Mengapa Yang Jernih Itu Menjadi Keruh Akhirnya...???

Oleh isma daud.


Entah mengapa hati ini tidak lagi menjadi semulia hati saya yang dulu? Di saat tangan saya berjabat tangan dengan seseorang yang tetiba menjauhkan dirinya daripada saya sejak pihak JAIS memanggil saya pada 20 April yang lalu; tetiba saja sikapnya kepada saya telah berubah. Namun di hujung Syawal ini Allah SWT telah menemukan kami dalam satu rumah terbuka seorang kawan; tetiba semacam ada satu magnet yang menyimpan satu rasa dan getar di jiwa. Mengapa sesuatu yang jernih dahulu kini bagaikan keruh. Sesungguhnya hati kami ada berbicara. Tetapi apa sebenarnya yang ada di dalam hati hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Masih Saya Ingat


Keakraban persaudaraan sememangnya telah wujud sekian lama. Masakan tidak, jika ke mana-mana pasti ada buah tangan yang dihulurkan sesama. Ada ingatan yang dibina. Masih saya ingat; sewaktu saudara saya ini mengerjakan haji ke Mekkah satu tahun tu, setiap satu buah tangan dibelinya buat saya. Buah tasbih, buah kurma , buah tin, kupiah, kain serban, air zam zam dan batang kayu sugi yang sampai hari ini masih saya gunakannya. Tetapi segalanya berubah dari saat dan ketika itu? Mengapa perlu berubah? Apa kaitan dirinya dengan apa yang diambil tindakan JAIS kepada saya?

Satu persoalan besar kini bersarang di benak saya.

Kami bagai terputus satu rasa persaudaraan dan persahabatan. Siapa yang tidak jujur dan ikhlas di antara kami? Sayakah? Diakah? Tapi pertemuan secara tidak sengaja semalam bagaikan memberi isyarat bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Masing-masing membisu dan buat semacam tidak ada apa-apa saja. Saya yakin hati kami ada berbisik yang hanya tuhan saja yang maha tahu bisikannya itu?

Wajarkah hanya sepatah perkataan "SEKULARISME" merubah sebuah persaudaraan?

Saya tidak faham kenapa seorang yang ada fahaman agama tidak mampu melihat keikhlasan hati saya merungkaian persoalan sekularisme sehingga melihat saya sebagai pemutus dan perosak kepada sebuah masyarakat yang telah bersatu padu atas nama sekularisme dan nasionalisme itu? Sememangnya Islam Dan Sekularisme tidak akan bersatu buat selamanya. Jadi mengapa dia sanggup berubah hatinya kepada saya? Dia bersimpati kepada siapa? Penegak sekularismekah atau kepada seruan Islam dan kebenaran yang telah saya nyatakan? Mungkin itu yang ada dalam hati kami. Perbezaan inilah agaknya yang memisahkan kami dan hati kami menjadi pecah, yang jernih menjadi keruh?

Hanya Allah Yang Maha Tahu. Namun Jauh di hati saya saya tidak bermusuh dengan sesiapa. Yang ada dalam hati dan jiwa saya ialah kebenaran dan kebenaran itulah saya perjuangkan biarpun kehilangan seorang sahabat dan hilang saudara... Semoga Allah memaafkan saya dan saudara saya. Semoga khilaf ini akan berlalu pergi dan yang keruh itu akan jernih kembali...Insya Allah!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?