Sepanjang Jalan Di Sibu

@Facebook ~ "Tinta Dakwah Al Maranji"

~ Salam Persahabatan , Terima Kasih.

Tuesday, February 24, 2009

Ya Rasulullah!!! Tubuhmu Tegap Jiwamu Berani

Oleh isma daud

Sejak saya menulis tentang keluhuran dan keunggulan Nabi Muhammad SAW ; nampaknya semacam ada pihak yang tidak bersetuju. Manakan tidak??? Saya telah melebihkan Nabi Muhammad saw mengatasi segala manusia dan makhluk yang lain, meletakkan segala idola mereka semua berada di tahap yang lebih rendah berbanding Nabi Muhammad saw. Sejak itu blog saya menjadi sasaran mereka yang merasakan diri mereka tercabar kerana mereka jauh berada di bawah.

Saya membesarkan nabi Muhammad saw kerana saya cintakan Nabi Muhammad sebagai nabi akhir zaman yang membawa rahmat kepada sekelian alam. Saya memuliakan baginda bukan secara membabi buta tetapi dengan hujjah dan dalil baik daripada Al-Quran dan as-Sunnah; dua sumber yang melemahkan semua pihak untuk menidakkannya. Kerana Allah swt menjamin ketulinan dua sumber ini dengan firmanNya; "Kamilah yang menurunkannya dan Kamilah yang menjaganya daripada sebarang perubahan".

Maka saya akan terus menulis bagi menzahirkan kasih sayang saya kepada baginda saw biarpun ada yang tidak menyukainya... Bukan kerana tidak mempedulikan perasaan orang lain tetapi menulis di atas dasar cinta dan kasih sayang kepada junjungan mulia yang akan memberi syafaat kepada umatnya di akhirat nanti; "Sesungguhnya orang yang membencinya akan terputus, tidak akan memperolehi syafaat yakni pertolongannya".

Pertolongan agung yang mempercepatkan hisab dan mizan yang menyegerakan perjalanan manusia bagi mendapat pembalasan yang seadil-adilnya daripada Rabbul Jalaalah samada kesudahannya ke syurga maupun ke neraka. Bagi yang beriman mereka mahu segera ke syurga bagi mendapat kurnia Allah SWT yang tidak terhingga, manakala yang merasa azab mereka sudah tidak tertahan lagi menanggung azab Mahsyar dan mereka mengharapkan segera perhitungan padahal yang menanti dan menunggu mereka segala macam azab yang bertimpa-timpa. Oleh itu segeralah kita insaf sebelum datangnya keputusan Allah SWT tidak akan berubah lagi; yakni mati!!!

Buat posting kali ini; saya suka menzahirkan kehebatanmu Ya Rasulullah saw, betapa engkau seorang yang teguh pada fizikal dan kuat pada tubuh badanmu; ianya tebukti apabila engkau ya Rasulullah saw dapat mengalahkan mereka yang sedaya upaya membentuk kekuatan diri dan menganggap mereka seorang yang kuat dan gagah perkasa.

Bagaimana tidak? Telah terbukti bahawa engkau ya Rasulullah saw telah menjatuh dan menewaskan jaguh tinju di zamanmu dengan menjatuhkannya sebanyak tiga kali berturut-turut sehingga lelaki itu bangkit beriman dengan ajaran dan agamamu dengan mengucapkan dua kalimah syahadah seraya berkata : "Aku bersaksi bahawa engkau adalah Rasulullah ">

Bagaimana tidak? Ubai bin Khalaf telah berdepan dengan Rasulullah saw secara satu lawan satu dalam peperangan Uhud; dengan satu hentakkan yang tepat dan jitu didadanya lalu beliau terus terjatuh tersungkur dari kuda tunggangannya dan darah berlumuran membasahi tubuhnya.

Bagaimana tidak? Para Sahabat seramai-ramainya tidak mampu memecahkan ketulan batu yang keras dan besar sewaktu menggali parit dalam menghadapi peperangan Khandak, yang tidak "lut" oleh kapak-kapak dan alat yang ada pada masa itu, engkau ya Rasulullah telah memecahkannya.

Bagaimana tidak? Para Sahabat r.hm. telah berlindung dengan nabi saw di saat peperangan menjadi cukup hebat dan musuh menyerang ganas dari setiap penjuru kerana mereka tahu engkau Ya Rasulullah saw memiliki kekuatan minda, ketenangan jiwa, kecerdasan akal yang mampu membaca membaca segala gerak musuh dan memiliki tubuh badan yang sasa serta lasak maupun tenaga jua upaya...

Rasulullah saw sendiri bersabda :

"المؤمن القوي خير وأحب إلى الله من المؤمن الضعيف"

ertinya: "Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi oleh Allah SWT berbanding mukmin yang dhaif".

Rasulullah saw menjadi contoh bagi umatnya dan baginda saw menjadi "juara" dalam membina kekuatan fizikal kerana Allah SWT secara jelas menggesa dalam hal ini dengan firmanNya;

{وَأَعِدُّواْ لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدْوَّ اللّهِ وَعَدُوَّكُمْ وَآخَرِينَ مِن دُونِهِمْ لاَ تَعْلَمُونَهُمُ اللّهُ يَعْلَمُهُمْ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللّهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لاَ تُظْلَمُونَ} (60) سورة الأنفال

ertinya : "Dan siapkanlah kekuatan untuk menghadapi mereka (musuh-musuh Allah)menurut kesanggupan kamu dan pasukan berkuda untuk menggentarkan musuh Allah SWT dan musuh kamu....".

Semoga kita umat Islam sentiasa bersiaga dalam menghadapi musuh-musuh Allah SWT dan musuh agama yang sentiasa berusaha menghancurkan agama Allah SWT jika mereka itu berupaya. Namun agama Allah SWT pasti mendapat kemenangan dan pembelaan akhirnya.

Ya Rasulullah!!! Tubuhmu Tegap Jiwamu Berani. Insya allah SWT jika berkesempatan saya akan menulis tentang keberaniamu ya Rasulullah saw....

1 comment:

Tok Tam said...

Assalamu'alaikum. Minta izin untuk sama-sama berkongsi apa yang ada. Syabas kepada ustaz atas penjelasan tentang keperibadian Rasulullah SAW, cuma Tok Tam minta kalau boleh diketengahkan apa yang menjadi amalan Rasulullah SAW sehingga baginda menjadi 'habiballah', sebab apa yang menjadi sunnah baginda adalah untuk umat baginda jua......rasanya dari baginda berada di dalam gua Hira' lagi amalannya sudah bermula dalam membina kekuatan diri baginda...wallahu'lam

Related Posts with Thumbnails