Masih Ada Jalan Luas Di Hadapan. Mengapa Jalan Sempit Itu Yang Kita Pilih?

Oleh isma daud.


Firman Allah SWT;
Maka jangan-jangan pula engkau (wahai Muhammad), membinasakan dirimu disebabkan menanggung dukacita terhadap kesan-kesan perbuatan buruk mereka, jika mereka enggan beriman kepada keterangan Al-Quran ini. (6) Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya. (7)
- Surah Al-Kahfi; ayat 6-7.

Ayat di atas memberi rangsangan kepada Nabi Muhammad saw supaya tidak mudah berputus asa atas tindakan orang-orang yang kafir dan mereka yang menentang dakwah baginda. Begitulah jalan orang-orang yang berdiri atas landasan dakwah, hati dan jiwa mereka sentiasa diuji oleh Allah SWT.

Saya sesekali juga sukar memujuk hati agar terus tabah dan kukuh bertahan atas jalan dakwah dan mengajak manusia kepada jalan Allah SWT. Bila mengenang mereka yang memandang sepi kepada kerja dakwah; terasa juga hati. Bertanya juga hati kepada diri yang dhaif ini; dengan apa jalan lagi boleh kita lakukan untuk mendidik saudara-saudara seIslam kita supaya mereka juga kembali kepada jalan Allah SWT yang dipenuhi dengan keredhaan Allah SWT.

Mengenangkan Bulan Ramadhan yang lalu saya sungguh rasa terharu kerana kebanyakkan surau dan masjid dipenuhi dengah ahli jamaah. Yang jarang ke masjid pun mula ringan kaki melangkah kaki mereka memasuki ruangan solat dan berdiri bersama-sama dengan para jamaah yang lain. Namun bila berlalunya Ramadhan maka hilanglah bayangan sebahagian besar para jamaah entah ke mana? Apakah Allah SWT dibesarkan dalam bulan Ramadhan sahaja? Nak kata pergi mengerjakan haji belaka sehingga tidak nampak muka di surau dan masjid rasanya masih nampak kelibat mereka dekat mana-mana... Cepatnya kita hanyut dalam tipudaya dunia dan syaitan yang menggoda. Manusia Cepat Lupa...

Semenjak saya tidak banyak menyampaikan kuliah di masjid dan surau; masa saya berdakwah lebih kepada dakwah fardiyyah (individu). Bersembang di kaki masjid dan surau, bersembang di rumah-rumah kawan dan bersembang di kaki-kaki lima. Sesiapa saja yang sudi mendengar bicara saya, pasti saja saya tidak lepaskan peluang untuk saya sampaikan mesej saya.

Teringat kelmarin sewaktu membeli daging lembu di tempat jualan daging lembu di Pasar Sibu. Di situ saya sempat menghabiskan masa hampir setengah jam memberi rangsangan kepada para penjual dan pengusaha Muslim supaya gigih berjuang memastikan sumber halal dan bekalan daging yang halal kepada umat Islam terus diusahakan. "Sungguh usaha mereka adalah untuk memastikan umat Islam mendapat bekalan daging yang halal , merupakan  JIHAD yang besar dan pastinya ganjaran mereka di sisi Allah SWT sangat besar sekali. Lakukanlah kerana ingin meninggikan Agama Allah". Begitulah pesanan saya kepada mereka. Mereka sangat bergembira dengan pesanan saya.

Begitulah jiwa pendakwah, suara dakwah mesti sentiasa hidup dalam jiwa mereka biar apa pun mehnah yang menimpa mereka.

Saya dituduh menyebarkan pemikiran memecahbelah masyarakat sehingga ada yang sanggup menuduh saya membawa ajaran sesat. Begitu jauh bicara manusia membawa berita palsu dan menambah-bnambah cerita agar ianya lebih sedap didengar. Sehingga kini; anak-anak kecil yang datang mengaji di rumah saya telah dihentikan oleh ibubapa mereka; takut dengan kesesatan yang saya bawa. Begitu besar kesan yang saya terima hasil daripada fitnah manusia. Ianya berlaku kerana hasad dengki di dalam hati pendengki kepada dakwah yang kita bawa.

Tidak mampukah mereka menilai saya secara jujur dan benar kepada usaha dakwah saya selama ini sehingga begitu mudah menerima berita palsu sebegini? Cukuplah kepada mereka yang ada jiwa pendengki itu daripada berhasad dengki.

Sepatutnya kita bersatu padu dalam menegakkan jalan Allah SWT. Mengenal pasti sebenar-benar mad'u kita dan siapa pula musuh-musuh Allah SWT. Masih ramai di luar sana umat Islam yang hidup dengan penuh kejahilan dan dengan mudah ditipu oleh sesiapa saja yang mempunyai kepentingan diri dan duniawi. Merekalah sebenarnya sasaran dakwah kita. Bukannya saling berhasad dengki sesama sendiri.

Pada asalnya saya rasa terkilan dan sedih dengan tuduhan seperti ini tetapi saya akhirnya berubah menjadi orang yang lebih bersemangat untuk melaksanakan kerja-kerja dakwah ini. Betul kata sahabat saya; Ustaz Muda: "Itu baru sedikit ujian Allah SWT".

Saudara saya; Tuan Haji Hamzah (EMZET) juga memberi rangsangan yang sama. "Ustaz tidak payahlah berdukacita kepada mereka yang berbuat demikian kerena mereka itu tidak berbuat apa-apa, hanya sedap bercakap saja"

Harapan saya agar angin fitnah ini akan cepat berlalu kerana ianya telah mengganggu dan melambatkan usaha kita untuk menyampaikan dakwah kepada mereka yang sebenar. Insya Allah, Allah Pasti bersama-sama dengan orang yang benar dan sabar. Dan segala kebathilan dan kesesatan itu akan hilang lenyap berlalu.

Dalam ruang yang terbatas ini saya menyeru kepada pihak yang bertanggungjawab membawa berita fitnah ini segera beristighfar dan bertaubat. Kepada mereka yang pernah belajar dan menekuni ilmu dalam kuliah-kuliah saya di masjid dan surau; ikhlaskanlah diri anda ketika berada dalam majlis ilmu itu. Kutiplah mutiara berharga untuk membimbing diri menjadi insan bertaqwa kepada Allah SWT yang kelak kita akan mendapat RedhaNya, bukan mengutip dan mencari kesilapan dan kekurangan saya. Sangat buruk kerja yang kamu lakukan itu.

Kepada mereka yang mula menyombong diri; ingatlah Allah SWT tidak suka kepada orang-orang bersifat ingkar , keras hati dan menyombong kepada guru kita sendiri.

Kepada mereka yang mencari peluang dan menangguk di air keruh; Allah Tahu apa yang kamu kerjakan. Ingatlah Allah itu Satu dan Maha Mengetahui Lagi Maha memberitakan.

Harapan saya; marilah sama kita bermuhasabah diri di hadapan Allah SWT. Masih ada jalan luas di hadapan. Mengapa Jalan sempit itu yang kita pilih?

Fikir-fikirkanlah. Sekadar Bertazkirah. Wassalam.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?