Bayi ajaib: Dikandung di luar rahim ibu
|
|
SYDNEY 30 Mei - Durga Thangarajah yang baru dilahirkan semalam, disifatkan oleh para doktor sebagai bayi perempuan yang ajaib apabila selamat dilahirkan dalam tempoh yang cukup bulan walaupun dikandung di luar rahim ibunya.
Fenomena ini amat jarang berlaku kerana lazimnya ia sering memberikan risiko tinggi terutama kepada si ibu.
Namun Durga selamat dilahirkan secara pembedahan di sebuah hospital swasta di Darwin, utara Australia setelah membesar selama sembilan bulan di luar dinding rahim kanan ibunya sehingga menyebabkan tisu organ itu menjadi nipis seperti sehelai kertas.
Pakar bedah sakit puan, Dr. Andrew Miller berkata, bagi setiap 40,000 kehamilan akan ada satu kes melibatkan hamil di luar rahim.
"Namun peluang bagi janin tersebut untuk terus membesar sebagai bayi yang cukup tempoh matang lazimnya terlalu jarang berlaku," katanya.
Apabila ditanya, jika Durga merupakan bayi yang ajaib, Dr Miller berkata; "Tentu sekali! Saya sebelum ini telah menyambut sebanyak 520 pelbagai jenis kelahiran, namun saya tidak pernah menyaksikan kelahiran yang seperti ini atau lebih dikenali sebagai Kehamilan Ektopik.
"Iaitu janin yang membesar di luar rahim hasil daripada persenyawaan telur yang lazimnya berlaku di salur fallopian yang menyambungkan rahim dengan ovari."
Kehamilan seperti ini menyebabkan si ibu merasai kesakitan dan pendarahan yang hanya boleh dirawat dengan menggugurkan sahaja kandungan itu.
Dalam kes Durga, ibunya, Meera Thangarajah, 34, sama sekali tidak menyedari hamil di luar rahim kerana ia tidak dikesan dari peringkat awal dan tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang kehamilan tersebut.
- AFP
Comments