Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Tuesday, July 13, 2010

Pendakwah Gigih Sabah, Ustaz Nahar Hj Mantamin Pergi Menemui Ilahi

Oleh isma daud


Saya berada dalam bilik agama di Masjid an-Nadwah semasa menerima; mesej ringkas ini daripada Al-Fadhil Ustaz Nik Zawawi, ketika itu jam menunjukkan 1;23PM ;

"Assalamu alaikum!, Ustaz Nahar Hj Mantamin, Univ Jordan, Sabah , bks imam besar masjid negeri, ajk Ulama PAS Sbh, meninggal dunia pg tadi. Al-Fatihah.."

Tetiba hati jadi sedih dan mulut menghadiahkannya dengan al-fatihah dan kembali insaf akan ketentuan Allah dengan melafazkan; "Innalillaahi Wainna Ilaihi Raaju'uun".

Saya bukanlah teman rapat allahyarham, namun tetap merasakan kehilangan insan yang gigih menabur bakti kepada usaha dakwah sehingga menghadapi pelbagai fitnah, di"gam" dan sebagainya biarpun berdakwah di bumi - tanah airnya- sendiri, Sabah di Bawah Bayu. Saya amat terasa kehilangan dan datang jauh dari lubuk hati perasaan sayu sehingga menitis air mata kerana saya sendiri merasa peritnya melalui jalan yang sama seperti itu ketika menyelusuri liku-liku dakwah di Sibu ini. Sedih kerana tenaga pendakwah hilang dan sukar mencari tukar gantinya.

Hanya doa kepada Allah SWT agar Allah SWT menempatkan ustaz Nahar bersama orang-orang soleh dan para pejuangnya yang ikhlas sehingga pahalanya tidak putus-putus, amiin ya rabbal 'alamiin.

Berikut saya titipkan kata bicara sahabatnya; Abu Nuha;

Catatan versi Abu Nuha

12 Julai 2010

Lemah rasanya tangan hendak menulis, longlai rasa badan mengenangkan sahabat yang dikasihi Ustaz Haji Nahar Haji Mantamin meninggalkan kita pagi tadi.

Saya mengenali dan bertemu beliau buat pertama kali pada tahun 2002 di Tanah Suci ketika kami menunaikan fardhu haji. Saya datang dari Mesir sedang beliau dari Malaysia membawa kumpulan jemaah haji.

Saya sempat berketuakan beliau ketika kami sama-sama bertugas di Masjid Negeri Sabah. Beliau Imam Besar dan saya pembantunya. Saya melihat beliau begitu aktif mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti yang ramai memakluminya.

Ceramah bulanan oleh penceramah undangan, perkhemahan pelajar, ziarah hospital, qiyamullail dan bermacam aktiviti. Saya amat mengetahui sikap beliau yang berani mencuba dan sesekali mengambil risiko. Apa sahaja aktiviti yang baik akan diterima beliau untuk dilaksanakan di masjid. Inilah yang membuatkan pembenci-pembenci dakwah pening dan sakit kepala melihat keaktifan masjid di bawah kepimpinan beliau.

Ustaz Nahar juga begitu mengambil berat kebajikan pekerja. Beliau mengambil beberapa pekerja baru yang terdiri daripada muallaf, menunaikan beberapa permintaan pekerja yang tidak sempat dilakukan oleh pentadbiran sebelumnya. Aktiviti tarbiyah dalaman mingguan untuk para pekerja tidak diabaikan. Barangkali yang diingat oleh pekerja ialah beliau jarang sekali meninggikan suara walaupun terdapat kesilapan yang dilakukan.

Ternyata sikap beliau itu dan aktifnya pengimarahan masjid disukai bukan setakat oleh pekerja, bahkan jawatankuasa Masjid Negeri Sabah di bawah kepimpinan Datuk Haji Ismail Awang Besar selaku pengerusi yang juga Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (SPANS). Apabila sesekali terserempak dengan Datuk Ismail, itulah yang selalu diluahkannya kepada saya khususnya setelah Ustaz Nahar tidak lagi bertugas di Masjid Negeri.

Apabila beliau berpindah ke ibu pejabat, beliau ditugaskan sebagai Penolong Pengarah Unit Wilayah dan Masjid. Beliau mengatur untuk mengadakan usrah imam-imam yang sempat berlangsung di setiap bahagian seluruh negeri.

Tidak sedikit gangguan dan tekanan yang diterima oleh beliau, khususnya melibatkan soal dakwah dan siasah. Namun saya bukanlah satu-satunya tempat beliau bercerita tentang gangguan tersebut kerana sahabat-sahabat sentiasa memberikan sokongan dan semangat kepadanya.

Kerana ramai melihat saya rapat dengannya, (walaupun tidak terlalu rapat sebenarnya), hari ini sebaik ketiadaannya saya menjadi salah satu sumber rakan di JHEAINS mendapatkan maklumat situasi Allahyarham. Puluhan panggilan saya terima hari ini bertanya dan memastikan keadaan sebenar Allahyarham.

Beliau diundang berceramah ke seluruh negeri baik atas nama JHEAINS, Yayasan Amal Malaysia Negeri Sabah, Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) Sabah dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Bahkan saya pernah mengundang beliau ke kampung saya di WP Labuan menyampaikan kertas kerja berkaitan pengurusan masjid dan imam-imam.

Dalam parti, sepanjang yang saya tahu beliau pernah diamanahkan sebagai Ketua Dewan Ulama’ Negeri beberapa tahun sebelum mengundur diri. Terakhir beliau diamanahkan sebagai Yang Di Pertua (Penaja) PAS Kawasan Sepanggar sehingga saat akhir beliau meninggal dunia.

***

Minggu lalu, hanya sekali iaitu kalau tidak salah pada pagi hari isnin saya bertemu dengannya. Itu pun di pejabat beliau di tingkat 10 Wisma MUIS. Ada beberapa urusan rasmi dan peribadi yang kami bincangkan. Itulah pertemuan terakhir kami.

Termasuk yang diluahkan beliau berkenaan tuduhan jahat dan fitnah surat seorang Yang Berhormat terhadap beliau yang ternyata sebahagian besarnya tidak benar sama sekali.

Saya juga membincangkan tentang tawaran menjadi hakim MTQ peringkat PDRM di Kepayan khamis ini yang saya diamanahkan mengaturnya. Beliau bersetuju menjadi hakim Bahagian Fasohah dalam MTQ itu nanti. Malangnya dengan pemergiannya hari ini, tugasan itu tidak tercapai.

Malam itu, usrah kami berjalan seperti biasa di rumah seorang sahabat di Luyang. Dalam usrah ini saya diamanahkan sebagai naqib sejak 2 tahun lalu walaupun ramai ustaz lain yang lebih berkelayakan. Namun malam itu saya menguzurkan diri kerana tugasan hakim MTQ Divisyen 1 di Kem Lok Kawi. Saya sempat memberitahu Ustaz Nahar agar memimpin usrah kami di mana beliau antara ahlinya. Itulah tugasan usrah terakhir dijalankan oleh beliau.

Sehari kemudian, iaitu pada selasa, saya diingatkan oleh JK Masjid Kg Muhibbah Petagas akan tugasan khatib jumaat. Saya terkejut dan tidak dimaklumkan awal, tambahan lagi pada hari khamis saya berangkat ke Kuala Lumpur kerana menyertai mesyuarat Lajnah Tashih al-Quran KDN. Saya langsung teringatkan Ustaz Nahar meminta ganti sebagai khatib. Beliau bersetuju dan itulah tugasan khatib terakhirnya.

Khabarnya beliau sempat bercuti dan berprogram di Kundasang Ranau pada malam sabtu sehingga tengahari ahad. Malam isnin, beliau dipelawa oleh Imam Masjid Kg Likas untuk mengimamkan solat Isyak malam itu. Imam itu bercerita tadi, bahawa hatinya tergerak untuk meminta beliau memimpin solat setelah berbulan beliau di’gam’ daripada menjadi imam dan khatib. Itu jugalah kali terakhir beliau mengimamkan solat di masjid berkenaan di mana beliau menjadi jamaah tetapnya sejak kecil.

Sekitar jam 9 malam, beliau mengadu sakit perut dan dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Likas. Ramai maklum bahawa beliau memang ada penyakit gastrik sejak beberapa tahun lalu. Semalaman di sana, jam 9 pagi beliau dibawa pulang dan doktor hanya memberikan ubat biasa.

Setengah jam di rumah, beliau kembali mengadu sakit dada dan sesak nafas. Menurut pembantu beliau yang selalu bersamanya, ketika itu beliau sudah merasakan nadi Ustaz Nahar sudah tiada. Beliau dibawa ke Hospital Queen Elizabeth di bangunan SMC Luyang. Sekitar jam 10.50 saya dimaklumkan tentang pemergiannya.

Ketika itu, saya dan sahabat saudara Alimin Jasman baru tiba di bangunan berkenaan dan hendak menekan punat lif untuk mencari beliau. Tujuan asal untuk menziarahi ustaz yang ketika itu kami dimaklumkan sedang pengsan. Ketika itulah Cikgu Annuar yang sudah berada di sana memaklumkan bahawa Ustaz Nahar sudah meninggal dunia. Lemah longlai tubuh saya dan ketika itu berharap saya tersalah dengar.

Tiada ucapan lain kecuali berharap semoga isteri – Kak Shida dan anak-anak beliau – Nasyraf, Najihah dan Naufal bersabar diatas ujian ini. Begitu juga para pendakwah dan pencintanya di Sabah, kita kehilangan seorang pendakwah muda yang gigih, yang namanya mulai harum di bumi Sabah. Mungkin saya tersilap, tetapi saya belum melihat seorang pendakwah muda yang komited dengan program dakwah dan dalam masa yang sama, berkecimpung dalam PAS di bumi Sabah sepertinya.

Ya, dengan izin Allah ada hikmah atas dugaan ini. Seperti ahli keluarga, sahabat dan kenalan beliau, saya turut mengalirkan air mata atas pemergiannya. Insya Allah beliau akan mendapat nikmat di sisi-Nya.
catatan ; artikel dan gambar di atas adalah ehsan daripada Abu Nuha . terima kasih.

No comments:

Related Posts with Thumbnails