Kuliah Subuh Di Masjid An-Nur

SEMPENA KEM ANUGERAH KEPIMPINAN TOKOH SERI MURID ASRAMA TERBILANG (ASAT) PERINGKAT NEGERI SARAWAK.

BERTARIKH PADA 1 NOVEMBER 2007

TAJUK KULIAH;
AMANAH ITU KETAATAN KEPADA ALLAH SWT.

Firman Allah SWT:



إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَن يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنسَانُ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا



Maksudnya:
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab ( amanah ) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan”.
( Surah Al-Ahzaab; Ayat 72)

( Ustaz sedang menyampaikan kepada pelajar Islam yang menyertai ASAT)
Tuan-tuan sekalian;

Saya memetik di dalam tafsir Ibnu Kathir; Al-‘Ufi berkata bahawa Ibnu Abbas meriwayatkan dengan katanya: Amanah itu ialah ketaatan. Dan Ali bin Abi Talhah pula berkata bahawa Ibnu Abbas berkata: “ Amanah itu ialah Kefarduan atau Kewajipan’’ Sesiapa yang melaksanakannya akan memperolehi (Al-Fadhl) yakni kemuliaan , (As-Thawaab) yakni ganjaran pahala dan (Al-Jannah) yakni Syurga dan sesiapa yang ingkar derhaka akan beroleh seksa ( I’qaab) dan di masukkan ke dalam neraka (An-Nar).

Apabila Allah SWT mencipta segala maklukNya lalu menghimpunkan mereka lantas membentangkan amanah ini kepada mereka; kesemuanya enggan menerima amanah tersebut sehinggalah Allah SWT memanggil Nabi Adam lalu Allah bertanya kepada Adam. “Sanggupkah kamu menerima amanah daripadaku iaitu apabila kamu berbuat baik aku ampunkan kamu dan jika engkau berbuat kejahatan aku jatuhkan siksaan ke atas kamu“. Lalu Adam menerimanya.

Berkata langit “Aku enggan menerimanya kerana aku dan penghuniku tidak berhajat kepada dosa dan pahala dan tidak pula menerima kefarduan. Sedangkan kami dijadikan dalam keadaan tunduk kepadaMu sepenuhnya” Begitulah juga jawapan yang diberikan oleh bumi, bukit-bukau dan juga gunung ganang.

Tuan-tuan yang dirahmati Allah SWT;

Jelas di sini keistimewaan manusia dan jin yang dianugerahkan kepada mereka dengan akal fikiran menyebabkan mereka diistimewakan ke atas makhluk lain. Orang yang hebat pasti tanggungjawab ke atasnya pun hebat bersesuaian dengan kebolehannya. Allah memfardukan sesuatu perintah mengikut kemampuan hambaNya itu sendiri sebagaimana yang Allah jelaskan di dalam ayat terakhir dari surah Al-Baqarah: ” Tidak Kami bebankan seseorang itu melainkan menurut kemampuannya”. Keupayaan akal inilah yang menyebabkan manusia memiliki kelayakan untuk menerima amanah. Kemampuan untuk memilih di antara yang baik dan yang buruk. Kebolehan mengenal yang hak (benar) dan yang bathil (salah). Kemampuan untuk bersyukur ataupun kufur. Semuanya terletak dalam kehendak hamba itu sendiri.

Tuan-tuan sekalian;

Kita saban hari salah guna nikmat Allah SWT. Mata suka tengok yang haram. Telinga suka dengar yang haram. Nafsu cenderung melakukan yang haram. Hati suka merasakan yang haram. Akal suka memikirkan yang haram. Macam-macam lagi keseronokan yang tuhan larang kita suka. Allah Maha Mengetahui kecenderungan manusia. Kerana Allah SWT sendiri menegaskan bahawa nafsu itu suka kepada yang haram. Sebab itu Allah SWT menyifat manusia itu zalim lagi jahil.

Biarpun sifat manusia yang suka melakukan kerja-kerja yang menjatuhkan mereka dalam lembah kejahilan dan kezaliman kepada diri sendiri; manusia itu tidak suka kepada kesusahan dan kesengsaraan. Mereka mahukan kenikmatan dan kebahagiaan. Jiwa yang kotor tidak mungkin berasa bahagia. Sehinggalah kesengsaraan demi kesengsaraan bersarang dan berlapis-lapis dalam jiwa mereka.

Pada masa itu tiada jalan lagi bagi manusia melainkan kembali kepada mengingati tentang amanah yang telah mereka itu berjanji di atasnya. Iaitu untuk kembali taat dan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Hanya air mata keinsafan yang dapat menyuci jiwa mereka.

Benarlah tuan-tuan sekalian akan firman Allah SWT;


وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا (7) فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا (8) قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا (9) وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Maksudnya:
"Demi Jiwa dan penciptaannya. (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertaqwa.
Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya - yang sedia bersih - itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)".
( Surah As-Syams; ayat 7-10)

(Sebahagian daripada peserta ASAT mendengar kuliah)

Allah SWT Maha Mengetahui bahawa manusia itu sanyat suka berlaku zalim dan bertindak atas kejahilan. Jadi Allah SWT tidak membebankan manusia dengan kebolehan akal semata-mata tetapi diberi hidayah dan bimbingan wahyu. Allah utuskan kepada mereka Nabi dan Rasul serta para ulamak sebagai pewaris kepada nabi dan rasul. Manusia dibimbing dan diasuh dengan ilmu pengetahuan. Menjadikan setiap langkah perjalanan hidupnya sebagai pengalaman hidup dan pengajaran yang berguna supaya manusia itu dapat memilih jalan-jalan kebaikan yang menyampaikannya kepada Syurga dan keampunan dan Rahmat Allah SWT. Jika ada yang tersilap langkah diberiNya peluang untuk kembali dan bertaubat lalu diampunkan dosa-dosanya.

Allah SWT menciptakan kita bukan untuk diazab atau untuk disia-siakan. Matlamat penciptaan Jin dan manusia itu ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Az-Zariyat; Ayat 56. Maka jika kita melakukan maksiat kepada Allah, kita sudah berlaku zalim kepada diri kita sendiri. Selayaknya Allah memurkai kita dan mengazabkan kita jika Dia mengkehendaki.

Oleh itu; janganlah kita tersalah memilih haluan hidup. Sebab kita semua akan ditanya setiap amanah yang Allah bagikan kepada kita. Kita semua tidak akan terlepas daripada soal jawab ini. Beringat-ingatlah sebelum terlambat.

Buat akhirnya suka saya menbacakan firman Allah SWT:



إِنَّا خَلَقْنَا الْإِنْسَانَ مِنْ نُطْفَةٍ أَمْشَاجٍ نَبْتَلِيهِ فَجَعَلْنَاهُ سَمِيعًا بَصِيرًا (2) إِنَّا هَدَيْنَاهُ السَّبِيلَ إِمَّا شَاكِرًا وَإِمَّا كَفُورًا (3) إِنَّا أَعْتَدْنَا لِلْكَافِرِينَ سَلَاسِلَ وَأَغْلَالًا وَسَعِيرًا
Maksudnya;
"Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani Yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan Dia berkeadaan mendengar dan Melihat. Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadaNya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka). (Dalam pada itu), Sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang". ( Surah Al-Insaan; Ayat 2-4 )




Sekian. Wabillahit Taufiq. Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?