Aku Bukan Robot , Aku Ada Jiwa

Oleh isma daud

Mutakhir ini saya bagaikan kehilangan kata bicara. Beberapa kali cuba menulis; tiba-tiba datang rasa kekosongan, bagaikan dipaksa-paksa. Daya fikir bagaikan kaku dan ilham bagaikan mati dek kerana kurangnya membaca dan terhadnya pergaulan dengan masyarakat sekitar. Biasanya ilham dan daya fikir menulis datang dari pembacaan dan juga pengalaman. Pengalaman itu datang daripada pemerhatian kita terhadap alam semesta serta pergaulan kita seharian dengan mereka yang kita hidup bersamanya.

Apa yang berlaku mutahir ini cukup menjemukan. Saidina Ali berkata ;"Jangan biarkan hatimu mati kerana jemu". Kesibukan kerja menjadikan kehidupan seharian bagaikan robot yang sudah diatur dan disusun segala programnya. Semuanya mengikut jadual dan tiada kebebasan berfikir dan berkarya. Bermula dari bangun daripada tidur sehingga tidur semula tiada yang baru.... yang sama juga. Batas pergaulan pun tidak ada yang baru. Asyik berjumpa dengan orang yang sama juga. Pengalaman pun sama. Sehingga daya kreativiti dan kritis yang ada dalam diri menjadi kaku sekakunya. Sebab itu setiap kali berdepan dengan muka komputer ini tidak seperti biasa rasa bebas berceloteh, memberi pendapat dan menyatakan sesuatu. Setiap kali cuba menulis pasti ada saja yang tidak kena. Rasa kosongnya....

Ya, perjalanan hidup mutakhir ni bagai kehilangan makna. Hilang kepercayaan diri dan keyakinan, tidak sebagaimana sebelumnya. Biasanya idea-idea spontan benar-benar memberi ruang yang luas untuk kita menyatakan apa saja yang terkandung dalam isi hati kita. Namun jika kita kehilangan makna dalam mencari kebebasan dan kepercayaan diri; pada masa ini jiwa mula terasa kosong dan tiba-tiba kita merasakan bahawa semuanya menjadi kosong belaka.

Ada sesuatu yang merobet jiwa tapi tidak mampu dinyatakan di sini. Kelukaan dan kedukaan menjadikan kita bagai putus asa. Banyak masalah yang datang bertimpa-timpa. Hanya kepada Allah tempat hati berbicara. Hati menjadi gundah dan jiwa menjadi gulana. Perasaan dibalut dengan rasa resah dan gelisah. Semuanya masih berat di hati yang sukar untuk diluahkan dan dicurahkan menjadi perkongsian bersama.

Namun jauh dilubuk jiwa saya mengingatkan bahawa masih banyak ruang untuk berbicara. Dan saya ingat bahawa saya hanyalah insan biasa; masih ada jiwa yang hidup bukan sebuah robot yang berbicara tanpa rasa dan jiwa...

Dengan rasa sedar dan insaf saya cuba mengembalikan cahaya kepada jiwa yang tandus dan kosong ini. Semoga kedatangan syaaban dan ramadhan akan memberi cahaya kembali kepada jiwa yang rendah itu. Mudah-mudahan bulan yang penuh ibadah ini akan membangunkan jiwa-jiwa kotor dan digantikan dengan kemuliaan dan keberkatan yang banyak.... Marilah kita mulakan sekarang dengan memperbanyakkan tadarrus al-quran dan sembahyang malam. Disamping menyempurnakan yang fardhu kita memperbanyakkan yang sunat. Jangan lupa kepada taubat dan muhasabah diri agar kita tidak menjadi robot lagi...

Robot tidak apa; mereka tidak menanggung dosa tetapi kita adalah insan yang ada ruh dan jasad yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di kemudiannya...

Astaghfirullahal 'Adzim. Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya samada sengaja atau tidak sengaja sehingga saya merasakan saya kehilangan ruh yang hidup dan jiwa yang bermakna. Jauhkanlah saya daripada jiwa yang lemah dan dipengaruhi oleh nafsu serta gangguan syaitan durjana...Amiin Ya Rabbal 'Aalamiin!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?