Semua Orang Boleh Menyumbang Untuk Islam

Gambar sebelah : Amy Search berucap dalam satu forum sempena Sambutan Maulidur Rasul yang bertajuk ‘Islam Untuk Semua’ anjuran Masjid Kota Damansara, dekat sini, malam tadi.

Dalam ucapannya beliau mengajak para ulama sentiasa mendekati para artis supaya mereka tidak lalai sambil menyifatkan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai ikon ulama. Baca berita selanjutnya di : sini.

Sumber : Harakah Daily.

___________________________________________________________________________________
Komentar Oleh isma daud.


Kerja menyebarkan ajaran dan syiar Islam bukan hanya kerja ulama sahaja tetapi untuk semua orang Islam. Semua lapisan Masyarakat Islam bertanggungjawab menyebarkan ajaran Islam ini agar sampai kepada sesiapa sahaja. Islam bukan untuk orang arab dan orang melayu sahaja. Islam bukan untuk orang tertentu sahaja bahkan untuk semua. Ini kerana Nabi Muhammad saw diutuskan oleh Allah SWT kepada sekelian alam. Rahmatnya meliputi seluruh alam. 

Selaku ummat Muhammad saw sepatutnya mencontohi Rasulullah saw dalam usahanya menyebar-luaskan ajaran yang dibawanya. Rasulullah saw telah menempuh pelbagai halangan dan dugaan namun tidak melemahkan semangat dan ketekunan baginda untuk bertemu dengan siapa saja, berhijrah dan mengutuskan surat kepada maharaja Rom dan Farsi bagi menyampaikan ajaran dan dakwahnya.

Dalam suasana dan ruh sambutan Maulidur Rasul ini, marilah kita sedar akan tugas dan peranan kita dalam menyambungkan tugas dan peranan yang ditinggalkan oleh Nabi dan Para Sahabatnya. Tidak cukup dengan hanya kita berarak, berselawat dan menjulang sepanduk bagi memuji baginda saw. Yang lebih penting daripada itu kita semua sanggup menyumbang untuk Islam dan meninggikan syiar serta sunnah Rasulullah saw.

Semasa turut serta dalam perhimpunan sambutan maulidur rasul di bahagian Sibu, saya dapat melihat ramai orang yang hadir. Semua boleh hadir, tidak ada istilah "sibuk" dan "tidak ada masa" sehingga mampu hadirkan diri menyertai perarakan tersebut. Bahkan sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit untuk menjayakan perarakan yang sudah menjadi budaya masyarakat setempat yang mesti ada. Menyiapkan kontijen, menyiapkan sepanduk yang cantik-cantik dan sebagainya. Saya lihat bagaimana "adanya masa" . Saya tidak menentang usaha ini bahkan menyokongnya. Namun saya lebih suka kalau ahli masyarakat kita sanggup hadir ke masjid dan surau, ke majlis-majlis ilmu yang diadakan bagi mengingati baginda saw. Tetapi malang; program ke masjid dan surau tidak mendapat perhatian umat Islam secara gah dan nampak syiarnya. Ramai yang tidak hadir. Ramai yang tidak ada masa dan ramai yang mendakwa sibuk. Berapa kerat sangat umat Islam yang bersungguh melangkah kaki ke masjid dan surau berjamaah sambil mendengar tazkirah sempena Maulidur Rasul.

Saya juga berjumpa dengan beberapa orang yang ke surau tidak hadir tetapi boleh hadir pula dan mengikuti perarakan. Terasa janggal sedikit dengan pemikiran dan kesedaran dalam diri masyarakat kita ini.  Perkara seperti ini seringkali berlaku. Umat Islam tidak tahu mana satu keutamaan yang lebih utama. Sebagai contoh lagi, dalam bulan Ramadhan mereka ada masa dan tidak sibuk untuk datang bersolat teraweh setiap malam tetapi susut dalam sekelip mata saja apabila selepas habis bulan Ramadhan. Surau dan masjid kembali lengang. Begitu juga pak haji dan hajah kita, yang hanya mampu berjamaah ke surau selepas dan beberapa hari balik dari Mekkah dan hanya bertahan beberapa hari lalu terus hilang lenyap tidak muncul lagi di surau atau masjid.

Inilah sebahagian daripada sikap orang kita yang menyebabkan ummat Islam sentiasa ditohmah dengan pelbagai tohmahan dan menjauhkan orang lain daripada mendekati dan memahami ajaran Islam. Orang Islam sendiri ramai yang tidak menghayati ajaran Nabinya. Bila mereka ingat hanyalah sekadar berarak dan menyambut Maulidur Rasul sahaja.

Marilah kita membina kesedaran dan penghayatan kepada ajaran Nabi kita saw. Marilah kita semua berusaha menyebar dan memberi apa saja sumbangan kepada ajaran Nabi kita saw agar Islam itu benar-benar berdaulat atas muka bumi Allah SWT ini. Marilah!!! Kerana Semua Orang Boleh Memberi Sumbangan Untuk Islam Mengikut Kemampuan Masing-masing....

Comments

Popular posts from this blog

Soalan Berkaitan Dengan Talak Bain Sughra Dan Talak Bain Kubra

Isu Agihan Daging Korban Seekor Lembu , Mestikah 7 Bahagian?

Keliru Soal Mandi Wajib Kerana Was-Was

Lawatan Ke Rumah Seri Kenangan ; Hargai Warga Tua

Sepanduk-Sepanduk Menarik Pelbagai Kategori Sempena Pertandingan Sepanduk Maulidur Rasul 1432H/ 2011M

Pekerja Hotel Dan Sisa-Sisa Babi

Hukum Penggunaan Tanduk Rusa

Bila Nak Mulakan Takbir Raya Adha?