Malam Ini Malam Raya

Oleh isma daud

Assalamu alaikum buat semua yang hadir ke blog yang dhaif ini. Salam sejahtera.

Malam ini malam raya. Malam Aidilfitri yang Mulia. Malam kemenangan umat Islam yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keyakinan kepada Allah SWT. Malam kemenangan kepada mereka yang bertaqwa. Saya berpesan kepada diri saya agar malam ini saya lebih mengutamakan Allah SWT dengan membesarkannya dengan banyak bertakbir dan bertasbih serta memuja dan memujinya atas kemenangan yang dianugerahkan Allah SWt. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Untuk Kamu menyempurnakan bilangan hari berpuasa, supaya kamu dapat membesarkan Allah di atas petunjuk yang Allah tunjukkan kepada kamu dan mudah-mudahan kamu bersyukur".

Selepas solat maghrib sedikit berbaur perasaan saya pada malam ini. Ada sedih bercampur gembira. Sedih kerana terpaksa berpisah dengan bulan Ramadhan yang entah ya, entah tidak saya akan berjumpa lagi bulan yang dimuliakan oleh Tuhannya sendiri pada tahun mendatang. Bulan yang dijanjikan padanya kerahmatan, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Bulan yang dibuka padanya pintu syurga dan ditutup pintu neraka, bulan yang mana dibelenggu segala Syaitan, bulan diseru kepada yang suka berbuat kebaikan supaya hampir kepadaNya dan orang yang biasa melakukan kejahatan supaya mundur dan berhenti. Sedih hati saya kerana terpaksa berpisah di garisan ini. Garisan 1 Syawal.

Saya juga bersyukur kerana berjaya berada di malam 1 Syawal, berjaya mengharungi bulan Ramadhan. Cuma berjayakah saya mendapat apa yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka yang bertamu dalam bulan Ramadhan yang sedetik baru berlalu? Berjayakah saya mendapat puasa yang mabrur yakni puasa yang diterima oleh Allah SWT. Mudah-mudahan semua amal soleh yang saya lakukan diterima Allah SWT dan setiap kealpaan dan kelemahan saya dalam mengharungi ibadat puasa itu diampunkan jua dosa-dosa saya.

Saya rasa malu untuk mengaku bahawa saya berjaya mendapat apa yang dijanjikan Allah SWT. Cuma saya yakin saya berjaya mengharungi bulan ini dengan ibadah puasa, sejaya manakah puasa saya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui hakikatnya. Mampukah saya menjadi kan matlamat puasa untuk menjadi insan bertaqwa benar-benar dapat saya hayati? Mampukah saya mengetuk pintu Rayyan yang dijanjikan Allah SWT kepada orang yang berpuasa sahaja tiada yang lainnya di akhirat nanti? Ya Tuhan, Muhasabah ini membuatkan saya tidak mampu bergembira pada malam ini. Air mata yang mengalir memikirkan kalau-kalau puasa yang saya lakukan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja. Puasa manakahkah kelayakkanku? Puasa Umum? Puasa Khusus? Puasa Khususul Khusus? Saya dalam kategori mana?

Allahu Akbar . Allahu Akbar . Allahu Akbar Wa Lillahil Hamdu..

Mudah-mudahan dalam kita bergembira menyambut Syawal tiba, kita tidak lupa menunaikan tanggungjawab terakhir kita kepada Allah SWT dengan membayar Zakat Fitrah.

Kepada yang berada di bandar Sibu, yang sudi mendengar khutbah saya; boleh sama-sama menunaikan Solat Sunat Idul Fitri esok di Surau Darul Hijrah, Batu 6 pagi esok. Insya Allah SWT juga, jika ada kelapangan saya akan menulis sedikit catatan daripada khutbah saya itu.

Tahun ini sekali lagi saya sekeluarga beraya di Bandar Sibu. Dengan jumlah ahli keluarga yang kian besar, kini tidak mengizinkan saya untuk beraya di kampung seperti tahun-tahun dahulu. Namun rasa gembira tetap ada kerana kehadiran saya sekeluarga di tengah masyarakat umat Islam Sibu kian diterima. Tidak berasa keasingan lagi biarpun beraya jauh di tempat orang, jauh dari ibu dan keluarga. Mudah-mudahan akhir tahun ini dalam menyambut Idul Adha saya dapat bersama-sama mereka untuk meraikannya. Insya Allah .

Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf, Zahir dan Batin kepada ibu saya dan keluarga di kampung, juga ibubapa mentua saya , rakan taulan yang mengenali saya dan umat Islam di alam cyber ni yang mungkin singgah di blog saya ni.

Kulla Aamin Wa Antum Bi Khair. Fataqabbalalahu Minna Wa Minkum. Taqabbal Ya Kareem.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?