Berpuasalah Tapi Jangan Lupa...

Oleh isma daud

Syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinnya kini sudah masuk hari ke 12 berada dalam bulan Ramadhan 1430H. Dalam tempoh 12 hari berpuasa sepatutnya kita membuat pemerhatian dan penilaian semula terhadap 1/3 daripada puasa yang telah kita lakukan. Semoga matlamat daripada berpuasa itu benar-benar tercapai dan akhirnya beroleh kejayaan serta redha Allah SWT.

Semoga EMPAT perkara ini menjadi pemerhatian kita , yang boleh kita perbaiki dari masa ke semasa dalam menjalani ibadat puasa kali ini.

1. Kesegaran Iman :
Iman adalah tenaga dan kekuatan dalaman yang menjadi motivasi untuk menggerakkan ibadah dalam bulan Ramadhan. Apakah kita masih bermotivasi untuk meneruskan aktiviti yang mampu membangunkan jiwa kita sepanjang Ramadhan atau sudah mulai longlai sedikit demi sedikit? Mampukan kita mengawal keinginan nafsu dan emosi kita? Bagaimana kekuatan kayuhan langkah kaki kita untuk pergi ke mesjid atau surau bagi menunaikan solat secara berjamaah? Bagaimana tadarrus Al-Quran; sudah banyak mana yang telah kita habiskan sepanjang berada dalam bulan yang mulia ini? Bagaimana sedekah kita? Bagaimana pula amalan kita yang lain baik yang fardhu maupun sunat? Banyak lagi yang boleh kita bermuhasabah diri agar nadi kekuatan iman ini terus berdenyut dan cahayanya terus bergemerlapan dalam diri kita, hasil daripada tarbiyyah Ramadhan ini.

Jangan Kita Lupa ; Puasa yang tidak disertakan iman ibarat orang yang "mati pucuk"; bernafsu tetapi kehabisan tenaga dan upaya. Lemah longlai dan tidak bermaya. Puasa mereka ini tidak dapat membimbing diri pelaksananya mendapatkan mardhatillah SWT. Tidak dapat membangkitkan jiwa untuk terus istiqamah atas jalan ibadah kepada Allah SWT. Mereka hanya sanggup berlapar sepanjang hari tapi lupa untuk mendapat habuan pahala yang banyak yang ada disediakan oleh Allah SWT dalam bulan yang mulia ini.

2. Bertambahkah ILMU kita ? Sebagai seorang muslim sepatutnya ilmu kita sentiasa bertambah. Bagaimana permasalahan yang timbul dalam pengamalan puasa ini telah menambahkan ilmu kita? Sejauhmana kita berusaha mendapatkan kefahaman untuk memperolehi ganjaran pahala yang berlipat ganda daripada "madrasah atau universiti Ramadhan" ini? Orang berilmu akan sentiasa mencari jalan bagaimana peluang-peluang yang ada di hadapan mereka tidak terlepas begitu saja. Orang yang berjaya ialah orang yang tahu mengambil peluang yang ada. Namun jika kita jahil, peluang yang ada terbentang di hadapan kita pun, kita tidak pernah akan menyedarinya lalu kita terlepas peluang untuk berjaya.

Untuk mendapat kualiti puasa sudah tentu memerlukan kepada ilmu pengetahuan. Kita perlu tahu apa kelebihan puasa, apa pula kelebihan yang ada dalam bulan yang mulia ini, mengetahui amalan-amalan yang disukai Allah dan diamalkan oleh Rasulullah saw serta para Salafus soleh... mengetahui apa yang makruh dan apa yang sunat serta apa yang boleh membatalkan puasa.

Jangan Kita Lupa :
Kegagalan kita membina pengetahuan menyebabkan puasa kita tidak akan menyampaikan kita kepada matlamat untuk bertaqwa dan memperolehi Mardhatillah SWT. Puasa kita juga adalah puasa biasa dan tiada yang luar biasa. Puasa kita hanya setakat puasa meninggalkan lapar dan dahaga sahaja. Ibadat kita tidak ada keistimewaan apa-apa. Jika kita masuk bulan Ramadhan, kita dahulunya tidak solat; sepanjang Ramadhan ini pun kita tidak solat juga. Kalau dulu kita tidak menutup aurat dengan sempuna, kini masih dalam situasi yang sama juga. Nampaknya kita masih jahil dan tidak berilmu apa-apa kerana kita masih belum dapat membezakan mana yang baik dan buruk, mana yang halal dan mana yang haram...

Sedangkan Allah SWT menyebut di dalam Al-Quran bahawa bulan Ramadhan diturunkan padanya Al-Quran untuk dijadikan petunjuk dan al-Furqan yakni sebagai pembeza di antara yang benar dan yang salah.

Jadi, jangan kita lupa untuk membina dan menambahkan ilmu agar iman kita menjadi semakin kukuh dan keyakinan kita menjadi semakin jitu atas kefahaman kita terhadap apa yang telah kita kerjakan.


3. Kebagusan kepada FIZIKAL kita; Rasulullah SAW mengingatkan kita bahawa dengan berpuasa kita akan menjadi semakin sihat, semakin bertenaga. Mari kita memeriksa akan nafsu makan kita dan nafsu berbelanja kita dalam bulan Ramadhan ini. Apakah ada kesan-kesan positif yang kita perolehi daripada ibadat puasa yang telah kita laksanakan ini? Mampukah kita membina budaya makan dan berbelanja secara bijak dan berhemah? Apa yang kita makan semasa berbuka dan ketika sahur?

Kepada sebahagian orang, sudah ada detik-detik kejemuan dan kemalasan untuk bangun bersahur. Perasaan negatif masih mengulit diri. Ada yang berpendapat tanpa bersahur pun dia masih mampu berpuasa sambil melayan kehendak diri yang mahu terus tidur itu. Istiqamah dalam mengambil sahur mula longlai. Sepatutnya semakin kita berpuasa, nafsu kita semakin terdidik. Fizikal dan tubuh badan kita kian menjadi ringan untuk bangun bersahur dan mampu pula berqiamullail di waktu dinihari dalam bulan yang mulia ini.

Jangan Kita Lupa : Ingat bahawa berpuasa adalah sebesar-besar ibadat yang dianugerahkan Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad saw. Bersihkanlah makanan dan minuman kita daripada yang haram kerana kita sedang melakukan ibadah.

Sementara itu ingatlah bahawa puasa kita dengan puasa orang dan umat lainnya itu berbeza. Sebab itu kita mesti menjaga adab berpuasa. Kita disuruh segera berbuka dan melewatkan sahur demi menjaga kerukunan tubuh badan dan kesihatan diri kita. Bahkan itulah yang membezakan puasa umat Nabi Muhammad saw dengan ibadat kaum yang lainnya. Sabda Rasulullah SAW yang mafhumnya; "Perbezaan di antara puasa orang Islam dan Ahli Kitab (yahudi dan nasrani) adalah terletak pada pengambilan sahur kerana mereka tidak melakukannya".

Jangan kita lupa bahawa dengan kesihatan diri dan kebagusannyalah yang memampukan kita beribadah walau seberat dan sebanyak mana ibadah yang kita mahu lakukan itu.

Ingatlah seseorang itu akan sentiasa berada dalam rahmat Allah SWT selama dia menjaga masa berbuka dan bersahurnya. Di antaranya ialah;

i. kita akan mendapat pahala kerana ikut sunnah Rasulullah saw.

ii.ianya dapat membawa berkat dan menguatkan jasmani orang berpuasa serta meningkatkan rohani mereka dari segi keikhlasan beribadah. Sebab itu Rasulullah saw bersabda; "Sahur itu Berkat. Maka janganlah kamu tinggalkannya walaupun seseorang kamu hanya minum seteguk air". Hadis riwayat Ahmad.

iii.waktu sahur merupakan waktu mustajab doa. Seseorang itu mendapat peluang untuk mengingati Allah SWT dengan cara berzikir dan berdoa.

iv. bersahur melatih kita menjaga kesihatan dari segi pemakanan. Kerana itu kita digalakkan bersahur dengan memakan makanan yang mudah hadam, kurang pedas dan diakhiri dengan susu. Di antara makanan yang baik ketika berbuka dan bersahur ialah memakan buah kurma atau tamar. Buah-buahan lain juga elok kerana ia dapat mengekalkan tenaga dalam badan sepanjang hari kita berpuasa.

v. dengan bersahur juga, dapat mendidik diri kita untuk sentiasa bangun awal, dapat berqiamullail dan menunaikan solat subuh dalam waktunya...


Akhirnya; Ke 4; Kebagusan Rohani kita; Berusahalah membangunkan rohani kita. Hindarilah kemungkaran dan peliharalah diri daripada melakukan hal-hal yang dimurkai Allah SWT. Jaga lidah daripada mengumpat dan mencela orang lain sedangkan kita berpuasa. Jagalah mata dan anggota lainnya. Semua itu boleh merosakkan kerohanian kita dan mengotorkannya.

Jangan kita Lupa; Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Sabda Rasulullah SAW; " Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan bohong dan perbuatan keji, maka Allah SWT tidak ada hajat kepada makanan dan minuman yang ditinggalkannya". Hadis Riwayat Al-Bukhari.

Mudah-mudahan dengan kembali bermuhasabah diri di 1/3 Ramadhan ini, kita dapat memperbaiki lagi puasa kita untuk hari-hari yang mendatang , insya Allah. Wallahu A'lam!!!.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?