Susahnya Nak Cari Ulama , 40 Itu Bukan Semua Ulama

Oleh isma daud

Hari ini Bekas Menteri Besar Perlis menafikan bahawa beliau memperdaya 4 orang yang menyertai UMNO baru-baru ini.

Shahidan nafi perdaya empat ulama
2010/06/30
Berita Harian Online melaporkan;

BUTTERWORTH: Bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan dakwaan kononnya pihaknya memperdayakan empat daripada 40 ulama yang menyertai UMNO dalam majlis penyerahan borang keahlian kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Jumaat lalu.

Sambil menjelaskan bahawa keempat-empatnya bukan ulama seperti dilaporkan, Shahidan yang juga pengelola majlis itu, menegaskan pihaknya tidak pernah menjemput mereka seperti didakwa, sebaliknya mereka hadir untuk bertemu Perdana Menteri.

“Mereka dibawa seorang penyokong kuat UMNO yang membawa seorang anaknya serta tiga lagi rakannya yang belajar di Jordan.

“Pada mulanya saya menghalang kerana ia majlis khas, bagaimanapun mereka beria-ia ingin turut serta untuk berjumpa Najib, oleh itu saya terpaksa akur,” katanya kepada pemberita sebelum menghadiri Seminar Pembangunan Wilayah Koridor Utara (NCER) di sini, semalam.

Ulasan;

Betapa susahnya nak mencukupkan 40 orang yang ber"title" ulama dalam UMNO, jauh lagi 100 orang sebagai didakwa sebelumnya. Belum apa-apa berbagai orang terlibat menafikan mereka yang ada dalam majlis itu masuk UMNO. Tujuan asal untuk menunjukkan betapa ramainya para ulama berminat dengan UMNO semacam mengundang rasa malu pula.

Apa pun empat orang ni tidak masuk senarai pun. Mereka saja-saja curi menyusup masuk majlis orang tu. Eh tak malu betul. siap makan lagi...

Empat orang sudah mendakwa telah diperdaya.... Bagaimana ya taraf ulama boleh diperdaya gitu-gitu aje... kalau ramai lagi dakwa diperdaya, nampaknya cita-cita mahu mengislamkan UMNO susah lagi le... Selamat Berjuang kepada mereka yang masuk dengan ikhlas dan tidak diperdaya oleh sesiapa. Macam nyanyi lagu 10 Budak Hitam pula... jangan jadi 40 budak hitam je le... he..he... semua jatuh dalam kolam, akhir-akhir nanti tinggal sorang saje.

Apa pun boleh baca panjang sikit lagi di Utusan Malaysia Online;

Sangkal ulama dipaksa UMNO

BUKIT MERTAJAM 29 Jun - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim menyangkal dakwaan kononnya terdapat segelintir daripada 40 ulama muda diperdaya menyertai UMNO dalam satu majlis di ibu negara baru-baru ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan, dakwaan seorang ustaz, Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27, bahawa dia bersama tiga lagi rakannya ditipu merupakan satu fitnah kerana mereka tidak pernah dijemput menghadiri majlis berkenaan.

Shahidan yang mengelolakan majlis itu berkata, dakwaan berunsur fitnah itu sengaja dibuat pihak tertentu yang tidak senang dengan reputasi UMNO yang semakin menarik minat golongan ulama di negara ini.

"Keempat-empat mereka ini tidak diundang pun ke majlis tersebut malah nama mereka tiada dalam senarai ulama muda yang menyertai UMNO. Jadi macam mana mereka boleh kata kita paksa, kalau paksa buat apa datang (majlis).

"Ini satu fitnah, pembohongan besar. Kalau enggan menyertai UMNO sekalipun, janganlah menyusup masuk dalam majlis orang dan selepas itu buat pula fitnah sebegini besar untuk aibkan orang lain," katanya.

Shahidan yang juga Penasihat Koridor Ekonomi Wilayah Utara (NCER) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penerangan Peluang-Peluang Ekonomi NCER di sini hari ini.

Laman web Pas, Harakahdaily semalam memetik kenyataan Hosni yang mendakwa bahawa dia dan tiga lagi ulama lepasan universiti di Jordan dijemput hadir pada majlis itu kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan ingin bertemu dengan lepasan Jordan.

Dalam laman web itu, Hosni dipetik dalam satu ceramah anjuran Pas sebagai berkata, dia dan rakan-rakannya menafikan mahu menyertai UMNO sebaliknya diminta beratur menyambut Najib sebelum gambar mereka diambil jurugambar.

Salah seorang ulama muda yang menyertai UMNO pada majlis itu, Fathul Bari Mat Jahaya dalam satu kenyataan bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan mengesahkan Hosni dan tiga rakannya tiada dalam senarai mereka.

Sambil mempersoalkan tindakan Hosni itu, Fahtul Bari yang juga anak bekas Mufti Perlis itu berkata:

"Kalau ditipu, kenapa mereka tidak balik terus? Kami tengok selepas program masuk dok makan."

Shahidan bagaimanapun menjelaskan, beliau sendiri hairan melihat kehadiran beberapa individu yang tidak dikenali pada majlis itu dan sempat meminta penjelasan daripada seorang kakitangan kerajaan yang membawa mereka.

"Saya diberitahu mereka hanya nak meluangkan masa jumpa dan bersalam dengan Perdana Menteri, kita tidak jemput malah nama mereka ini pun tidak ada dalam senarai 40 ulama yang menyertai UMNO pada majlis itu.

"Kalau ikut logik takkanlah mereka pusing-pusing Kuala Lumpur dan tiba-tiba berada dalam PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra) dan dipaksa pula sertai parti, ini dakwaan sangat bodoh. Kalau dipaksa sekalipun, balik sajalah," tegasnya.

Bekas Menteri Besar Perlis itu menegaskan, beliau sedang menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang kerana namanya dikaitkan dalam penyiaran dakwaan tersebut.

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?