'Kerajaan ini melimpah wang' - Tun Dr Mahathir
Azamin Amin
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Hrkh) - Penasihat Petronas Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa mengekalkan dan mengurangkan subsidi minyak secara berperingkat adalah merupakan pilihan lebih baik memandangkan beban kenaikan harga yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
Beliau percaya umum terpaksa menerima kenaikan harga petrol namun yang menimbulkan kemarahan ialah jumlah kenaikan serta dalam keadaan tergesa-gesa.
"Perdana Menteri sebelum ini seolah-olah mencadangkan kenaikan hanya pada bulan Ogos, tetapi ianya datang dua bulan lebih awal, sejurus selepas pengharaman penjualan kepada orang asing.
"Jika kenaikan berperingkat, rakyat tidak akan terlalu terasa. Tetapi ini bermakna Kerajaan perlu terus beri subsidi walaupun tahapnya akan menurun," katanya mengulas kenaiakan bahan bakar yang diumum Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya Malaysia mengeluarkan lebih kurang 650,000 tong minyak sehari dan mengguna 400,000 tong manakala selebihnya iaitu 250,000 tong adalah tujuan export.
Tambahnya lagi bahawa tiga tahun lalu minyak mentah dijual pada kadar USD30 satu tong dan harganya pada hari ianya USD130 iaitu satu kenaikan sebanyak USD100.
"250,000 tong yang dieksport sepatutnya memberi Petronas sejumlah lebih RM27 billion,
"Tetapi Petronas untung lebih RM70 billion, yang kesemuanya milik Kerajaan. Kerajaan ini melimpah dengan wang," katanya yang mengulas lanjut di blognya.
Kata bekas Perdana Menteri susulan keputusan itu kos sara hidup sudah tentu meningkatmalah akan tercetus inflasi dan taraf kehidupan akan menurun.
"Memanglah kenaikan harga petrol di sini jauh lebih rendah daripada di United Kingdom, mahupun Amerika Syarikat. Tetapi pendapatan per kapita kita adalah lebih kurang satu pertiga mereka. Berasas kepada kuasa membeli kita kenaikan harga adalah lebih tinggi dari UK atau Amerika Syarikat.
"Kenaikan ini menyakitkan, tetapi sakitnya lebih dirasai bukan kerana kenaikan dari segi peratusan adalah lebih tinggi daripada negara-negara maju, tetapi kerana cara kenaikan tersebut dibuat," katanya.
Comments