Setelah 12 Hari Berpuasa

Oleh isma daud


Sebelum berceloteh lebih jauh, saya ingin mengucap selamat berpuasa buat yang bertamu ke blog saya. Sedikit terlewat ucapan keramat ini hadir kerana kekangan masa untuk saya berceloteh diblog kesayangan saya ni....he..he... Selamat Berpuasa, selamat menghidupkan Syiar Ramadhan Al Mubarak...

1: Oh Ustaz di mana kamu?


Sebelum kedatangan bulan Ramadhan; saya dan beberapa orang sahabat sibuk menyediakan jadual bertugas Guru-Guru Pendidikan Islam (GPI) Bahagian Sibu untuk bertugas sepanjang Ramadhan di Surau dan Masjid sekitar Bandar Sibu. Kepada ustaz-ustaz yang sanggup bekorban masa dan tenaga menjayakan program ini saya ucapkan syabas dan tahniah. Semoga jihad sedikit tuan-tuan itu mendapat ganjaran dan beroleh barakah di sisi Allah SWT. Allah SWT sahaja yang berhak membalasnya dengan sebaik-baik balasan.

Saya tidak banyak bertamu di surau-surau lain kerana surau sekolah saya pun memerlukan komitmen saya untuk berada di situ. Setakat ini ustaz-ustaz yang saya jemput untuk mengimamkan solat Isyak dan Solat Sunat Terawih belum nampak muka mereka kecuali dua orang saja. Yang lain pergi mana saya pun tak tahu. Mungkin mereka tidak sudi, mungkin mereka ada alasan tersendiri; hanya Allah SWT jua yang tahu sebabnya. Cuma saya sedikit kecewa dengan sikap ustaz-ustaz yang "berat kaki" nak bertandang ke surau saya tu walau sudah berjemput dengan surat rasmi sekali. Kalau ada masalah sepatutnya maklum-maklumkanlah. Tidaklah kami tertunggu-tunggu dan ternanti-nanti.

Kalau belum puasa tu ada yang telefon awal kerana lokasi jauh, kesihatan tidak mengizinkan, dan lain-lain; takkan yang "sepi membisu tanpa khabar berita itu pun" ada alasan pelik-pelik juga kot? Mungkin tidak cukup dengan jemputan surat tapi kena jemput sampai rumah, kena pujuk rayu baru nak respond. Apa dah jadi dengan mereka yang memegang "title" ustaz sekarang ni.... Ustaz makan gaji kat sekolah saja lah agaknya, hujung bulan dapat gaji.... pedulikanlah apa yang berlaku dengan masyarakat sekeliling. Sedih sekali... Takziah dari saya buat anda.

Mereka inilah yang membawa palit lumpur kepada mereka yang lain yang ikhlas beragama. Ya kerana seekor kerbau membawa lumpur habis semua yang lain terpalit sama. Bagi mereka yang benar-benar keuzuran Allah jua yang maha mengetahuinya. Ya Allah ampunkan dosaku jika aku ada pra-sangka yang tidak sebenar buat mereka. Sesungguhnya mereka itu saudaraku. Tidaklah aku mengingini melainkan untuk memperbaiki dan mengislahkan diri dan keadaan sekadar yang saya mampu...


2 : Kalau saya berpuasa ballpen pun jatuh; jari jemari pun menggeletar


Teringat hari kedua berpuasa seorang guru bukan Islam membuat respond kepada puasa Ramadhan. Dengan tersenyum dia mengucapkan selamat berpuasa kepada saya. Sambil melahirkan rasa kagum dengan orang Islam yang berpuasa sepanjang bulan Ramadhan menyifatkan hanya mereka yang ada kesanggupan luar biasa akan mampu berpuasa. Dia menambah ; "Saya kalau berpuasa usahkan nak pegang ballpen tangan pun menggeletar, saya tidak boleh bekerja, tidak boleh berfikir , tidak tahulah saya macamana".

Saya tersenyum dan membalas kepada cikgu itu dengan menyatakan bahawa puasa ini perlu kepada iman yang teguh dan kukuh, jiwa yang beriman sahaja akan dapat berpuasa dengan sempurna sepanjang Ramadhan. Jiwa beriman memiliki jiwa beramanah. Amanah dengan Allah SWT. Orang berpuasa ada jiwa besar, jiwa hebat sehingga dia sanggup tinggal makan dan minum demi Allah SWT sedang dia boleh makan dan minum di belakang orang.

Puasa ni satu proses tarbiah dan pendidikan bagi jiwa. Puasa bukan puasa jasadi saja bahkan lebih kepada tarbiyah rohani, tarbiah minda juga... Dengan berpuasa nafsu akur kepada kekuatan akal (minda) dan jiwa (ruh). Nafsu lapar ruh pula merasa kenyang. Jiwa yang kenyang tadi melahirkan insan yang ada kemampuan luar biasa tadi.

Cikgu tadi bersetuju dengan saya sambil berkata patutlah ada orang Islam tidak mampu berpuasa apatah lagi dirinya yang tidak pernah cuba berpuasa. Dari segi persepsi dan minda sudah awal-awal mengaku kalah. Saya mencadangkan puasa itu baik untuk kesihatan.

Saya teringat seorang kawan bukan Islam saya ada bercerita bahawa dia juga berpuasa seperti puasa tidak menonton televisyen dan kos penjimatan elektrik kerana tidak menonton TV tadi kepada gereja atau orang yang tidak bernasib baik. Puasa tidak makan daging dan lain-lain lagi.

Saya terfikir dihati saya betapa benarnya hadis nabi SAW yang menyifatkan awal Ramadhan itu rahmah (kasih-sayang Allah), pertengahannya maghfirah (keampunan Allah ) dan penghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka. Besarnya rahmat Allah SWT kepada orang Islam yang berpuasa sehingga berjaya mengharungi bulan Ramadhan dengan ibadah puasa dan melaksanakan tugasan harian tanpa terganggu pun... Apabila waktu malam mereka masih bertenaga untuk beribadah dengan Solat Sunat Terawih, bertadarrus al-Quran, qiamullail, bersahur dan pelbagai ibadah lagi... Maha Besarlah Rahmat Allah SWT kepada hambaNya yang berpuasa.


3 : Dah penat ke tuk?

Atuk dan seorang cucunya yang sudah lama tidak ke surau mengambil kesempatan daripada keberkatan Ramadhan untuk sama-sama menunaikan solat Terawih berjamaah. Sang cucu mula merasa letih lalu bertanya kepada atuknya yang tengah sembahyang. "Atuk belum letih lagi ke? Lama lagi ke kita nak sembahyang ni? Lantas si atuk menjawab : "Sabarlah ,sikit lagi selesailah". "lain kali jangan ikut atuk lagi". Mendengar perbualan atuk dengan si cucu itu; jemaah yang lain bagai nak pecah peruk lantas berkata : "Tengah sembahyang tidak boleh bercakap". Terus mereka solat tanpa rasa bersalah apa-apa.

Bila selesai saja solat si jiran berjamaah berkata : "Orang tengah sembahyang mana boleh bercakap" . Lalu si cucu itu membalas, "saya kasihankan atuk saya sebab tu saya menegur". Si atuk pula menjawab: "awak pun sama bercakap dalam solat" . Si jiran berjamaah tadi pun turut sedar kesilapannya. Habis solat mereka menceritakan hal ini kepada ustaz, kami turut ketawa tapi sedih mengenangkan kejahilan sesetengah kita tentang solat itu sendiri. Ustaz nasihatkan mereka agar mereka terus datang ke surau walau sudah habis Ramadhan nanti. Belajarlah tentang agama kita sendiri supaya kita berilmu dalam beramal-ibadat.


4 : "Saya tidak puasa kerana tidak bersahur"



Beberapa orang pelajar Islam yang ditangkap tidak berpuasa memberi alasan mereka tidak tahan dan sakit perut kerana tidak bersahur. Saya bertanya kenapa tidak bangun sahur? Mereka beritahu memang di rumah mereka ibubapa mereka tidak bersahur, bapanya tidak berpuasa. Kalau ibu mereka puasa bapa mereka tidak berpuasa. Saya menyergah jangan membuat fitnah dan sengaja buat helah dengan memburukkan ibu bapa. Mereka beritahu mereka tahu bapa mereka tidak pernah puasa macamana mereka mahu berpuasa.

Saya bertanya ibu? Ibu berpuasa tapi sekarang ibu tidak berpuasa, cuti puasa. Kalau ibu berpuasa bapa akan teman ibu berbuka, yang menariknya si anak ini memberitahu ibunya akan menemani ayahnya berbuka puasa di waktu tengahari bila bapa balik ke rumah rehat daripada kerja.

Yalah macamana anak mahu berpuasa jika ibubapa mereka tidak berpuasa. Guru pertama bagi seseorang itu ialah ibubapanya. Pendidikan itu bermula dari rumah. Macamanalah anak mahu bersahur kalau orang tuanya tidka menyediakan ruang itu untuk mereka. Jadi guru hanya mampu memberi saranan dan nasihat. Apakan daya; bukan salah ibu mengandung tapi malang nasib badan...

Begitulah empat kisah benar yang saya temui sepanjang 12 hari kita berpuasa tahun ini, yang boleh kita fikir-fikirkan bersama. Mungkin ada pengajaran buat kita yang ada hati, mata, telinga dan akal. Mudah-mudahan kita beroleh ingat, Insya Allah SWT.

Ya Allah, Berilah hidayahmu kepada hamba-hambamu ini....

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?