Seludup kanak-kanak

Oleh Rohaniza Idris



NEGARA dikejutkan dengan kes penjualan dan pembelian bayi didalangi sindiket yang turut membabitkan doktor klinik swasta, kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan warga asing di Johor Bahru, baru-baru ini.

Kes terbabit terbongkar selepas polis berjaya menyelamatkan empat bayi berusia antara tujuh bulan hingga setahun dan menahan 23 individu, termasuk tiga rakyat Singapura dalam satu operasi - Ops Kasih.

Rentetan kes itu timbul pelbagai persoalan termasuk isu pengambilan anak angkat, kes pembuangan bayi dan sindiket menggunakan khidmat ibu tumpang untuk mendapatkan bayi dan penyeludupan kanak-kanak.

Hakikatnya, isu jual beli serta penyeludupan bayi dan kanak-kanak bukan hanya isu tempatan malah ia menjadi topik besar yang sering dibincangkan pada peringkat global.

Bayi perempuan lebih mahal



PENYELUDUPAN manusia adalah jenayah perniagaan ketiga terbesar di dunia selepas penyeludupan dadah dan senjata api yang dianggarkan menjana pendapatan antara RM22.4 juta hingga RM32 juta (AS$7 juta hingga AS$10 juta) setahun bagi setiap orang yang diseludup.

Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pula menganggarkan RM48 bilion (AS$15 bilion) setahun diperoleh daripada pendapatan sindiket penjualan bayi dan kanak-kanak.

Kedua-dua angka berkenaan jelas menunjukkan perniagaan orang menguntungkan walaupun risiko untuk menjalankan kegiatan itu tidak setinggi penyeludupan senjata api dan dadah.

Mengikut laporan Unicef, penyeludupan bayi dan kanak-kanak dijalankan sindiket untuk tujuan dijual bagi dijadikan buruh, pengemis, pekerja seks, tentera upahan atau pekerja ladang selain memenuhi kehendak kemanusiaan - membantu pasangan yang tidak dapat anak dan menyediakan kanak-kanak dengan kehidupan lebih baik.

Di negara maju, permintaan terhadap bayi dan kanak-kanak ini meningkat kerana permasalahan reproduktif seperti sukar mendapat anak kerana masalah kesihatan, kahwin lewat dan keengganan mengandung.

Selain itu, langkah mengambil anak angkat adalah usaha kemanusiaan bagi membantu mengurangkan beban keluarga miskin yang mempunyai ramai anak atau jaminan kehidupan lebih baik kepada bayi yang lahir di negara dunia ketiga.

Ini termasuk apa yang dilakukan artis Hollywood seperti Madonna dan Angelina Jolie yang mengambil anak angkat dari rumah kebajikan di benua Afrika. Mereka mahu memberikan kehidupan lebih bermakna kepada bayi berkenaan yang datang dari keluarga miskin.

Mengikut laporan akhbar The Telegraph UK, kebanyakan pasangan Nigeria menjual bayi dan kanak-kanak masing-masing kerana mahu memastikan kehidupan lebih baik diperoleh anak berbanding mereka yang hidup dalam kemiskinan.

Seorang bapa Kola Woniye, 32, mengakui beliau sekeluarga hidup selesa selepas menjual dua bayinya kepada seorang ejen dengan harga RM30,000 (£5,000).

Beliau berkata, tindakannya itu bagi memberikan kehidupan yang lebih baik kepada anak yang dijual itu.

"Ejen yang menjual anak kami memberi jaminan anak kami yang dijual itu akan mendapat kehidupan yang lebih baik di Eropah, maka saya tidak ragu menjualnya" katanya.

Mengikut laporan akhbar itu, seorang bayi dan kanak-kanak dijual pada harga 1 juta naira (£2,500) atau RM15,000 manakala bayi 10 bulan ke bawah pada harga RM12,000 (£2,000). Gadis remaja termasuk yang mengandung pula bersedia menjualkan bayi mereka dengan harga kurang RM6,000 (£1,000).

Sementara itu, kumpulan sindiket penjualan bayi antarabangsa yang beroperasi dari Lagos, Nigeria ketika ditemui mengakui mereka menjual sekurang-kurangnya 5,000 bayi dan kanak-kanak setahun ke seluruh dunia termasuk Britain.

Washington Post Foreign Service pula melaporkan sejak sedekad lalu, ramai rakyat Amerika Syarikat mula menjadikan bayi dan kanak-kanak dari benua China sebagai anak angkat, menyebabkan permintaan terhadap bayi berkenaan meningkat.

Jika dulu, pasangan China lebih suka mendapat anak lelaki berbanding perempuan kerana kepercayaan tradisi mereka, kini semuanya berubah apabila harga yang ditawarkan untuk bayi perempuan menjadi anak angkat lebih mahal bayarannya.

Dilaporkan, pada 2005, Amerika Syarikat mengeluarkan 8,000 visa untuk anak warga China yang dijadikan anak angkat oleh pasangan negara berkenaan dan laporan turut menyebut, lebih 50,000 kanak-kanak meninggalkan China sejak 1992.

Mengikut laporan China pula, lebih 10,000 kanak-kanak dihantar ke negara lain untuk dijadikan anak angkat dalam tempoh yang sama.

Harga yang ditawarkan bagi seorang bayi atau kanak-kanak perempuan mencecah RM9,300 (AS$3,000) manakala bayi lelaki pada harga RM6,200 (AS$2,000).

Permintaan yang tinggi itu kemudian menyebabkan bertambahnya kes penculikan membabitkan bayi perempuan di wilayah pedalaman China. Dipercayai, pusat perlindungan kanak-kanak turut bersubahat dengan penjenayah menculik bayi perempuan bagi dijual untuk dijadikan anak angkat.

Bagaimana penyeludup berjaya memboloskan bayi dan kanak-kanak untuk penyeludupan tanpa disedari penguat kuasa?

Ada dua teori diberikan Unicef, iaitu sindiket yang turut didalangi pegawai kerajaan atau kegiatan rasuah di pintu sempadan dan di pejabat kerajaan selain kebijaksanaan penyeludup yang menggunakan pelbagai taktik hasil kemajuan pengangkutan dan telekomunikasi.

Bagi penyeludupan membabitkan negara dalam satu benua, biasanya bayi dan kanak-kanak ini diseludup melalui jalan laut seperti mana berlaku di benua Afrika, yang mana anak-anak kecil dari Benin, Togo dan Nigeria dihantar ke Gabon dengan kapal atau bot.

Kanak-kanak dari Mali dan Burkina Faso di seludup ke Cost Ivory melalui darat, begitu juga ke Asia Barat dan negara Teluk, anak-anak kecil dibawa melalui padang pasir menyeberangi sempadan.

Di Eropah, kebanyakan bayi dan kanak-kanak yang diseludup dari Eropah Timur seperti Romania, Albania dan Republik Czech, malah dari benua Afrika juga didalangi mereka yang ada kaitan dengan pihak berkuasa dan agensi kerajaan.

Kebiasaannya, bayi dan kanak-kanak yang mahu diseludup ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, namun, mereka dapat bolos merentasi sempadan kerana adanya dokumen palsu atau mereka disahkan oleh pegawai kerajaan seperti imigresen menjadi warga negara atau masuk dengan visa yang diselewengkan.

Menurut laporan Unicef, bayi yang diseludup masuk ke Eropah mempunyai visa sebagai pelajar, pelancong atau diisytihar sebagai pelarian dibawa masuk mengikut laluan yang sama bagi penyeludupan orang dewasa.

Begitu juga di Singapura, yang mana anak dari Malaysia, Sri Lanka, Indonesia, Vietnam dan China dibawa masuk secara sah menggunakan dokumen dan visa yang diseleweng menggunakan khidmat pegawai kerajaan yang dirasuah atau pegawai itu sendiri yang mendalangi kegiatan yang menguntungkan itu.

Artikel berkaitan sebelum ini yang pernah disiarkan;

Sindikit Jual Bayi : Pandai Tapi Jahat Bila Tiada Iman

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?