Bukakanlah Mata Hati , Usah dipersiakan Nikmat Itu

Oleh isma daud.


Luahan bicara saya kali ini lebih menjurus kepada mereka yang ada mata tapi dipejamkannya, ada telinga dipekakkannya dan ada akal dan hati dibutakannya. Allah SWT menyebut didalam surah Al-A'raaf, ayat 179;


وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ ڪَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ‌ۖ لَهُمۡ قُلُوبٌ۬ لَّا يَفۡقَهُونَ بِہَا وَلَهُمۡ أَعۡيُنٌ۬ لَّا يُبۡصِرُونَ بِہَا وَلَهُمۡ ءَاذَانٌ۬ لَّا يَسۡمَعُونَ بِہَآ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ‌ۚ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡغَـٰفِلُونَ .

Maksudnya; "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai". (179)


Mengapa ada sebahagian orang yang tidak mahu membantu kerja-kerja menghidupkan syiar dan membangunkan agama Allah SWT? Mengapa ada orang sentiasa memikirkan untung rugi jika menginfaqkan diri, harta-benda dan jiwa raganya kepada Allah SWT? Mengapa kita boleh berkira dan selalu bersifat bakhil dan kikir dalam membantu usaha dakwah biarpun sekadar menunjukkan sokongan dan galakan pun tidak mahu? Sayangnya jika hal-hal duniawi kita begitu selalu komited dan bersungguh-sungguh. "Maaflah tidak dapat hadir program Ustaz kerana sibuk itu dan ini...". senantiasa itulah alasan yang diberikan. Masalah anak, orang rumah, masa, kerja dan seribu macam alasan lagi. Hairannya bila melibatkan kepentingan diri; semua masalah itu bukan halangan lagi.

Yang lebih menyentuh hati lagi ialah sesetengah orang sanggup membelakangkan kerja untuk Allah berbanding kerja untuk diri sendiri. Yang jadi imam tidak bertugas jadi imam, yang jadi bilal tidak bertugas sebagai bilal, yang pandai tidak mahu mengajar dan mendidik yang kurang pandai, yang tua tidak mahu membimbing yang muda.... Semuanya kata layak jadi imam, layak jadi bilal, layak mengajar, layak menegur. Sedihnya bila sudah ada kelayakkan dan kebolehan itu diabaikannya pula amanah Allah SWT yang telahpun terpikul di bahu masing-masing. Sebelum jadi "apa-apa" bukan main nampak bersungguh mahu, tapi bila sudah dapat diabaikan tanggungjawab dan tugas itu.


Begitu juga sesetengah tempat bila tiada surau dan masjid bukan main lagi berusaha mewujudkan surau dan masjid. Perjuangan itu bukan mudah bahkan berpuluh tahun baru dapat; namun bila sudah terbangunnya surau dan masjid; mereka ini berkata "Terbina masjid dan surau itu atas usaha sayalah". Sementara memakmurkannya orang lain. Orang yang berusaha membina itu haram tidak nampak batang tubuh dan rupa. Agaknya mereka ini berpendapat cukuplah pahala mereka berusaha membina masjid dan surau itu... orang lain sembahyang, kami dapat pahalanya.

 Mengapa perjuangan yang panjang itu tidak diteruskan sampai kini? Setelah terbangunnya surau dan masjid; adalah tanggungjawab kita adalah memakmurkan surau dan masjid itu...

Inilah kesilapan sebahagian kita. Jika tidak ada; kita mahu, kita minta, kita nak sesuatu itu ada. Bila sudah ada nikmat itu , kita sia-siakannya pula. Macam orang berkasih-kasihan juga. semasa berkasih-kasihan bermacam janji ditabur, namun bila dah dapat, habis manisnya sepah dibuang. Mengapa cinta layu di tasiknya madu? Akhirnya orang lain juga yang mengambil sisanya.


Harapan saya agar mereka yang sudah menerima amanah daripada Allah SWT dengan diberinya pangkat kedudukan, kesenangan dan kemewahan, kebolehan dan kepandaian, keketuaan dan pengalaman; tolonglah buka mata dan telinga serta hati seluas-luasnya melihat nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita itu. Mengapa Harus kita sia-siakan? Gunakanlah kebolehan yang dianugerahkan oleh Allah SWT itu untuk membantu sesama muslim bagi menegakkan syiar agama Allah SWT sewaktu hayat kita dikandung badan. Bahkan itulah pelaburan yang sangat menguntungkan jika kita mengusahakannya sekarang.

Ingatlah segala sesuatu yang kita miliki itu sementara sahaja. Pinjaman Allah SWT cuma. sampai masa; segalanya akan ditarik daripada kita dan diri kita ini akan dikembalikan kepada yang Maha Esa juga. Pada masa itu mampukah kita mengundurkan masa untuk kembali ke dunia?

Perhatikanlah ayat Allah SWT di dalam surah Al-Munafiqun; ayat 10-11;

وَأَنفِقُواْ مِن مَّا رَزَقۡنَـٰكُم مِّن قَبۡلِ أَن يَأۡتِىَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوۡلَآ أَخَّرۡتَنِىٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ۬ قَرِيبٍ۬ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ ٱلصَّـٰلِحِينَ . وَلَن يُؤَخِّرَ ٱللَّهُ نَفۡسًا إِذَا جَآءَ أَجَلُهَا‌ۚ وَٱللَّهُ خَبِيرُۢ بِمَا تَعۡمَلُونَ .


Maksudnya; "Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh. (10) Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan". (11)

Harapan saya kita semua beroleh ingat. Bukakanlah Mata hati kita agar kita tidak menyesal di alam barzakh dan di akhirat nanti.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?