Sudut Pandangku : Mengulas Isu Doa Dalam Khutbah Jumaat Kepada Orang Kafir

Oleh isma daud

Zakaria Ahmad
Isu doa dalam khutbah jumaat menjadi sesuatu yang penuh kontroversi mutakhir ini. Nama Ustaz Zakaria Ahmad (gambar kiri) mula menjadi popular. Ustaz dengan tidak semena-mena telah membuka mata  banyak pihak dalam isu doa ini. Isu agama ini telah menjadi isu politik. Dan rakyat boleh menilai hal ini  dengan jelas. Saya berpendapat isu ini mampu membuka mata banyak pihak bahawa isu doa ini menampakkan lagi UMNO lebih bersifat perkauman dan gigih mempertahankan perlembagaan berbanding ketetapan hukum dalam Islam itu sendiri.

UMNO lebih melihat boleh atau tidak boleh "menggantikan" nama Yang di-Dipertuan Agong, kepada nama Ketua Menteri  Pulau Pinang dalam doa khutbah kedua daripada melihat dalam konteks dakwah dan keilmuan seseorang khatib.

Baca apa yang dilontarkan oleh Dr Asri dalam isu ini. "Jangan politikkan isu khutbah, tak salah doa pemimpin sejahtera".  Baca di sini.

Saya suka menyorot kembali apa yang dilaporkan oleh akhbar sebelum ini. Berikut adalah  teks berita yang dilaporkan oleh Sinar Harian ;
"BUTTERWORTH - Kejadian khatib menggantikan nama Yang di-Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua, solat Jumaat berlaku lagi di negeri ini, Jumaat lalu.

Dipihak Zakaria : "Tiada Sebarang Motif"
Di Masjid Jamek Kubang Buaya, Bagan, di sini, doa itu dibaca oleh Zakaria Ahmad, khatib jemputan yang sama mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Beberapa ahli jemaah masjid berkenaan mendakwa mendengar Zakaria membacakan doa seperti berikut: "Ya Allah Ya Tuhanku, Kau Selamatkanlah Pemimpin Kami Yang Amat Berhormat Lim Guan Eng dan rakan-rakan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang."

Tiga saksi yang mendengar doa berkenaan iaitu Mohd Shahril Harun, 36, Mohd Radzi Hussain, 34, serta Muhammad Fahmie Omar, 21, membuat laporan di Balai Polis Butterworth tengah hari semalam.

Mohd Shahril, seorang kontraktor dari Bagan Dalam berkata, dia singgah di masjid itu untuk menunaikan solat Jumaat selepas selesai meninjau pekerjanya yang menjalankan tugas di sekitar Bagan Ajam di sini.

“Semasa khutbah kedua, saya mendengar dengan jelas, khatib itu, Zakaria Ahmad yang dijemput membacakan khutbah mendoakan agar Guan Eng diselamatkan dan langsung tidak mendoakan keselamatan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sebagai Ketua Agama Islam Pulau Pinang dan Tuan Yang Terutama Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas yang sepatutnya dibacakan.

“Saya dan jemaah lain yang duduk berdekatan memandang antara satu sama lain dalam keadaan terkejut,” katanya.

Hadir sama menemani kumpulan pemuda itu membuat laporan polis ialah Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Naina Merican dan Naib Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Shaik Hussein Mydin.

Mohd Radzi pula berkata, dia mendengar jelas doa Zakaria dalam bahasa Melayu itu mendoakan kesejahteraan Guan Eng dan langsung tidak mendoakan kesejahteraan Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Tun Abdul Rahman Abbas.

“Saya dengar cuma nama Guan Eng disebut menyebabkan kebanyakan jemaah yang ketika itu menunduk tiba-tiba tegak dan saling berpandangan kerana terkejut. Ada jemaah yang menadah segera menurunkan tangan mereka sambil menggeleng-geleng kepala,” katanya.

Saksi ketiga, Mohd Fahmi berkata, sebagai orang Islam, dia kecewa dan meminta Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) mengambil tindakan terhadap khatib berkenaan. Sementara itu, Shaik Hussein yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan berkata, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Abul Kassim gagal melaksanakan tugasnya untuk memelihara kesucian agama Islam dan institusi Islam seperti mimbar masjid.

“Beliau sebenarnya tidak layak menerajui portfolio ini apabila terus membuat penafian dan menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) cuba memainkan isu perkauman sedangkan sepatutnya beliau membuat siasatan sebelum mengeluarkan kenyataan.

Tambahan lagi dengan berulangnya kes sama di beberapa masjid sebelum ini menunjukkan beliau langsung tidak buat kerja,” katanya."

Setelah saya membaca berita ini, saya melihat pertama orang tak hormat kepada orang berilmu, apa yang dibuat oleh orang berilmu salah, pendapat orang awam lebih betul. Hasilnya orang awam membuat laporan polis kepada orang berilmu. Yang tidak hormat orang berilmu di sini pastinya orang Melayu UMNO. Tanpa menafikan dalam masalah "Maklumun MinadDiini Bid Dhorurah", orang ramai tahu rukun khutbah yang lima dan apa yang boleh dan tidak boleh dalam berdoa.

"Teringat dalam kes saya di"gam" berkhutbah kerana menyebut "sekular" dalam khutbah pertama. Orang awam membuat bantahan kepada JAIS, Sibu. Akhirnya saya salah, orang awam betul. Ternyata orang berilmu (biarpun sekadar ustaz biasa), lebih salah daripada orang awam yang sekular dalam PBB di Sarawak atau UMNO di Malaysia."

Itulah apa yang sedang berlaku hari ini... Orang tidak melihat kepada hukum Allah , kepada al-Quran dan Hadis, kepada sirah dan pandangan ulama yang muktabar, orang lebih suka melihat kepada adat kebiasaan dan perlembagaan yang telah ditentukan oleh manusia. Inilah yang sedang berlaku. Kalau dirujuk kepada hukum Allah, apakah salah besar oleh khatib jemputan ini  mendoakan orang bukan Islam berbanding mereka yang terus-menerus mencabar hukum Allah kerana tidak mahu melaksanakannya, sebaliknya hukum Allah menjadi simbol yang dibaca sahaja tanpa perlaksanaan.

Saya mengambil sikap memuji khatib yang berinovasi ini, dia berani dan dia tahu apa yang dia buat. Namun jika orang berilmu itu ada berbuat salah, dia masih dalam lingkungan salah sebagai orang berilmu bukan orang jahil. Melalui pernyataannya bahawa dia sudah dua tahun melakukannya, dia melakukan dengan sedar dan disengajakan. Disengajakan kerana beliau dalam ilmu dan kefahamannya perkara berdoa kepada orang kafir (dalam perkara itu) boleh dan tidak menyalahi syarak.

Dia tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Berikut apa yang dilaporkan dalam Sinar Harian, bahawa Ustaz Zakaria berkata;

Zakaria Ahmad
Penggunaan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disebut dalam bacaan doa khutbah solat Jumaat di beberapa masjid sekitar Pulau Pinang bukan perkara baru. Perkara itu disahkan khatib, Zakaria Ahmad yang mengakui bukan pertama kali beliau membaca doa tersebut tetapi ianya dilakukan sejak dua tahun yang lalu. Menurutnya, doa yang disebut hanya menjuruskan supaya Allah memberikan hidayah kepada Guan Eng agar memeluk Islam.
Persoalannya, bolehkah seseorang itu berdoa, buat solat hajat kepada orang bukan Islam untuk kesejahteraan mereka? Kesejahteraan di sini bermaksud kesihatan, kebaikan dan keadilan termasuk mendoakan seseorang Kafir yang cenderung berbuat kebaikan (tanpa dinafikan keburukannya), agar dilunakkan hati mereka supaya memeluk Islam.

Dalam sejarah tanah air UMNO pernah solat hajat untuk kemenangan calon bukan Islam di Hulu Selangor dan sehingga kini timbul isu yang sensasi  ini buat masa kini. Solat hajat ini secara langsung tiada dalilnya. Solat hajat ini jika dimaksudkan berdoa telah dibolehkan oleh UMNO.  Tiada ulama di Malaysia yang telah menfatwa bahawa ianya tidak boleh. Maka solat hajat dengan maksud berdoa adalah boleh.  Diam ulama itu bermakna boleh, sebab ulama tidak akan berdiam diri kalau ia tidak boleh. Jadi dalam isu solat hajat itu tiada dalil tetapi boleh kerana ia dalam maksud berdoa.  Ini kerana dalam perkara doa ada dalilnya.

Ini berdasarkan doa nabi SAW yang berbunyi;


اللهم أعز الإسلام بأحد عمرين
maksudnya;
"Ya Allah, Berikanlah kemegahan kepada Islam dengan Islamnya salah seorang dari dua orang yang bernama Umar".

Berdasarkan doa Nabi Muhammad SAW yang berdoa agar Islam dimuliakan dengan dua Umar iaitu Amru Bin Hisyam (Abu Lahab) dan Umar Bin Al-Khattab, lalu Allah SWT memperkenankan doa itu. Allah SWT memilih Umar Bin Al-Khattab yang memeluk Islam setelah membaca surah At-Tha-Ha dirumah adiknya Fatimah lalu terus bergegas mencari Rasulullah SAW dan beriman dengan Baginda di Rumah Al-Arqam Bin Abil Arqam menunjukkan bahawa doa kepada orang kafir ada nas dan sirahnya.

Bagaimana isu Solat Hajat? Solat hajat juga bertujuan berdoa. Maka jika solat hajat boleh, maka berdoa pun boleh. Kerana kedua-duanya dengan tujuan berdoa. Berdoa untuk kemenangan dan kebaikan. Jadi apa isunya sekarang? Jawabnya tidak lebih daripada mencari keberuntungan politik semata tanpa melihat kepada hujah agama.

Doa kepada orang kafir yang dilarang

Adapun doa yang dilarang oleh Allah SWT ialah berdoa untuk keampunan dosa orang-orang kafir. Kerana nyata  kekufuran mereka menghalang Allah SWT memperkenankan doa itu lalu Allah SWT melarang tegas berdasarkan firmannya ini.

Firman Allah SWT;
{مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آَمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ}
Maksudnya;
“Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat(nya), sesudah jelas bagi mereka, bahwasannya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahannam” (at-Taubah: Ayat 113).

Jadi kepada yang kafir, yang memerangi orang Islam adalah tidak wajar kita berdoa kepadana khususnya dalam memohon ampun kepadanya. Dalam memohon hidayah adalah diharuskan. Sebagaimana pula nabi berdoa kepada Umat Thaif yang kafir dengan doa; "Ya Allah! Berilah hidayah kepada kaumku (penduduk Thaif yang kafir dan menyakiti Nabi) kerana mereka kaum yang tidak mengetahui."

Cuma peringatan kepada umat Islam, berdoa di sini dalam isu bermuamalah saja bukan doa kerana kecintaan kekufurannya sebagaimana mencintai orang-orang beriman. Selama mereka masih berbuat baik kepada kita, masih boleh berdoa kepada mereka. Firman Allah SWT dalam surah Al.Mumtahanah;

{لا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ}
“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik (dalam urusan dunia) dan berlaku adil terhadap orang-orang (kafir) yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil” (al-Mumtahanah: Ayat 8).

Sepatutnya umat Islam lebih cenderung melihat dalam konteks dakwah bukan kebencian yang ditanam atas dasar perkauman. Doa itu patut dilihat dari asas dakwah dan perhubungan . Kerana ia merupakan daya tarik bagi orang-orang kafir untuk masuk Islam, maka ini termasuk cara untuk mendakwahi mereka. Bukan pun orang kafir itu memaksa kita mendoakan mereka tetapi atas nama dakwah kita mendekatkan mereka kepada Islam. Kalau doa itu diasaskan kepada taasub kepada pemimpin tersebut adalah dilarang kerana ia tidak dibina atas niat dakwah sedikitpun bahkan cinta buta sahaja. Jadi saya yakin khatib yang berilmu dan tahu uslub dakwah tiada menunjukkan motif cinta butanya bahkan lebih kepada tujuan dakwah semata-mata.

Ini pandangan saya dalam kemampuan ilmu yang saya ada dalam harus diperbahaskan lagi... Tidaklah saya bermaksud melainkan sekadar membuat islah sesama kita untuk mencari kebaikan dan kebenaran. Wallahu A'lam!!!.

Comments

Anonymous said…
Assalamualaikum....
Satu pandangan yang amat bernas dan tahniah diucapkan. Sememangnya UMNO dan Barisan Naional tidak pernah menghormati ulama'.Malah mereka seringkali menjadikan pra ulama' sebagai tunggangan mereka.

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?