Catatan sebelum Berangkat, Ada nasihat Kepada yang Tinggal

Oleh isma daud


Hari ini saya dan keluarga akan kembali ke kampung halaman yang jarang-jarang saya menjenguknya. Tidak seperti orang lain, yang balik kampung macam pergi pasar saja pergi pagi balik petang menggambarkan kerapnya balik kampung. Sementara saya balik kampung menjadi nikmat besar kerana balik hanya dipenghujung tahun sekali sekala. Jika sewaktu balik itu ada raya, rayalah. Ada kenduri, kendurilah saya, ada kematian berziarahlah saya. Untuk balik bagi semata-mata raya, kenduri-kendara atau kematian setakat ni belum lagi. Saya balik sekeluarga hanya dipenghujung tahun kerana inilah cuti yang agak panjang daripada biasa.

Kembalinya saya ke kampung halaman saya kali ini dengan harapan dapat menukar suhu dan cuaca Sibu yang mungkin lebih aman dan damai tanpa saya. Setelah label pemecahbelah dan pembawa elemen tidak sihat dicop atas diri saya sejak pertengahan tahun ini oleh pihak yang tetiba pandai membuat cop dan mengecop orang, saya mengharapkan bahawa cop itu tertanggal apabila saya datang kembali bagi menerus kehidupan seterusnya di tahun hadapan.

Semoga dalam jarak sebulan lebih saya tiada di sini; dapat menghapuskan calit duka yang saya tempuh bagi tahun ini. Ibarat kata orang bijak pandai; sekali air bah sekali pantai berubah. Dalam sebulan ini saya harap hati pendengki berasa aman dan tenteram kerana mereka tidak mampu berdengki dan jika mahu berdengki juga berdengkilah dengan angin. Dan angin akan membawa dengki itu jauh sejauhnya. Akhirnya dengki itu hilang lenyap kerana orang yang hendak didengki itu tiada... buanglah yang buruk dan keruh, carilah yang baik dan jernih.

Samada masyarakat Muslim dan Muslimah di  Sibu ini mengalu-alu akan saya atau mengucap selamat jalan; jika diizinkan Allah saya akan datang lagi. Masih ada misi dan visi yang belum selesai. Masih banyak perkara yang boleh kita perihal bersama. Sampai masa dan ketentuan Allah akan datang juga masanya saya akan meninggalkan bumi Sibu ini, usahlah dibimbangkan apa-apa. Semuanya dalam ilmu Allah akan bila masa dan detiknya? Cuma saya harap bahawa saya sentiasa dapat diterima walaupun yang menerima kehadiran saya hanya sebilangan kecil sahaja. Saya tidak perlu jamaah yang besar cuma mahu beserta dengan golongan yang sedikit sahaja. Yang sedikit yang baik dan luhur hati dan budinya. Sudah cukup bagi saya.

Walaupun sebilangan kecil insan yang berhati mulia, saya merasa cukup dengan yang sedikit itu. Hati saya bahagia. Saya dapat menumpang kasih dan berkongsi cerita dengan mereka. Betul kata pendengki saya; "Ustaz kena terima hakikat bahawa kita hidup berdasar angka majoriti. Kalau satu angka kita kurang, kita adalah puak yang kalah". Itu tidak mengapa bagi saya. Majoritikah atau minoritikah bukan persoalan saya kerana saya hanya mencari yang benar dan sejati. Biarpun sedikit kalau benar, itu  adalah kebahagian saya. Kalau ramaipun jika bersama dengan pihak yang tidak benar tiada gunanya. Bak kata orang melayu yang bijak pandai; menang sorak kampung tergadai. Sungguh ianya tidak berguna.

Saya bahagia walaupun bersama yang sedikit. Kerana niat dan tujuan saya hanya mahu mencari kebenaran dan hak. Jika kerana mencari yang benar, saya menjadi terpinggir dan terpencel tidak menjadi soal kepada saya. Kerana kecil besar itu hanyalah angka yang boleh berubah bila-bila masa sahaja. Seharusnya mereka yang berakidah dengan angka majoriti itu sedar bahawa dia sedang bercita-cita panjang dan jangan merasa selamat dengan angka itu. Lambat laun hancurlah dirimu bersama impianmu itu. Ini kerana orang yang bercita-cita panjang akan sentiasa ditipu oleh Syaitan manakala orang yang mencari kebenaran akan sentiasa dalam rahmat dan pemeliharaan Allah SWT. Akhirnya yang sedikit itu akan menang. Yakinlah!!! Kebenraan bukan diukur oleh bilangan yang banyak atau sedikit.Yang benar itu tetap benar.

Sebelum saya melangkah, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucap terima kasih kepada mereka yang sedikit kerana sudi bersahabat dengan saya. Kepada yang banyak terima kasih juga kerana kalian telah menambah iman dan ketekadan saya. Insya Allah kita jumpa lagi dilain masa. Harapannya bila kita berjumpa lagi, kita dapat duduk bersama. Buang Yang Keruh, Ambil Yang jernih.

Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Haji atau Korban yang akan tiba tidak berapa lama lagi buat semua. Marilah kita korbankan keegoan, sifat hasad dengki dengan menggantikan dengan persaudaraan dara rasa ingin berbakti. Pasti hati akan lebih bahagia. Letaklah diri kita ditempat yang betul dan selayaknya agar kita boleh berlaku adil kepada sesiapa jua.

Lain masa kita sambung cerita. Mungkin banyak cerita yang mampu kita kongsikan setelah sedikit masa kita berenggang dan waktu itu kita berkumpul dan bersua kembali nanti. Berpisah dulu buat sementara. Jumpa lagi. Ma'assalaamah wa ilalliqaa'.

Comments

Anonymous said…
selamat pulang ke kampung ya akhi..rehatlah secukupnya di kg..insyaallah kalo ada rezki saya akan ke ganu jumpa akhi sekeluarga..

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?