Malam ke 11; Kembali Ke Sekolah Dan Surau An-Nadwah

Oleh isma daud

"...harapan saya biarlah senario umat Islam berpusu-pusu ke surau dan masjid ini bukan bermusim bahkan akan berterusan sehingga memasuki bulan-bulan yang lain pula. Janganlah jadi macam biasa; bila berhari raya mulalah surau kembali sepi maklumlah di Sarawak ini orang beraya sebulan. Ya beraya sebulan. Itulah tradisi orang Sarawak. Puasa sebulan dan rayanya pula sebulan. Dan raya sebulan itu akan memadamkan "Ruh Ramadhan" yang sebulan itu..."


Malam tadi merupakan malam ke 11 kita berada dalam bulan Ramadhan. Ini bermakna 1/3 daripada bulan Ramadhan telah kita lewati. Bulan Rahmah itu telah ikita harungi kerana Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa bulan Ramadhan; awalnya adalah rahmah, pertengahannya adalah keampunan dan dipenghujungnya adalah pembebasan daripada api neraka.

Mula berpuasa sekolahpun mula bercuti dan malam tadi adalah malam pertama kami memulakan solat sunat teraweh di Surau Darul Nadwah. Saya tidak mengaktifkan aktiviti surau kerana keberadaan surau ini adalah untuk kegunaan pelajar asrama dan warga muslim yang tinggal di Quarters Kerajaan. Namun dalam pengamalan yang lalu; hanya pelajar asrama yang menggunakan surau. Bila pelajar pulang ke rumah masing-masing maka matilah aktiviti surau. Dan sebahagian guru pula akan balik kampung bercuti juga. Jadi aktiviti surau terhenti seketika. Namun surau ini tidak pernah berkunci untuk sebarang aktiviti solat fardhu untuk mereka yang singgah untuk bersolat dan sebagainya di sini.

Dalam tempoh bercuti itu saya sendiri mengambil peluang untuk berziarah dari surau ke surau sekitar bandar Sibu. Dalam pemerhatian saya, umat Islam sungguh memanfaatkan kehadiran bulan Ramadhan kali ini. Setiap surau dan masjid yang saya pergi; alhamdulillah dibanjiri oleh ahli jamaah yang datang merebut hidangan Ramadhan ini. Suasana yang sungguh mengembirakan hati orang-orang yang beriman. Harapan saya biarlah senario ini bukan bermusim bahkan akan berterusan sehingga memasuki bulan-bulan yang lain pula. Janganlah jadi macam biasa; bila berhari raya mulalah surau kembali sepi, maklumlah di Sarawak ini orang beraya sebulan. Ya beraya sebulan. Itulah tradisi orang Sarawak. Puasa sebulan dan rayanya pula sebulan. Dan raya sebulan itu akan memadamkan "Ruh Ramadhan" yang sebulan itu...

Pelajar Muslim yang berada di asrama tidaklah berapa ramai. .Setiap tahun hanya sebilangan kecil saja pelajar Muslim yang menghuni asrama tidak lebih daripada 25 orang; termasuk putera dan puteri. Untuk makluman pelajar muslim di SMK Rosli Dhoby melebihi 400 orang. Cuma yang tinggal di asrama sebilangan yang saya nyatakan itu. Selebihnya adalah pelajar harian.

Harapan dan doa saya agar komuniti Muslim yang berada dalam pagar SMK Rosli Dhoby akan sama-sama memikirkan hal-hal agama lebih daripada memikirkan hal-hal duniawi sehingga malu dan segan untuk bertandang ke surau ini. Sikap dingin kepada surau mesti diubah. Surau mesti dimakmurkan sepanjang masa. Sungguh malang jika kita memikirkan bahawa surau untuk orang yang nak mati saja. Sesungguhnya surau dan masjid adalah tapak kehidupan dunia dan akhirat. Di sini kita melaksanakan ibadah dan aktiviti kemasyarakatan agar terbina ukhwah islamiah dan perpaduan utuh umat islam. Di sini kita bina syiar Islam dan di sini kita membina budaya ilmu. Sungguh malanglah orang yang suara azan dan tazkirah masuk melalui jendela rumahnya tetapi tiada tergerak hati untuk sama-sama memakmurkannya.

Semoga kedatangan bulan Ramadhan kali ini dapat mengetuk hati nurani kita untuk kembali kepada Allah SWT dan mentarbiyah diri kita untuk menjadi hambaNya yang sanggup mengabdikan diri dan bertaqwa kepadaNya dengan sebenar-benar taqwa. Insya allah SWT.

Akhirnya ; semoga pengajaran itu tidak mengkhusus kepada kumpulan sasaran sahaja bahkan umum kepada semua yang membaca tazkirah atau peringatan ringkas ini. Semoga bermanfaat kepada kita semua . Mudah-mudahan!!!

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?