Kita Hanya Pengembara Di Dunia Ini

Oleh : isma daud

Semalam (Jumaat) saya telah menyampaikan Khutbah Jumaah di Masjid An-Nur, Sibu. Ini kali ke dua pada tahun ini saya berkhutbah di sini. Saya cuba mengembangkan idea yang ringkas dalam khutbah tersebut dengan sedikit pengembangan idea di sini. Saya cuba menarik perhatian para jamaah kepada sebuah hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari; Daripada Abdullah Bin Umar (r.hm) berkata bahawa Rasulullah SAW sambil memegang bahunya bersabda: "Jadilah kamu (semasa hidup) di dunia seolah-olah kamu seorang pengembara atau menyeberang sebatang jalan". Lantas Ibnu Umar (r.hm) berkata: "Apabila kamu berada di waktu petang; janganlah kamu bertangguh-tangguh ke waktu pagi dan apabila kamu berada di waktu pagi; janganlah kamu bertangguh-tangguh ke waktu petang. Rebutlah masa sihatmu daripada tiba saat sakitmu dan masa hidupmu daripada sampainya saat kematianmu".

Ada beberapa petunjuk daripada hadis ini:

Pertama: Hakikat hidup di dunia ini; Setiap seseorang mesti menerima hakikat sebenar bahawa kita berada di dunia ini hanya sementara sahaja sehingga Rasulullah mengibaratkannya dengan seorang pengembara atau perantau yang melalui satu jalan lalu dia berhenti sekejap untuk mengambil bekalan dan apabila sampai masanya dia akan berlalu pergi. Maka amat rugilah sesiapa yang terlupa akan hakikat ini sehingga menyangka dia akal kekal di sini buat selama-lamanya. Allah SWT menyifatkan golongan ini sebagai orang yang akan mendapat kecelakaan dan azab siksa yang petih dengan dihumban ke dalam "Huthamah" kerana bersangkaan yang bukan-bukan dan silap perhitungan tentang hakikat hidup di dunia ini. Silalah rujuk firman Allah SWT berikut mudah-mudahan mendatangkan insaf ke dalam hati kita yang sering lupa. Firman Allah SWT: "Yang mengumpulkan harta dan berulang-ulang menghitung kekayaannya; Dia menyangka bahawa hartanya itu dapat mengekalkannya (dalam dunia ini)! Tidak! Sesungguhnya dia akan dicampakkan ke dalam "Al-Huthamah". (Al-Humazah ; ayat 2-4)

Cuba fikirkan dan bayangkan bagaimana Allah SWT menjelaskan ayatnya melalui perkataan "Yahsabu" yang bererti "bersangka-sangkaan" sudahpun begitu buruk akibat dan pembalasannya bagaimana pula agaknya bagi mereka yang sememangnya dia yakin benar bahawa dia akan kekal abadi di atas muka bumi ini sehingga dia sanggup berbuat apa saja demi mengekalkan "dunia"nya tanpa mempedulikan lagi hukum dan ajaran agama Allah SWT. Sudah tentulah nasib mereka lebih dahsyat lagi apabila menerima hukuman Allah SWT terhadap mereka.

Menyedari hakikat ini maka kita perlu kembali kepada makna "pengembara" atau "perantau". Mereka tidak pernah terfikir untuk kekal lama di sesuatu tempat. Dia berada di situ semata-mata untuk mendapat tujuan dan matlamat seta mencari bekalan dan keperluannya bagi meneruskan perjalanan selanjutnya selepas itu. Sudah tentulah dia akan pergi dan bergerak ke tempat asalnya atau tujuan perjalanannya yang asal.

Ke dua: Kategori Pemgembara :

1. Pengembara yang menyedari matlamat hidupnya; dia mengambil dunia ini sekadarnya sahaja kerana dunia bukan matlamat baginya. Yang lebih penting persediaannya untuk menuju ke destinasi yang telah ditetapkan. Tambahan lagi pengembaraannya ini diketahui benar bukan perjalanannya semata-mata tetapi dia sebenarnya seorang utusan dan wakil kepada tuannya. Sudah tentu di berhati-hati menggunakan amanah tuannya kerana dia tahu kalau dia tersalah-guna atau menyalahgunakan ; dia akan disoal-siasat oleh tuannya dan akan dihukum pula atas kesilapannya itu. Inilah pengembara yang akan disukai dan disayangi oleh tuannya. Tidak mustahil tuannya akan memberi pelbagai habuan yang menyenangkan hati pengembara ini kerana berjaya melaksanakan tugasnya denga n baik dan sempurna.

2. Pengembara yang lupa jalan pulang: dia mula terpesona dengan kecantikan yang memperdaya. Kecantikan dan kedamaian itu membuat dia lupa. Lupa siapa dirinya , lupa asal-usulnya, lupa akan tujuan dan matlamatnya dan paling tragis dia terus lupa kepada tuan yang telah menghantarnya. Dia benar-benar lupa dan kalau ada orang yang mengingatkannya dia tidak mengendahkannya bahkan menuduh orang itu tidak lain hanya akan melambatkan perjalanan dunianya dan pengganggu kepada sebuah kedamaian yang dia sedang kecapi. Pengembara ini benar-benar hanyut dengan dunia ini sehingga dia sampai kepada satu destinasi yang meyakinkannya bahawa teguran orang kepada selama ini kepadanya adalah benar. Tapi dia sudah terlambat dan benar-benar rugi kerana "sudah teratuk baru tengadah". Jika anda tuan kepada pengembara ini apa anda akan lakukan kepadanya?

3. Pengembara yang tersesat di jalanan tetapi bertemu jalan pulang: Inilah kebanyakan daripada kita. Seringkali silap percaturan dalam perjalanan. Lupa itu dan ini, kurang pula perancangan tapi terus mencuba dan mencuba tanpa mengenal erti putus asa. Pengembara ini menyedari hakikat ini lalu berusaha memperbaiki diri dan mula bertanya kepada mereka yang tahu bagaimana mahu sampai ke sebuah destinasi dan dia mendapat pula petunjuk-petunjuk sehingga dia sedar kini dia seorang wakil kepada tuannya lantas dia cepat-cepat kembali kepada tuannya. Segera membuat persediaan agar dia cukup bekalan dam perjalanan hidupnya seterusnya nanti.

Ke tiga: Penggunaan Masa: Bagi seorang pengembara yang menyedari waktunya berada di sesuatu tempat tidaklah berapa lama; maka baginya setiap kesempatan adalah peluang untuk menyediakan bekalan. Kalau terlambat nanti; akan mengundang seribu masalah di hari muka. Lalu sang pengembara ini akan menggunakan masa yang ada dengan efesen, bijak dan penuh wawasan. Saya teringat kepada sebuah ungkapan yang dipusakakan oleh Imam An-Nawawi di dalam muqaddimah kitab Riadhus Solihin : "Sesungguhnya bagi Allah SWT ada hambanya yang bijaksana, yang menolak dunia kerana takutkan fitnahnya, lalu dia melangkah dengan penuh berhati-hati kerana dia sedar dunia bukan tempat (watan) yang kekal abadi, lantas dia membayangkan laluan dunia itu bak laut yang dalam, dia membawa bekalan yang baik-baik dan kenderaan yang menyampaikannya ke sebuah destinasi".

Janganlah kita mengharapkan syurga dan rahmat Allah SWT dengan bersikap sambil-lewa terhadap ajarannya sedangkan kasih-sayang Allah SWT kepada hambaNya yang taat dan berbakti sahaja. Oleh itu manfaatkan masa yang Allah SWT kurniakan kepada kita untuk kita nafaqahkan pada jalan Allah seperti berjuang dan berjihad pada jalannya.

Allah SWT berfirman : "Demi Masa, Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian melainkan mereka yang beriman, beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran" - Surah Al-'Asr ; ayat 1-3.

Ke empat: Jangan Bertangguh dalam pekerjaan yang mulia;Orang Islam harus belajar dan berpegang kepada ajaran agama dalam memajukan diri. Bersederhana dalam seluruh gerak-geri. Mengikat diri dengan agama bukan bermaksud mundur ke belakang. Lihat apa yang diucapkan oleh Ibnu Umar apabila mendapat pandangan dan saranan Rasulullah SAW tentang "dunia": Ibnu Umar berkata:
"Apabila kamu berada di waktu petang; janganlah kamu bertangguh-tangguh ke waktu pagi dan apabila kamu berada di waktu pagi; janganlah kamu bertangguh-tangguh ke waktu petang. Rebutlah masa sihatmu daripada tiba saat sakitmu dan masa hidupmu daripada sampainya saat kematianmu". Dalam hadis yang lain Rasulullah SAW menyebut : "Jangan kamu menangguh pekerjaan hari ini kepada esok". Jelas Islam tidak menentang dunia tetapi dunia itu seharusnya tunduk dalam kekuasaan kita bukan pula sebaliknya. Jadi; wajarlah kita mula bergerak sekarang kerana masa kian berkurang dari jangka hayat kita.

Jangan bertangguh lagi dalam perkara yang baik. Jangan bertangguh-tangguh dalam solat, puasa, berzakat dan mengerjakan haji bila sudah berupaya. Dalam soal keduniaan juga kita tidak boleh bertangguh-tangguh. Saya mengambil contoh; Sebuah pilihanraya bukan datang selalu, bagaimana agaknya jika kita sebagai rakyat tidak mahu menggunakan kuasa yang ada kepada kita untuk menentukan masa depan kita melalui pembentukan kerajaan melalui sebuah pilihanraya ; kesempatan yang ada itu kita tidak endahkan maka berkesempatankah kita dengan pilihanraya yang akan datang". Ramai orang yang merungut kepincangan itu dan ini tetapi tidak pula mahu bergerak untuk merubahnya.

Sesungguhnya isyarat daripada hadis Rasulullah SAW ini mengajak kita untuk menyedari akan hakikat diri kita dan bukannya mengajar kita untuk menolak sepenuhnya kehidupan di dunia bahkan dunia itu tempat kita beramal bagi menjamin kebahagiaan hidup di dunia ini dan di akhirat nanti. Semoga bermanfaat dari tulisan ini. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberi taufiq dan hidayat kepada kita agar kita selamat mengharungi kehidupan dunia yang memperdaya dan bujukan Syaitan yang tidak pernah alpa kepada pemangsanya. Hanya kita sahaja yang mudah lupa nama pun "manusia". Wallahu A'lam.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?