Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Friday, April 23, 2010

Bermuhasabah Dengan Rutin Yang Buruk Dan Rutin Yang Baik

Oleh isma daud

Rutin. Apa itu Rutin? Kepada saya, rutin itu ialah sesuatu yang kita lakukan berulang-ulang sehingga kita jadikan sesuatu itu satu kebiasaan. Kekadang bila kita melakukan sesuatu yang sama, setiap hari tiada berubah apa-apa akhirnya menjadikan perkara yang dianggap rutin ini sesuatu yang menjemukan. Akhirnya sesuatu yang rutin itu mendatangkan pelbagai kesan sampingan kepada kehidupan seseorang individu, keluarga dan masyarakat.

Maksud rutin yang saya nyatakan di sini tidak dirujuk kepada mana-mana kamus, tetapi sekadar memberi makna dari sudut kefahaman saya sendiri semata-mata.

Mengapa persoalan rutin menjadi sesuatu yang penting untuk kita bincangkan di sini?

Ramai orang terperangkap dalam perkara rutin ini. Tidak kurang yang mula merungut betapa kejemuan menguasai dirinya. Merungut kerana jemu melakukan hal-hal yang sama setiap hari. Mula hilang objektif, hilang tumpuan kerana segalanya berjalan macam biasa. Segalanya adalah biasa-biasa sahaja. Sesuatu yang diulang setiap hari. Jadi semuanya berjalan macam biasa tiada yang baru, yang mencabar dan mudah diduga.

Bayangkan jika kita makan nasi dengan lauk yang sama saja setiap hari. Pasti menjemukan. Bayangkan jika kita sebelum buka tudung periuk, kita sudah tahu apa lauk dan masakannya. Bayangkan sebelum pulang ke rumah kita sudah tahu apa masalahnya, bayangkan jika kita sebelum kita pergi ke tempat kerja, kita sudah tahu apa tugasannya. Tiada langsung dugaan, kejutan dan kepelbagaian???

Sesungguhnya rutin ini satu perangkap yang bahaya dalam peringkat kerja dan hidup seseorang. Ini kerana semangat, kreativiti dan pemikiran kritis seseorang mula diragut dengan mudah di luar kesedaran diri. Akhirnya seseorang itu mula masuk dalam perangkap kejemuan dan selalu mengeluh kerana hasrat dan matlamat tidak tercapai.

Tidak hairanlah kualiti hidup seseorang mula terganggu, kesihatannya terganggu, komunikasinya dengan seseorang juga terganggu. Tidak hairan jika seorang itu bercerita dengan saya bahawa dalam melakukan hubungan badan dengan isterinya pun ianya sesuatu yang membosankan. Padahal semua orang mengejar-ngejar ruangan nikmat ini dan tiada pula orang yang sihat rohani dan jasmaninya mahu mempersia-siakannya pula...... kenapa jadi begitu?

Ramai orang yang mahukan perubahan dan kemajuan. Tetapi dia lupa untuk merancang, lupa memberi sedikit sentuhan dan nafas baru kepada hal-hal yang rutin itu dan lupa untuk menyusun langkah bagaimana dia boleh keluar daripada zon yang mendatangkan hal dan situasi yang biasa-biasa saja itu.

Rasulullah bersabda:
“Amal yang paling dicintai Allah adalah (amal) yang dikerjakan pelakunya secara rutin meskipun sedikit. (HR. Muslim 2779)”

Lihatlah bagaimana saranan Rasulullah SAW agar  menjadikan sesuatu amalan itu bukan sekadar rutin atau  sekadar buat sahaja tetapi baginda mengajar kita menguruskan rutin itu agar ianya menjadi sesuatu yang  bermanfaat.

Tahukah kita bahawa sesuatu yang rutin itu jika kita urus dengan terancang dan penuh penelitian, ia akan memberi pulangan dan keberhasilan yang lumayan sekali. Namun janganlah pula sesuatu perancangan itu menjadikan kita seseorang yang beku dan kaku sehingga kembali kepada rutin yang menjemukan pula. Jadi tiada faedahnya. Dibimbangi akan jadi seperti dicakap orang; "Pi Mai Pi Mai Tang Tu".

Saya bukan ahli ekonomi, bukan juga ahli politik atau pakar sosiologi, akan tetapi saya hanyalah seorang guru dan seorang daie. Jadi saya sebutkan di sini dari sudut pandang saya sebagai seorang guru atau seorang daie.

Saya dapati betapa sukarnya kita mahu mengajak seseorang kepada berubah menjadi seseorangan yang berusaha mendekati dan menghayati ajaran Allah SWT. Saya ambil contoh, amalan rutin datang berjamaah di masjid atau surau, amalan rutin menghadiri kuliah agama dan kelas-kelas pengajian dalam pelbagai bidang. Bayangkan jika kita datang ke surau hanya bersifat rutin, apa yang kita lakukan?

Cuba bayangkan manfaat yang kita perolehi jika kita benar-benar merancang rutin dalam kehidupan kita. Sebagai contoh jika kita dapat jadualkan solat fardhu berjamaah setiap hari seperti jadual di bawah;

Solat Fardhu
Pahala Sendirian
Pahala Berjama’ah
1. Subuh
1
120
2. Zohur
1
27
3. Asar
1
27
4. Maghrib
1
27
5. Isyak
1
60
Jumlah
5
261

Dari sini cuba kita bayangkan keberuntungan yang kita perolehi hanya dengan menyusun dan memprogramkan rutin yang biasa kita buat..... itu baru solat berjamaah di masjid... jika ditambah dengan amalan-amalan yang lain...berapa banyak kebajikkan yang dapat kita kutip pahalanya. Cuba bayangkan  kebajikan yang diceritakan oleh Rasulullah SAW ketika mana kita dikala tetiba tidak mampu melakukan sesuatu yang rutin kerana sakit dan sebab-sebab tertentu . Sabdanya SAW: “Apabila seorang hamba biasa melakukan amal kebaikan lalu terhalang oleh sakit atau sebab musafir maka dituliskan untuknya pahala-pahala kebaikan yang biasa dilakukan ketika ia sihat dan bermukim. ( HR. Abu Daud 2687)”?

Dapat saya perhatikan apa yang dilakukan oleh ahli jamaah yang datang ke masjid tanpa objektif dan kesedaran sebenar, mereka datang ke masjid sekadar untuk solat berjamaah selepas itu mereka bersandar di dinding masjid atau koridor surau sambil berbual kosong, mengumpat, merokok dan sebagainya. Inilah yang saya maksudkan sebagai rutin yang buruk. Buat hal-hal yang biasa setiap hari, tidak pernah mahu bermuhasabah dan mahu berubah. Akhirnya kita melihat bahawa kita datang ke masjid tidak ubah kita lepak di kedai kopi atau wakaf seperti perhentian bas sahaja.

Inilah kesan jika kita melakukan sesuatu hanya sebagai rutin. Apa yang sepatutnya seseorang itu lakukan? Bagaimanakah rutin itu menjadi hal yang bermanfaat dan berkeberuntungan? Bayangkan jika kita datang ke masjid dan surau itu dengan kesedaran yang sebenar. Tahu apa yang sepatutnya kita lakukan. Terfikirkah kita akan kewajaran jika kita melakukan hal-hal yang buruk ketika berada di rumah Allah SWT itu?

Menyedari hal sebeginilah menjadikan kita seseorang yang tidak cuai dan lalai daripada tujuan dan matlamat sebenar kita datang ke masjid atau ke majlis ilmu itu. Sudah tentu matlamat kita ke masjid itu dengan tujuan beribadat kepada Allah SWT dan mencari keredhaanNya. Jadi di sinilah kita bergerak menjadi seseorang yang hanya menjadikan hal-hal yang rutin asalnya kepada seseorang yang berusaha merebut keberuntungan daripada kebiasaan itu. Tidak lagi dia duduk bersembang di laman masjid tetapi berada dalam masjid, beriktikaf, melakukan amalan-amalan sunat seperti solat sunat, membaca wirid dan al-quran, menekuni diri dengan pencarian ilmu pengetahuan, mengamalkan budaya saling berpesan-pesan dengan kebaikan dan mengajak kepada yang makruf serta mencegah yang mungkar.

Berapa banyak orang yang asalnya rajin ke masjid, akhirnya berhenti daripada datang ke masjid. Kenapa? Jawabnya: Jemu. Kenapa tidak hadir kelas agama? Jemu. Kenapa tidak berjamaah? Jawabnya : Sibuk dengan keluarga, sibuk dengan kerja dan harta...

Padahal berapa ramai yang gagal menyusun diri supaya membiasakan diri dengan rutin yang baik dan positif. Banyaknya mereka yang berada dalam zon rutin yang negatif. Sesuatu yang baik akhirnya kelihatan buruk. Inilah yang menjadikan masjid dan surau menjadi lesu sekarang ini. Berapa ramai orang yang terperosok dirinya dalam rumah masing-masing kerana rutinnya adalah menonton televisyen, berchating di laman Facebook (internet), ada apointment atau temu janji dengan seseorang perihal perniagaan, politik dan perhubungan. Jadi sesuatu rutin itu disusun sedemikian rupa sehingga gagal menghadirkan diri ke rumah Allah SWT. Bila diajak ke rumah Allah, sudah tentu pelbagai alasan diberi. Semuanya berdasarkan dengan rutin yang telah dilalui saban hari bagaikan tidak boleh dirombak lagi.

Sepatutnya kita bermuhasabah diri agar kita tidak terperangkap dalam rutin yang negatif sedemikian rupa. Marilah kita menyahut seruan Allah SWT dalam azan yang dilaungkan setiap waktu solat fardhu, "Haiyya 'Alas Solah, Haiya 'Alal Falaah"yakni "marilah kita menuju kepada Solat, marilah kita menuju kepada kejayaan". Marilah kita melihat kepada peluang yang ada dalam rutin yang jika kita lakukan dengan perancangan teliti, ianya akan membawa keberuntungan dalam hidup di dunia dan kebahagiaan hidup di akhirat nanti. Ayuhlah kita berubah kepada yang baik atau lebih baik....!!!

1 comment:

khairul aznan said...

salam ust.
tulisan yang sangat baik. tahniah ustaz. Membuka minda dan mengetuk hati.

Related Posts with Thumbnails