Adab Menyambut Hari Raya Aidilfitri

a



MARILAH kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertaqwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Kita umat Islam pada masa ini telah pun memasuki hari-hari terakhir bulan Ramadan. Inilah saat dan ketikanya bagi kita merebut peluang terakhir untuk mempertingkatkan lagi amal ibadat demi untuk memperolehi ganjaran yang berlipat ganda yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Persoalannya sekarang ialah sejauh manakah usaha kita dalam menghayati dan menjalani ibadat puasa kerana kita tidak tahu sama ada kita akan dipertemukan dengan Ramadan akan datang ataupun tidak.

Dengan berakhirnya Ramadan yang mubarak ini, umat Islam akan meraikan kedatangan bulan Syawal. Setentunya kita selaku umat Islam merasa gembira dengan kedatangannya, dalam masa yang sama kita merasa sedih untuk meninggalkan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan ini. Pada masa ini tidak dapat dinafikan sebahagian besar di antara kita telah pun membuat persiapan-persiapan untuk menyambut kedatangan Aidilfitri yang mulia, antaranya keperluan-keperluan rumah, pakaian, makanan dan minuman. Semua ini adalah semata-mata untuk meraikan Hari Raya agar sentiasa dalam suasana gembira.

Perlu diingat, dalam kesibukan kita membuat persiapan bagi menyambut kedatangan bulan Syawal, janganlah kita lalai dan alpa tentang kewajipan yang perlu kita laksanakan iaitu membayar zakat khususnya zakat fitrah. Kewajipan itu adalah merupakan pelangkap ibadat puasa kita dan juga sebagai penutup kepada kecacatan-kecacatan yang berlaku dalam kita mengerjakan ibadat puasa.

Dalam kita sibuk membuat persiapan Hari Raya ini, kita perlulah mengamalkan sifat kesederhanaan dan tidak bermegah-megah sehingga membawa kepada sifat riyak dan pembaziran. Allah Subhanahu Wata'ala mengingatkan bahawa orang-orang yang membazir itu adalah bersaudara dengan syaitan. Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Israa' ayat 26-27 tafsirnya :

"Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-melampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".

Sebenarnya, kita menyambut Hari Raya Aidilfitri adalah bertujuan untuk meraikan kejayaan bagi mereka yang telah berjaya menjalani ibadat puasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan. Dalam hal ini, Islam menggariskan panduan tentang cara bagaimana merayakan Hari Raya bagi umatnya agar semua yang dilakukan itu tetap menjadi ibadat.

Dalam kita menyambut Malam Hari Raya Pertama, kita disunatkan menghidupkannya dengan memuji kebesaran Allah Subhanahu Wata'ala dengan melaungkan kalimah-kalimah takbir disamping kita terus-menerus menghidupkannya dengan membaca Al-Qur'an, berdoa, berzikir dan sebagainya. Akan tetapi janganlah kita merayakan Malam Hari Raya tersebut dengan melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan bahaya dan kemudaratan serta mengganggu ketenteraman orang lain seperti membakar mercun, bunga api dan sebagainya. Dan elakkanlah daripada membuat persiapan di saat-saat akhir sehingga larut malam yang boleh menjejaskan peluang untuk Bersembahyang Sunat Hari Raya di pagi raya.

Perlulah diketahui bahawa ada beberapa amalan sunat yang perlu dilakukan pada pagi Hari Raya seperti disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidilfitri dan bukannya mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri. Di samping itu, kita disunatkan memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok.

Kita juga disunatkan memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya, sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari yang bermaksud :

"Dari Anas ia berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam tidak keluar pada waktu pagi Hari Raya Fitrah sehingga ia makan terlebih dahulu beberapa biji kurma. Seterusnya Anas menceritakan bahawa Baginda memakan kurma itu dalam bilangan ganjil".

Manakala perkara yang paling penting dan utama daripada perkara-perkara sunat yang lain dalam kita menyambut Hari Raya ialah menunaikan Sembahyang Sunat Hari Raya. Sebagaimana hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam maksudnya :

"Dari Al-Barra' ia berkata : Aku mendengar Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (Hari Raya) ialah sembahyang". (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Sebagaimana kelaziman yang diamalkan oleh umat Islam, bagi memeriahkan suasana Hari Raya ialah dengan ziarah-menziarahi, kunjung-mengunjungi kaum keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai semata-mata memohon kemaafan demi mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Dalam hal ini, apa yang perlu kita ingat ialah jangan sampai dalam kegembiraan itu kita lupa peringatan agama kita supaya perkara baik itu dijaga dan jangan dicemari oleh perkara-perkara yang tidak elok dan berdosa yang bertentangan dengan hukum syarak seperti bersalaman dengan bukan muhrim, memakai pakaian yang mendedahkan aurat dan menjolok mata, menjamu dengan benda-benda haram seperti arak dan sebagainya. Orang Islam bukan demikian cara sambutannya kerana perbuatan sedemikian tidak memberi berkat tetapi sebaliknya mendatangkan bala dan laknat Allah Subhanahu Wata'ala.

Di kesempatan penghujung Ramadan ini, marilah kita sama-sama berusaha menggunakan kesempatan yang ada untuk lebih mempertingkatkan lagi ibadat kepada Allah Subhanahu Wata'ala khususnya ibadat puasa dan kelebihan-kelebihan yang ada padanya iaitu dengan mematuhi segala adab dan peraturan dalam kita mengerjakan ibadat tersebut, agar kita dapat merasakan kenikmatan berpuasa dan berhari raya yang sebenar-benarnya.

Akhirnya, marilah kita sama-sama merayakan hari kemenangan, Hari Raya yang akan menjelang ini dengan mentaati apa yang telah diajarkan oleh agama Islam. Mudah-mudahan segala amal ibadat yang kita kerjakan selama ini diterima oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan mudah-mudahan kita semua mendapat berkat dan rahmat serta keampunan dari Allah Subhanahu Wata'ala. Amin Ya Rabbal'alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ali-Imran ayat 133 tafsirnya :

"Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu dan mendapat Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa".

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?