SMK Rosli Dhoby : Sambut Ulang Tahun Ke 37
Oleh isma daud
Hari ini 28 April 2010 genaplah usia SMK Rosli Dhoby 37 tahun.
SMK Rosli Dhoby, pada awal penubuhannya pernah menumpang di bangunan Sekolah Menengah Bantuan Tung Hua sebelum mendapat bangunannya sendiri di tapak sekarang dengan keluasan tanah 18.55 ekar. la berpindah ke tapak baru sekarang di Jalan Deshon kira-kira 5 km dari pusat bandar pada Januari 1974.
Pada peringkat permulaan sekolah ini iaitu pada tahun 1973, hanya dua buah kelas yang berpengantar Bahasa Inggeris ditawarkan dengan empat orang guru dan dua kakitangan lain. Guru besar yang pertama ialah Encik Shee Fong Yong. Pelajar-pelajar sulung sekolah ini berjumlah enam puluh dua orang sahaja. Jumlah ini meningkat kepada tiga ratus lapan belas orang pada tahun 1974 dengan dua belas orang guru. Penambahan pelajar semakin pesat dan bertambah sekali ganda pada tahun 1975 iaitu dengan kehadiran enam ratus sembilan puluh satu [691] pelajar dengan 27 orang guru.
Pada tahun 1975 juga dua buah kelas Peralihan berpengantar Bahasa Malaysia telah ditawarkan di sekolah ini demi memenuhi tuntutan kemajuan pendidikan semasa.
Tanggal 28 APRIL 1975, menjadi titik sejarah yang sukar dilupakan. Kehadiran dan kesudian YB Menteri Pelajaran ketika itu Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad telah merasmikan pembukaan sekolah ini. Mulai tarikh tersebut juga nama sekolah telah ditukarkan kepada nama baru "SEKOLAH MENENGAH KERAJAAN ROSLI DHOBY". Penggunaan nama baru ini adalah sempena nama seorang tokoh perjuangan kemerdekaan Sarawak yang bernama Rosli Dhoby.
Pada tahun 1977, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Rosli Dhoby telah ditubuhkan untuk membantu usaha pihak sekolah untuk memberi didikan yang sebaik mungkin kepada para pelajar. Dalam tahun yang sama, Koperasi Rosli Dhoby Berhad telah diwujudkan. Seramai 70 orang pelajar dalam jurusan sastera telah menduduki peperikasaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) buat julung kalinya pada tahun 1986. Sementara kumpulan pelajar tingkatan enam jurusan sains mula diterima pada tahun 1988.
Comments