Mahathir ceraikan parti dalam Umno hadapi 'Taufan Nargis'

Wan Nordin Wan Yaacob

Tanpa disangka-sangka, ahli seumur hidup Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengeluarkan kenyataan keluar dari parti nasionalis itu serta-merta kerana tidak yakin dengan kepimpinan Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.



Selepas lebih dua tahun, Mahathir berkelana bersama beberap rakan veterannya termasuk Sanusi Junid menghentam Abdullah, kini beliau merealisasikan hentamannya itu dengan bertindak keluar parti.

Alasan yang diberikan tidak lari dari permasalah kerajaan dan parti yang dipimpin seorang Perdana Menteri yang sering digelar sebagai 'penidur'.

Jika sebelum ini, kritikan Mahathir terhadap Abdullah sering disulami dengan alasan bahawa bekas Perdana Menteri itu sayang dengan Umno, namun kini 'lafaz cerai' telah disebutkan.

Sanusi antara pemgikut setia Mahathir yang turut serta meninggalkan parti nasionalis itu, dan kini rakyat menunggu anak bekas Perdana Menteri itu (Mukriz) pula berbuat demikian.

Bagaikan 'Taufan Nargis' menghentam segenap bumi Myanmar, kini taufan itu menghala kepada Umno yang sedang meranapkan binaan asas Umno yang ditegakkan beberapa kali selepas beberapa kali krisis berlaku termasuk semasa era Dato' Onn Jaffar, Tunku Abdul Rahman, Tun Hussien Onn dan Tun Dr Mahathir sendiri.

Kemuncak

Peletakan jawatan Mahathir ini dilihat sebagai satu kemuncak kemarahannya tatkala Umno pada tahun 2004 dikatakan terlalu kukuh dengan Mahathir meninggalkan kerajaan dan parti kepada Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno.

Ramai yang menyangka, panas yang dibawa Abdullah akan sampai ke petang, tetapi rupa-rupanya hujan dan ribut petir malah 'Taufan Nargis' melanda Umno di tengahari.

Bagi yang tidak menyukai Mahathir kerana rekod buruknya tentunya tindakan Mahathir keluar parti adalah 'tulah' dan pembalasan yang kena padanya kerana kezaliman lampau.

Bagi yang bosan dengan sikap Mahathir yang selepas meletak jawatan dari kerajaan masih mahu bercakap soal kerajaan lagi, keluarnya Mahathir daripada Umno adalah satu kelegaan.

Khairy lega

Seperti kata Musa Hitam bahawa 'duri dalam daging' dalam Umno sudah keluar.Tentunya, menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin adalah orang yang paling gembira dengan keputusan ini.

Khairy antara individu utama yang menyebabkan permusuhan antara Perdana Menteri dengan Mahathir semakin kronik, malah ia merebak kepada anak bekas Perdana Menteri itu, MUkriz yang turut serta mengkritik kegagalan Abdullah.

Keluarnya Mahathir daripada Umno mungkin bagi Khairy satu kelegaan, namun sesekali beliau tidak boleh melupakan bahawa bekas 'boss' kepada bapa mertuanya itu mempunyai ramai lagi proksi dalam Umno yang masih setia kepadanya.

Meskipun Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dilihat sudah kurang 'sebulu' dengan Mahathir, namun tidak dapat dinafikan 'kasih sayang' antara Najib-Mahathir sebenarnya masih wujud.

Najib masih proksi Mahathir

Timbul 'syak' di kalangan ahli dan pemimpin Umno di peringkat bahagian selepas Mahathir dan beberapa pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan mendesak Abdullah melepaskan jawatan dan menamakan Najib sebagai pengganti.

Ada yang melihat bahawa kegagalan Abdullah mempertahan majoriti dua pertiga Parlimen pada Pilihan Raya Umum lalu adalah kejayaan kempen Mahathir meletakkan Najib sebagai galang ganti kepada Abdullah hingga wujud desakan peralihan kuasa.

Namun ada juga yang sinis dengan perkembangan itu sambil meletakkan harapan yang masih menggunung kepada Abdullah untuk terus mentadbir Umno dan negara.

Satu yang pasti, Najib sudah menyatakan 'signal' kepada Mahathir akan taat setianya kepada bekas 'boss' nya itu dengan kenyataan bersedia untuk bertemu dengan Mahathir.

Keluarnya Mahathir dari Umno memperlihatkan parti itu semakin parah seperti kata bekas Timbalan Presiden Umno, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang juga musuh kepada Mahathir sejak tahun 1998.

Duduk semeja

Namun apa yang lebih penting, tindakan Mahathir keluar Umno ini harus dipandang lebih objektif memandangkan bukan sahaja Mahathir yang mengkritik Abdullah, namun Anwar, pemimpin PAS, Tengku Razaleigh Hamzah, NGO dan seluruh rakyat sebenarnya tidak setuju dengan kaedah Abdullah mentadbir Malaysia.

Transisi kepimpinan negara perlu berlaku segera seperti kata Ketua Penerangan PAS, Mahfuz Omar dengan kelompok-kelompok yang tidak setuju dengan Abdullah ini duduk semeja berbincang mengenai soal kepentingan negara.

Ini kerana bagi mahfuz kepentingan negara itu adalah yang paling penting dari terus membincangkan kemelut dalaman Umno yang tak berkesudahan.

Namun cadangan ini mungkin sukar dilaksanakan kerana umum mengetahui tiga tokoh yang mengkritik Abdullah (Mahathir, Anwar dan Tengku Razaleigh) punyai 'kisah silam' antara satu sama lain.

Begitupun misi menyelamatkan negara adalah lebih utama, dan bermula dengan 'Taufan Nargis' yang ditinggalkan Mahathir kepada Umno ini, rakyat perlu bersedia akan sebarang perubahan, mahupun krisis yang lebih dahsyat yang mungkin akan berlaku.

Misi utama ialah menyelamatkan negara dari 'kerajaan tiga beranak' dan bukannya menyelamatkan Mahathir atau Abdullah sebagai seorang manusia yang masing-masing pernah dan masih bergelar Perdana Menteri atau Presiden Umno.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?