dan hati juga boleh mati, pudar, layu dan hilang cahayanya.

Maka saya amat menyedari perihal ini. selama-lamanya saya sedar dan selalu beringat-ingat. Allah SWT menjelaskan dalam firmanNya; "Ketahuilah dengan mengingati Allah SWT, hati menjadi tenang". Keterangan Allah SWT amat benar sekali. MengingatiNya hati menjadi tenang. Namun jika ingatan kita kepada manusia lebih banyak maka akhirnya ketenangan itu kian hilang. Bukan saja ketenangan bahkan hati menjadi resah dan kebahagian hati hilang bersama hilangnya keberkatan diri.

Hati mula diserang penyakit. Hati asyik teringat kepada makhluk lebih banyak daripada mengingati Allah SWT. Mungkin ini satu kesilapan yang saya lakukan. Saya cuba memperbaikinya. Bukan ini yang saya cari tetapi hati saya sedang diuji.

Doakanlah agar saya berjaya mengharungi cabaran hati yang menggugat kekuatan diri.

Comments

Wan Mohd Hamdi said…
Aslkum Dam.

Menyentuh sungguh rintihan ustaz. Terasa sungguh dihati. Memang jika ingatkan HATI kita dan KHALIQ, maka tiada ruang untuk nafsu kita mencelah dan mendorong kita untuk lupa kpdNya.

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?