Sekali Ombak Menghempas; Pantai Pun Turut Berubah...

Setelah agak lama tidak menulis ke halaman ini; baru setelah menerima panggilan daripada abang Zahudin dari Matang Jaya, Kuching bagai menyuntik semangat untuk kembali. Sebenarnya saya bukanlah yang mahir menggunakan kemudahan ICT dan tidak pernah mendapat latihan dan kursus formal tetapi atas keinginan dan tidak mahu ketinggalan dalam kegunaannya; saya mencuba. Terima kasih abang Din atas dorongan dan sokongan. Laman yang kerdil ini adalah cuba-cubaan saja tetapi jika ada sokongan sudah tentu mampu memberi impak besar dan keyakinan baru kepada insan yang kerdil ini.

Risalah dakwah boleh disampaikan melalui pelbagai cara. Halaman ini salah satu daripada cara dan pendekatannya. Setelah bercuti ke kampung di Kuala Terengganu hampir dua bulan dan kembali semula ke bumi Sibu; masyarakat di sini bagai kemarut rindu dengan kuliah saya sehingga setiap hari saya diundang untuk menyampaikan kuliah di sekitar bandar ini. Bagi saya ini satu rahmat Allah ke atas bumi Sibu yang penduduk Muslimnya hanya segelintir bilangannya. Angin perubahan ini cukup membanggakan hati dan jiwa orang yang beriman. Memang ada perubahan ketara apabila surau dan masjid nampak lebih hidup dan lebih makmur. Para jamaah bagi solat fardhu nampak ketara penambahan jumlah para jemaahnya. Semua ini adalah kesedaran umat Islam yang kita semua harapkan selama ini. Jelasnya kesedaran ini bukan datang dari seorang atau dua orang tetapi kesedaran secara kolektif dan bersifat majmuk. Kesedaran yang datang daripada semua pihak. Syukur ke hadrat Allah ke atas hidayah dan petunjuknya kepada hamba-hambaNya yang kerdil ini.

Namun kesedaran ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan mereka yang masih terperangkap dalam ”Zon Selesa” sehingga sukar untuk berjamaah di Masjid dan menghadiri majlis-majlis ilmu seperti kuliah, ceramah agama, usrah dan seumpamanya berbanding majlis hiburan dan segala macam keseronokan yang lain. Saya ada menyentuh persoalan ini dalam khutbah Jumaat (8/2/2008) ketika saya diundang menjadi khatib di Masjid Darul Halim, Sibu dan alhamdulillah ada respon baik daripada masyarakat. Ada yang memaklumkan kepada saya secara lisan dan ada yang SMS. Bukan sekali saya menyampaikan khutbah tapi mungkin belum sampai masa kesedaran itu mengetuk hati para jamaah walaupun ada pendengarnya itu mereka yang bergelar para ustaz, ilmuan dan pemegang ijazah serta bijak pandai dalam pelbagai bidang sendi ilmu duniawi dan ukhrawi. Belum masuk iman ke dalam hati mereka itu agaknya kerana masih ada yang memandang sepi nasihat seperti itu dan menjauhkan diri dari rumah Allah dan kerja dakwah yang sepatutnya golongan ustaz dan ustazah ini lebih mampu memikulnya. Janganlah hanya sibuk dengan tugas resmi dan rasmi di sekolah sahaja. Kita bukan robot yang telah diprogram sedemikian rupanya. Kita adalah insan yang diistimewakan oleh Allah dengan akal fikiran, hati dan perasaan dan fizikal yang lengkap dan sempurna.

Firman Allah SWT;

،أَيَحْسَبُ الْإِنْسَانُ أَنْ يُتْرَكَ سُدًى ، أَلَمْ يَكُ نُطْفَةً مِنْ مَنِيٍّ يُمْنَى ، ثُمَّ كَانَ عَلَقَةً فَخَلَقَ فَسَوَّى
. فَجَعَلَ مِنْهُ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنْثَى ، أَلَيْسَ ذَلِكَ بِقَادِرٍ عَلَى أَنْ يُحْيِيَ الْمَوْتَى
Maksudnya: “Patutkah manusia menyangka, bahawa ia akan ditinggalkan terbiar (dengan tidak diberikan tanggungjawab dan tidak dihidupkan menerima balasan)? Bukankah ia berasal dari air mani yang dipancarkan (ke dalam rahim)? Kemudian air mani itu menjadi sebuku darah beku, sesudah itu Tuhan menciptakannya, dan menyempurnakan kejadiannya (sebagai manusia)? Lalu Tuhan menjadikan daripadanya dua jenis - lelaki dan perempuan. Adakah (Tuhan yang menjadikan semuanya) itu - tidak berkuasa menghidupkan orang-orang yang mati? (tentulah berkuasa)! ”
( Surah Al-Qiamah; 36-40)

Inilah agaknya tanda kiamat kerana golongan agama tidak mahu memainkan peranan mereka lalu tugas itu dipikul oleh mereka yang jahil agama atau mereka yang bukan ahlinya. Mereka sepatutnya memimpin dan menjadi imam dalam solat berjamaah tetapi memilih untuk mengimamkan solat di kalangan ahli keluarga masing-masing saja di rumah bukan memikul peranan yang lebih besar dalam masyarakat. Saya bersangka baik begitu. Bersangka baik itu lebih dekat dengan taqwa berbanding bersangka buruk dengan orang lain. Takut nanti saya menanggung dosa mereka pula kerana bersangka buruk. Astaghfirullah!!! Jika saya bersalah kepada sebahagian mereka yang lain yang cukup berfungsi dan berperanan dengan baik sekali, maafkan saya. Janganlah kerana seekor kerbau membawa lumpur habis yang lain turut terpalit.

Bagi mengingatkan diri sendiri dan sesiapa saja yang masih ada iman dan sedikit kesedaran di lubuk hati; saya ingin memahatkan firman Allah SWT sebagai ingatan bersama;

قُلْ أَمَرَ رَبِّي بِالْقِسْطِ وَأَقِيمُوا وُجُوهَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَادْعُوهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ كَمَا بَدَأَكُمْ تَعُودُونَ ، فَرِيقًا هَدَى وَفَرِيقًا حَقَّ عَلَيْهِمُ الضَّلَالَةُ إِنَّهُمُ اتَّخَذُوا الشَّيَاطِينَ أَوْلِيَاءَ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَيَحْسَبُونَ أَنَّهُمْ مُهْتَدُونَ
( Katakanlah: "Tuhanku menyuruh berlaku adil (pada segala perkara), dan (menyuruh supaya kamu) hadapkan muka (dan hati) kamu (kepada Allah) dengan betul pada tiap-tiap kali mengerjakan sembahyang, dan beribadatlah dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata; (kerana) sebagaimana ia telah menjadikan kamu pada mulanya, (demikian pula) kamu akan kembali (kepadaNya). Sebahagian (dari umat manusia) diberi hidayah petunjuk oleh Allah (dengan diberi taufiq untuk beriman dan beramal soleh); dan sebahagian lagi (yang ingkar) berhaklah mereka ditimpa kesesatan (dengan pilihan mereka sendiri), kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan itu pemimpin-pemimpin (yang ditaati) selain Allah. serta mereka pula menyangka bahawa mereka berada dalam petunjuk hidayah. )

(Surah Al-A’raaf; 29-30)

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?