Tazkirah : Menyambut "Maulidur Rasul" kah atau "Maulud Nabi"kah???

Pertama yang saya ingin perbetulkan ialah penggunaan masyarakat kita tentang "maulud". Ramai yang menyebut "maulud nabi" yang memberi erti "yang dilahirkan nabi". Dalam ertikata lain ia bermaksud "bayi". Penggunaan sebenar ialah "Maulid" yang bermaksud "kemunculan atau kelahiran sesuatu".

Jika kita bertanya mengapa kita mengadakan maulidur rasul? Sudah tentu orang itu menjawab: "Untuk mengingati baginda SAW". Ini bermaksud kita ingin mengingati Rasulullah SAW tidak hanya masa usia bayinya sahaja bahkan kita bermaksud mengingati "kelahiran atau kemunculan nabi" sebagai nabi akhir zaman yang membawa rahmat sekelian alam.

Nyata sekali bahawa penggunaan "maulud" tidak sesuai dengan maksud dan niat sambutan kita. Kita tidak berniat untuk mengingati nabi masa lahir atau "fatrah" yakni "tempoh masa" bayinya sahaja.

Insya Allah swt saya cuba menyingkap kesan menyambut "maulid rasul" berbanding "maulud nabi". Di sinilah kita dapat mengenal pasti siapa kita? Jika kita jauh daripada apa yang digariskan oleh Allah swt ini ternyata kita dari kalangan penyambut "Maulud nabi" sahaja!!!

Jika mahu mengingati Rasulullah SAW dalam ruang lingkup yang sangat luas sebagai mana yang dijelaskan oleh Allah SWT maka kita hendaklah menghayati dan mengamalkan saran Allah swt berikut;

Firman Allah SWT;

الَّذِينَ يَتَّبِعُونَ الرَّسُولَ النَّبِيَّ الْأُمِّيَّ الَّذِي يَجِدُونَهُ مَكْتُوبًا عِنْدَهُمْ فِي التَّوْرَاةِ وَالْإِنْجِيلِ يَأْمُرُهُمْ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَاهُمْ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ وَيَضَعُ عَنْهُمْ إِصْرَهُمْ وَالْأَغْلَالَ الَّتِي كَانَتْ عَلَيْهِمْ فَالَّذِينَ آَمَنُوا بِهِ وَعَزَّرُوهُ وَنَصَرُوهُ وَاتَّبَعُوا النُّورَ الَّذِي أُنْزِلَ مَعَهُ أُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (157) قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآَمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الْأُمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ (158)

Maksudnya:
"Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah (Muhammad s.a.w) Nabi yang Ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk dan dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (Al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya. / (157) Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayat petunjuk. (158)

Berdasarkan ayat di atas; dapatlah kita rumuskan siapa sebenarnya orang yang mengingati Nabi Muhammad saw dan ikhlas menyambut "Maulidur Rasul". Dengan ciri-ciri yang digariskan sendiri oleh Allah SWT dapatlah kita mengenal mereka yang hanya menyambut hari ulang tahun kelahiran "bayi" yang bernama Muhammad saw sedangkan mereka tidak sesekali mahu menjadi orang yang digambarkan oleh Allah swt ini. Mereka ini kita sifat sebagai " Menyambut Maulud Nabi" Bukan "Maulidur Rasul".

Di sini saya rumuskan dengan lebih terperinci ciri-ciri sebenar mereka yang menyambut "Maulidur Rasul" itu. Mudah-mudahan kita dapat mengenal siapa yang bersifat Minafiq (pura-pura beriman) dan siapa pula yang benar-benar beriman kepada Nabi Muhammad dan Risalah yang dibawakannya..

Firman Allah SWT yang bermaksud;

"Apabila orang-orang munafik datang kepadamu (wahai Muhammad), mereka berkata: Kami mengakui bahawa sesungguhnya engkau sebenar-benarnya Rasul Allah dan Allah sememangnya mengetahui bahawa engkau ialah RasulNya, serta Allah menyaksikan bahawa sesungguhnya pengakuan mereka adalah dusta. (1) Mereka menjadikan sumpahnya (atau akuannya) sebagai perisai (untuk menyelamatkan dirinya dan harta bendanya daripada dibunuh atau dirampas), lalu mereka menghalang (dirinya dan orang lain) dari menurut jalan Allah. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan. (2) (Perbuatan buruk) yang demikian kerana mereka mengaku beriman (di hadapan orang-orang Islam) kemudian mereka tetap kafir sesama sendiri, maka dengan sebab itu dimeteraikan atas hati mereka; lalu mereka tidak dapat memahami (yang mana benar dan yang mana salah). (3) Dan apabila engkau melihat mereka, engkau tertarik hati oleh tubuh badan mereka (dan kelakuannya) dan apabila mereka berkata-kata, engkau juga (tertarik hati) mendengar tutur katanya (kerana manis dan petah sekalipun kosong). (Dalam pada itu) mereka adalah seperti batang-batang kayu yang tersandar (tidak terpakai kerana tidak ada padanya kekuatan yang dikehendaki). Mereka (kerana merasai bersalah, sentiasa dalam keadaan cemas sehingga) menyangka tiap-tiap jeritan (atau riuh rendah yang mereka dengar) adalah untuk membahayakan mereka. Mereka itulah musuh yang sebenar-benarnya maka berjaga-jagalah engkau terhadap mereka. Semoga Allah membinasa dan menyingkirkan mereka dari rahmatNya. (Pelik sungguh!) Bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawa nafsunya dari kebenaran)? (4)"


Berikut ialah cirri-ciri mereka yang mengingati Rasulullah saw sebagaimana yang diiktiraf oleh Allah SWT di dalam surah Al-A'raaf; ayat 157-158 tadi:


1. Mengakui Nabi Muhammad saw nabi yang " ummi " yang diutuskan oleh Allah swt membawa kebenaran daripadaNya bukan dari dirinya sendiri. Mengajak manusia supaya mereka menyembah Allah swt sebagai tuhan yang sebenar, yang mencipta segala sesuatu dan mengabdikan diri (beribadat) kepadaNya.

2. Mengakui bahawa nabi Muhammad adalah utusan Allah kepada sekelian alam sehingga Allah telah mewar-warkan perutusan baginda saw di dalam kitab Taurat, Injil dan zabur.

3. Melaksanakan apa yang disuruh oleh Nabi Muhammad melalui wahyu Allah kepadanya

4. Melarang apa yang Allah SWT telah menyuruh Nabi Muhammad saw mencegahkannya daripada perbuatan yang keji dan mungkar.

5. Menghalalkan apa yang Allah swt telah menghalalkannya kepada rasulNya

6. Mengharamkan apa yang telah Allah SWT telah mengharamkannya kepada rasulNya

7. Mencontohi nabi Muhammad saw dalam mengurus tadbir diri, keluarga, masyarakat dan negara sehingga semua orang merasa keadilan agama Allah swt dan hilang penderitaan, penindasan dan kezaliman.

8. Membebaskan masyarakat daripada segala bentuk syirik dan jahiliyyah sehingga rakyat tidak lagi dicengkam oleh beban dan belenggu kekufuran dan kesesatan.

9. Mendidik masyarakat supaya beriman, mentaati dan mencontohi nabi Muhammad saw dalam seluruh lapangan hidup untuk mendapat rahmat dan berkat daripada Allah swt.

10. Hidup tolong menolong di atas dasar iman dan taqwa serta menolak segala bentuk permuafakatan atas dasar permusahan dan maksiat kepada Allah swt.

11. Menjunjung tinggi ajaran Al-Quran sebagai kitab yang suci dan kekal sehingga hari kiamat. Ia memberi petunjuk dan hidayah kepada yang berpegang dan beramal dengannya dan mengkufurkan sesiapa yang menentang dan menolaknya.

12. Kembali kepada Allah swt dan rasulNya di dalam seluruh lapangan hidup. Jika berlaku pertelingkahan maka berhukumlah dengan Hukum Allah dan Hukum rasulnya .
Allah menjelaskan sesiapa yang berbuat demikian merekalah orang-orang yang berjaya di dunia dan di akhirat serta mendapat petunjuk dan hidayah daripadaNya.

Persoalannya; Benarkah kita adalah orang yang merayakan "Maulidur Rasul" atau sekadar kita adalah orang yang menyambut "Maulud Nabi".

Fikir-fikirkanlah dan Banding-bezakanlah!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?