Salam Ramadhan Dan Selamat Berpuasa Buat Semua Umat Islam

Oleh isma daud

Malam ini; malam pertama Ramadhan dan saya yakin umat Islam mula berpusu-pusu ke masjid dan surau untuk solat berjamaah dan mengejar kelebihan bulan Ramadhan.

Bulan rahmat datang lagi. "Ahlan Ya Ramadhan!!!"

Selepas solat maghrib berjamaah bersama keluarga, sempat saya memperingatkan diri dan isteri serta anak-anak akan kehadiran bulan Ramadhan yang mulia ini. Mengasahkan apa-apa yang tumpul dan menajamkan jiwa kami atas mana-mana yang pudar agar kami lebih bersedia menghadapi bulan yang penuh rahmah dan barakah ini sehinggakan Al-Quran itu diturunkan padanya dan dihadiahkan pula satu malam yang dinamakan "Al-Qadar" yang terlebih baik daripada seribu bulan.


Memasuki bulan rahmat ini, saya ingin mengambil peluang ini untuk menyucikan diri daripada dosa-dosa saya terhadap Allah dan sesama manusia. Saya memohon ampun dan maaf kepada setiap insan yang saya temui di mana saja berada termasuk yang singgah di alam maya ini. Biar sebanyak mana pun kesilapan dan kesalahan saya, harap maafkan saya... sebagai manusia biasa kita tidak dapat lari daripada "liarnya nafsu" dan kedangkalan jiwa dan ilmu kita sehingga kita mungkin melewati batas memungkinkan kita secara sedar atau tidak sedar telah menyakiti hati orang lain.

Semoga dengan kemaafan semua dapatlah saya memasuki madrasah ramadhan ini dengan lebih beerti. Bukan sahaja kita dituntut untuk mendidik nafsu kita supaya tunduk kepada Allah SWT bahkan juga kita sepatutnya meletakkan rasa ubudiyyah kita yang sebenar-benarnya kepada Allah SWT. Kita tahu bahawa makan minum itu penting bagi jasad dan jasmani kita tetapi atas perintah Allah SWT kita sanggup meninggalkan tuntutan jasmani itu. Semuanya kerana kita mahu mendidik nafsu kita supaya taatkan Allah SWT.

Semoga Ramadhan kali ini dipenuhi rahmat daripada Allah dan kasih-sayang sesama insan.

Marilah kita banyak bermuhasabah diri dalam menempuh hari-hari dalam bulan Ramadhan agar terbina sahsiah diri dan sifat taqwa dalam jiwa kita kerana itulah matlamat daripada ibadat puasa yng kita lakukan. "Mudah-mudahan Kamu Bertaqwa" -(al-Baqarah /183).

Ianya juga selaras dengan apa yang telah digarapkan oleh Rasulullah saw dengan sabdanya;
"Barangsiapa yang menghidupkan Ramadhan dengan penuh keimanan dan perhitungan (muhasabah diri), nescaya Allah SWT akan mengampunkan dosanya yang telah lalu".
Begitulah harapan kita agar kita beroleh keampunan Allah SWT melalui madrasah Ramadhan kali ini kerana kita tidak pasti apakah kita akan mampu menghabiskan bilah-bilah hari dan malamnya pada tahun ini dan mungkinkah kita berkesempatan lagi menemuinya pada masa yang mendatang.

Sekali lagi saya mengharapkan kita sama-sama dapat menghayati Ramadahn kali ini dengan perasaan rahmah dan kasih sayang sesama insan agar kita akan mendapat kasih-sayang Allah pula. Semoga dalam suasana ekonomi yang tidak memberangsangkan kini pada sesetengah orang tidak menghalang daripada kita mengamalkan sedekah jariah dan sifat bermurah hati membantu sesama kita. Biarpun sekadar kuih muih dan lauk pauk sudah cukup menyatukan hati kita orang beriman dan mengikat silaturrahim sesama kita. Semoga belum mati perasaa kekitaan dan kasih sayang seperti itu dalam masyarakat kita hari ini.

Kepada keluarga saya, sahabat handai yang jauh dan dekat seta para jamaah yang pernah hadir dalam kuliah-kuliah saya, saya mengucapkan Salam Ramadhan dan Selamat Berpuasa. Tersalah dan tersilap tu harap maafkan... semoga kita benar-benar dapat menghayati matlamat berpuasa dengan sebenar-benarnya, insya Allah.

Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?