Makan Daging Unta Tidak Batal Wudhuk Di Sisi Syafie

Oleh isma daud

Sudah agak lama saya tidak "posting" entry berkaitan hukum agama biarpun banyak juga persoalan agama di kotak masuk emel baik yahoo!Mail atau pun Gmail. Satunya ialah soalan  yang datang daripada Saudara Faizal (FAIZ), Perak sejak 24/8/2009 lagi. Beliau bertanya tentang wudhuk dan perkara yang membatalkannya.

Ini emelnya;

Subject: Benarkah makan daging unta akan membatalkan wuduk?

Salam ustaz,

Saya banyak mengikuti perkembangan di dalam blog ustaz. Alhamdulillah, banyak perkara yang pelajari tentang artikel-artikel mengenai Islam yang dimuatkan di dalam laman blog ustaz. Alhamdulillah juga ustaz telah beberapa kali membalas email saya yang saya hantarkan bertanyakan soalan-soalan mengenai Islam.

Berbalik kepada perkara di atas, saya ingin mendapatkan kepastian ustaz mengenai isu batal atau tidak wuduk dengan sebab memakan daging unta ini? Adakah terdapat dalil-dalil mengenai perkara tersebut.? Apa sebab batal wuduk dengan sebab makan daging unta? Adakah hukum tersebut masih diteruskan sehingga kini?

Di harap ustaz dapat memberikan penjelasan mengenai perkara tersebut. Saya faham apabila ustaz ada menjelaskan kepada saya bahawa ustaz agak sibuk akhir2 ini dengan urusan soalan SPM baru-baru ini. Harap ustaz dapat membalas email saya ini bila ustaz ada kelapangan nanti.

Syukran
Mohd Faizal (Perak)


JAWAPAN isma daud;

Salam Faiz.

Semoga sihat-walafiat. Ustaz minta ampun dan maaf banyak-banyak kerana tidak berkesempatan membalas emel akhie yang bertarikh 24 /8/ 2009 lalu.

Sebenarnya dalam mazhab Syafie hanya lima perkara sahaja yang membatalkan wudhuk seseorang, antaranya adalah:

1. Keluar sesuatu dari dua jalan (qubul atau dubur).
2. Hilang akal, sama ada sementara atau kekal.
3. Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram.
4. Menyentuh kemaluan atau pintu dubur dengan telapak tangan.
5. Tidur, kecuali apabila dalam keadaan duduk dan tidak berubah kedudukannya.

Sesetengahnya menambahkan bahawa murtad membatalkan wudhuk bagi Syafie.

Mengenai persoalan akhie itu (makan daging unta batal wudhuk) adalah batal wudhuk bagi mazhab Hambali; ini berdasarkan hadis Jabir bin Samurah r.a, beliau berkata:

Seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Adakah kami perlu memperbaharui wudhu’ apabila memakan daging kambing? Jawab baginda: Jika kamu mahu, berwudhu’lah. Jika sebaliknja, tidak mengapa. Ditanya lagi: Adakah kami perlu berwudhu’ apabila memakan daging unta? Jawab baginda: Ya. Berwudhu’lah apabila memakan daging unta. Ditanya lagi: Bolehkah kami solat di kandang kambing? Jawab baginda: Boleh. Ditanya lagi: Bolehkah kami solat di kandang unta? Jawab baginda: Tidak. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)


Rumusannya;

Makan daging unta itu membatalkan wudhuk pada sisi Imam Ahmad atau mazhab Hambali sahaja.

Adapun di sisi mazhab-mazhab yang lain (Imam Malik, Syafi’ie dan Abu Hanifah), ia (makan daging unta) tidaklah membatalkan wudhuk. Berkenaan hadis tadi, mereka menjawab; maksud wudhuk di dalam hadis tadi ialah membasuh tangan dan mulut untuk tujuan kebersihan. Ini sebagaimana hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; “Nabi meminum susu. Kemudian baginda meminta air, lalu berkumur dan berkata; ‘Sesungguhnya ia berlemak’”. (Riwayat Imam Muslim).

Akhie boleh beramal dengan mazhab Syafie dan perkara yang membatalkan wudhuk pada Syafie hanya 5 perkara sahaja.

Wallahu A'lam!!!

Akhukum Fillah,

Ustaz Mohd Isa Bin Mat Daud
(isma daud).

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?