Suka Duka 16 Tahun di SMK Rosli Dhoby, Sibu

Oleh isma daud

Salam perjuangan!!!

Sejak kali pertama saya memijak kaki ke SMK Rosli Dhoby pada 19/01/2000; saya merasa bangga kerana saya dapat berkhidmat di sebuah sekolah yang namanya seorang pejuang Sarawak; Rosli Dhoby. Saya mengambil semangat dan ruh perjuangannya yang kental, berani menegak kebenaran, sanggup menerima risiko dan berpegang kepada prinsip. Atas semangat itu saya bekerja dalam pasukan dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran. Bahkan saya bangga mendapat jolokan panggilan "Ustaz Rosli Dhoby". Biasanya ahli masyarakat lebih mengenali saya sebagai Ustaz Rosli Dhoby berbanding nama saya sendiri.

Langkah pertama apabila saya sampai ke sekolah ini, saya mendekati semua lapisan insan yang bekerja di sini daripada peringkat pentadbir, rakan-rakan guru dan kakitangan sekolah. Saya bergaul mesra dengan mereka, mengutip mutiara ilmu, pengalaman dan kemahiran mereka. Pergaulan mesra ini mewujudkan bi-ah yang sihat dan muamalah yang harmonis sehingga memudahkan segala urusan dan perhubungan. Walaupun berlatar-belakangkan budaya, bahasa dan agama yang berbeza; tidak menjadi penghalang untuk saling bekerjasama, bertolak ansur dan bantu membantu antara satu sama lain. Kemesraan, senda gurau yang bersahaja dan perbincangan santai menjadikan sesuatu yang sukar menjadi mudah. Saat duduk bersama di kantin sekolah adalah detik yang akan terpahat diingatan.

Keseronokan bekerja di bawah dua pengetua menjadi pemangkin kepada kerjaya yang lebih bermakna. Saya belajar menjadi staf yang bertindak mengukuh kepada inspirasi majikan. Saya seronok di sini kerana saya diberi kebebasan membina kreativiti bekerja, bahkan selalu mendapat sokongan dari semua lapisan warga SMK Rosli Dhoby.

Apabila usaha membesarkan surau An-Nadwah, kami menubuhkan BADAI untuk memudahkan pengurusan pentadbiran, menjalankan aktiviti agama dan mendapat sumber kewangan, semua warga memberi sokongan penuh. Kepercayaan orang ramai termasuk ibubapa dan penjaga pelajar dapat diwujudkan sehingga kita sentiasa mendapat sumbangan dan peruntukan setiap tahun. Ada yang dengan senang hati menyalurkan peruntukan kewangan. Ini satu kejayaan dan kenangan yang amat bermakna sehingga dapat mewujudkan sebuah bilik agama dan ruang solat yang lebih selesa. Orang kata, duit bukan segala tapi segalanya perlukan duit. Amat benar sekali sehingga kekuatan ini bukan sahaja dapat dibina malah kesefahaman dan kesatuan juga dapat dibina bersama di kalangan warga sekolah baik Islam dan bukan Islam.

Banyak aktiviti keagamaan dan berbentuk sosial (kemasyarakatan dalam kalangan warga sekolah) dapat dijalankan bila ada sumber kewangan dan dokongan yang kukuh daripada pelbagai pihak. Tiap kali mendapat berita gembira, kita rai bersama begitu juga saat menerima berita duka; kita dapat menzahirkan dukacita secara jamaie. Kita selalu buat aktiviti santai walau atas inisiatif dan kreativiti sendiri. Tiada sesiapa memaksa kita tapi semua itu atas kesedaran dan kerelaan sendiri. Di manakah saya akan dapat mencari ganti saat-saat dan detik-detik indah semacam ini, saya pasti merindui. Saya mengharapkan usaha murni ini dapat diteruskan oleh mereka yang kemudian memegang amanah ini nanti.

Hampir 16 tahun menabur bakti di sini. Bukan sedikit kenangan manis dapat dibina. Berkongsi dalam banyak perkara baik suka dan duka. Paling indah ialah membawa balik kejuaraan dalam Pertandingan Spanduk dan Perarakan Maulidur Rasul yang bagai sinonim dengan SMK Rosli Dhoby. Dibidang sukan khususnya Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah saya selalu ambil bahagian untuk berlari acara pegawai 4×100m lari berganti-ganti bersama rakan-rakan; kerap kali jadi juara dan tidak kurang pula jadi peserta terakhir sampai ke garisan penamat. Kalah menang bukan ukuran tapi sikap bersaing secara sihat dan bekerja secara berpasukan.

Perkhidmatan saya yang paling tidak saya lupa ialah sebagai Penyelia Peserta yang pastinya akan kehilangan sentuhan itu selepas ini. Saya pasti merindui suasana ini. Saya pernah berganding dengan Cikgu Peter, Cikgu Hamzah dan Cikgu Ibrahim. Bahkan saya pernah berganding bersama Cikgu Ibrahim acara bergu Badminton. Semua jadi kenangan. Mungkin ada yang tidak percaya, begitulah hakikatnya.

Saya pasti terhutang budi dengan ramai orang, bergurau dan bersenda tawa dengan rakan-rakan sekerja sehingga saya merasakan semua orang ada sentuhan yang tersendiri. Tidak terungkap kata-kata disini. Tidak mampu untuk menyebut satu persatu, seorang demi seorang. Terima kasih buat semua. Saya mengharapkan semua rakan-rakan sekerja juga rasa sebegitu.

Kepada anak-anak didik, di sini sekolah ustaz yang pertama sudah menemui berbagai kerenah dan cabaran menangani kalian, tiada dendam, tiada terluka di hati; doa Ustaz sentiasa basah dibibir dan sentiasa berbunga di hati. Doa Ustaz agar semua berjaya dan menjadi insan berguna apabila dewasa nanti. Tidak pernah ada benci tapi cinta ustaz moga dapat menyentuh hati dan sanubari.

Akhir sekali; saya hanya insan kerdil; sudah tentu banyak sekali kelemahan saya secara peribadi. Selepas ini saya pasti merindu memo ungu dan ungkapan ini; "hanya Ustaz seorang belum itu dan belum ini". Saya mungkin banyak menyusahkan ramai orang, sebelum melangkah pergi, saya ingin memohon ampun dan maaf dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki agar saya tiada hutang yang dituntut di akhirat nanti. Semoga kita semua diberi kesempatan untuk berjumpa lagi.

 "Intai kami antara masak, agak tidak layu-layuan; Intai kami antara nampak, agak tidak rindu-rinduan". "Jika ada sumur di ladang, boleh saya menumpang mandi; Jika ada umur yang panjang, boleh kita berjumpa lagi". Sungguh saya terhutang budi dengan semua warga SMK Rosli Dhoby. Sehingga jumpa lagi... Wasalam!!! Salam perjuangan!!!

Ditintakan oleh; Ustaz Mohd Isa Daud Al Maranji Khamis; 11:30 pagi 05/11/2015.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?